Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukumnya seseorang jemaah yang melaksanakan tahallul kemudian dia ragu-ragu berkenaan  tawafnya masih tidak cukup tujuh kali pusingan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam sangat menitikberatkan isu keyakinan dalam ibadah dan juga syariat. Malah terdapat usul fiqh menyebutkan:

اليَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya:Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu).”

Dalam mensyarahkan makna kaedah ini sebahagian ulama berkata: Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang atau tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu. Maka sesuatu itu kekal di atas apa yang telah dipastikan.(Lihat Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 45)

Kaedah ini merupakan salah satu kaedah yang penting di dalam fiqh. Bahkan Al-Qadhi Husin al-Syafi’e menyatakan bahawa fiqh terbina dari empat kaedah utama dan antaranya adalah kaedah ‘keyakinan tidak dihilangkan dengan syak ini’. Kaedah ini mempunyai sandarannya dari nas-nas syarak. Firman Allah SWT:

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya:Sesungguhnya zan (sangkaan) tidak menandingi kebenaran walau sedikit pun.

(Surah Yunus: 36)

Imam al-Tabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan: Sesungguhnya syak tidak memberi nilaian walau sedikit pun ke atas keyakinan. Dan syak sedikit pun tidak menggantikan kedudukan keyakinan serta tidak memberi sebarang manfaat kerana sesuatu itu berhajat kepada keyakinan. (Lihat al-Jami’ al-Bayan, 15/89)

Justeru, ilmu agama sangat penting untuk dipelajari dan membantu setiap individu daripada perasaan syak, ragu-ragu dan was-was. Malah, ianya turut membantu untuk kita sentiasa mengikuti petunjuk daripada al-Quran, Sunnah dan pandangan daripada Ulama’ yang muktabar.

Antara rukun umrah dan haji adalah dengan menyempurnakan tawaf, firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

(Surah al-Haj: 29)

Antara syarat sah tawaf tersebut, seseorang itu hendaklah menyempurnakan tawafnya sebanyak 7 kali pusingan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/141)

Dan sekiranya dia telah ragu-ragu atau was-was mengenai bilangan tawafnya, dia tidak akan terkeluar daripada dua situasi ini :

Situasi pertama: Ketika masih lagi sedang melakukan tawaf. Contohnya : Ketika dia sedang melakukan tawaf, tiba-tiba telah waswas pada bilangan tawafnya adakah kali ke-6 atau ke-7. Sekiranya demikian, hendaklah dia mengambil bilangan yang paling sedikit. Hal ini sebagaimana hadith Abu Said al-Khudri RA bahawa Nabi SAW telah bersabda :

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاتِهِ، فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى ثَلَاثًا أَمْ أَرْبَعًا، فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ

Maksudnya : “Sekiranya salah seorang di antara kalian yang ragu-ragu di dalam solatnya, dia tidak tahu bilangan rakaatnya, apakah sudah tiga atau empat. Maka buanglah keraguan itu, dan binalah (ambilah) apa yang pasti (iaitu yang sedikit)”

Riwayat Muslim (571)

Imam al-Nawawi berkata :“Sesiapa yang telah syak pada bilangan tawaf atau sa’ienya, wajib ke atas dia mengambil bilangan yang paling sedikit sekalipun dia cenderung pada bilangan yang banyak (dalam sangkaannya), tetap wajib ke atasnya mengambil bilangan yang sedikit yang diyakini sebagaimana di dalam bab solat yang lepas (iaitu syak pada bilangan rakaat)” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/21)

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff juga menyebutkan perkara yang sama bahawa, “Tawaf adalah sebanyak tujuh kali (pusingan) secara yakin. Dan sekiranya datang syak pada bilangannya, ambilah yang paling sedikit seperti solat (syak pada bilangan rakaat)” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 481)

Situasi kedua: Sudah selesai melakukan tawaf dan meninggalkannya. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu sudah pun selesai menunaikan tawaf ifadhah dan telah pulang ke penginapan. Tidak lama kemudian, datang was-was di dalam dirinya adakah dia telah tawaf cukup sebanyak 7 kali pusingan atau pun tidak.

Di dalam situasi ini, Imam Nawawi telah menyatakan bahawa: “Sekiranya dia ragu-ragu setelah selesai menunaikan tawaf (dan meninggalkannya) maka tiada apa-apa ke atas dirinya (tawafnya sah)” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/22)

Dan keraguan tidak akan memberi apa-apa kesan setelah selesainya (sesuatu ibadah). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 481)

Oleh yang demikian, bagi sesiapa yang berada di dalam situasi kedua ini, keraguan yang datang selepas selesai dan yakin akan ibadah tersebut, tidak akan membatalkannya.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti pandangan para ulama mengenainya, kami berpendapat bahawa tawaf haji yang dilakukan oleh puan adalah sah dan tidak perlu mengulanginya semula. Hal ini bertepatan dengan kaedah:

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ والْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ

Maksudnya:Asal (hukum) sesuatu perkara adalah kekal mengikut keadaan sebelumnya dan perkara yang sudah diyakini tidak boleh dihilangkan oleh keraguan.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair oleh Ibn Nujaim, hlm. 47-49)

Adapun mengulanginya semula disebabkan oleh pemberitahuan orang yang thiqah dan adil sedangkan dia meyakini yang sebaliknya hukumnya adalah sunat dan bukannya wajib. Akan tetapi Imam al-Nawawi menegaskan bahawa ia hanya sekiranya dia masih berada di (tempat) tawaf adapun selepas selesai dan telah beredar daripadanya, maka tiada apa-apa ke atas dirinya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/22; Mughni al-Muhtaj, 2/258)

Begitu juga dengan kaedah yang diambil daripada riwayat Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya:Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiah, hlm. 61)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply