Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya selalu mendengar berkenaan Sidratul Muntaha ketika membaca hadis-hadis Isra’ Mi’raj. Boleh jelaskan, di manakah kedudukan Sidratul Muntaha?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi dan Sebab Dinamakan Sidratul Muntaha
Kami mulakan dengan pengertian Sidratul Muntaha. Imam al-Qurtubi di dalam al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an telah menyenaraikan sembilan pendapat sebab dinamakan tempat itu dengan Sidratul Muntaha iaitu:
- Kerana di sanalah semua yang turun dari atasnya dan semua yang naik dari bawahnya. Inilah pendapat Ibnu Mas’ud R.A.
- Kerana sampai di sanalah ilmu para nabi, sedangkan tentang apa yang ada di sebaliknya mereka tidak ketahui. Inilah pendapat Ibnu Abbas R.A.
- Kerana sampai di sanalah semua amal, lalu digenggam. Inilah pendapat al-Dahhak.
- Kerana sampai di sanalah tempat para malaikat dan para nabi dan di sanalah mereka harus berhenti. Inilah pendapat Ka’ab.
- Kerana sampai di sanalah ruh para syuhada’. Inilah pendapat Rabi’ bin Anas.
- Kerana sampai di sanalah ruh orang-orang yang beriman. Inilah pendapat Qatadah.
- Kerana sampai di sanalah setiap orang yang berada di atas Sunnah Muhammad SAW dan ajaran Baginda. Inilah pendapat Ali R.A dan juga Rabi’ bin Anas.
- Sidratul Muntaha ialah pohon yang berada di atas kepala para pemikul ‘Arasy yang sampai di sanalah ilmu semua makhluk. Inilah pendapat Ka’ab.
- Kerana siapa yang diangkat sampai ke sana maka sungguh dia telah mencapai puncak kemuliaan. Diriwayatkan dari Abu Hurairah R.A ketika Rasulullah SAW dijalankan di malam hari, Baginda sampai ke Sidratul Muntaha. Ketika itu, dikatakan kepada beliau, “Ini adalah Sidratul Muntaha yang kepadanya sampai setiap orang yang telah meninggal dunia dari umatmu yang berada di atas Sunnahmu.”[1]
Selain itu, terdapat ulama yang memberi pengertian lain bagi al-Muntaha iaitu ia dengan maksud Allah SWT. Jadi, Sidrat al-Muntaha boleh juga difahami sebagai pohon bidara milik Allah SWT. Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menyebut: “Boleh juga yang dimaksudkan dengan al-Muntaha, iaitu Allah ‘Azza wa Jalla. Jadi, erti Sidrat al-Muntaha adalah pohon bidara milik Allah SWT yang mana hanya kepada Allah SWT segalanya berakhir sebagaimana firman-Nya: وَأَنَّ إِلى رَبِّكَ الْمُنْتَهى “Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmulah kesudahan (segala sesuatu).”[2]
Hadis-Hadis yang Diriwayatkan Berkaitan Kedudukan Sidratul Muntaha
Imam al-Qurtubi di dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran (17/94) menyebut, terdapat dua riwayat berkenaan kedudukan Sidratul Muntaha. Satu riwayat mengatakan Sidrat al-Muntaha berada di langit keenam manakala satu riwayat lagi mengatakan ia berada di langit ketujuh. Ia adalah sepertimana berikut:
Pertama: Hadis Menyebut di Langit Keenam
Hadis ini diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata:
لَمَّا أُسْرِىَ بِرَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- انْتُهِىَ بِهِ إِلَى سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَهِىَ فِى السَّمَاءِ السَّادِسَةِ إِلَيْهَا يَنْتَهِى مَا يُعْرَجُ بِهِ مِنَ الأَرْضِ فَيُقْبَضُ مِنْهَا وَإِلَيْهَا يَنْتَهِى مَا يُهْبَطُ بِهِ مِنْ فَوْقِهَا فَيُقْبَضُ مِنْهَا قَالَ (إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى) قَالَ فَرَاشٌ مِنْ ذَهَبٍ. قَالَ فَأُعْطِىَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- ثَلاَثًا أُعْطِىَ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ وَأُعْطِىَ خَوَاتِيمَ سُورَةِ الْبَقَرَةِ وَغُفِرَ لِمَنْ لَمْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ مِنْ أُمَّتِهِ شَيْئًا الْمُقْحِمَاتُ.
Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW dijalankan di malam hari, Baginda sampai di Sidratul Muntaha. Tempat ini berada di langit keenam. Sampai ke tempat inilah semua yang naik dari bumi, lalu digenggam dan sampai ke tempat inilah semua yang turun dari atasnya lalu digenggam. Allah SWT berfirman: إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى (Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.) Beliau berkata: “Kupu-kupu dari emas (فَرَاشٌ مِنْ ذَهَبٍ).” Beliau berkata lagi, “Lalu Rasulullah SAW diberi tiga perkara: Baginda diberi solat lima waktu, Baginda diberi beberapa ayat penutup surah al-Baqarah dan diampuni semua dosa besar setiap orang yang tidak menyekutukan sesuatu pun dengan Allah dari umat beliau.”[3]
Kedua: Hadis yang Menyebut di Langit Ketujuh
Hadis ini diriwayatkan daripada Anas R.A, Nabi SAW bersabda:
لَمَّا رُفِعْتُ إِلَى سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى فِى السَّمَاءِ السَّابِعَةِ نَبْقُهَا مِثْلُ قِلاَلِ هَجَرَ وَوَرَقُهَا مِثْلُ آذَانِ الْفِيَلَةِ يَخْرُجُ مِنْ سَاقِهَا نَهْرَانِ ظَاهِرَانِ وَنَهْرَانِ بَاطِنَانِ قُلْتُ يَا جِبْرِيلُ مَا هَذَا قَالَ أَمَّا الْبَاطِنَانِ فَفِى الْجَنَّةِ وَأَمَّا الظَّاهِرَانِ فَالنِّيلُ وَالْفُرَاتُ.
Maksudnya: ”Ketika aku diangkat ke Sidratul Muntaha yang berada di langit ketujuh, yang nabiqnya seperti tempayan-tempayan Hajar (tempayan-tempayan buatan orang Hajar) dan daunnya seperti daun telinga gajah, keluar dari pangkalnya dua sungai zahir dan dua sungai batin. Aku pun bertanya, ‘Hai Jibril, apa ini?’ Jibril AS menjawab, ‘Dua sungai batin itu ada di dalam syurga, sedangkan dua sungai zahir itu adalah sungai Nil dan Sungai Furat.”[4]
Terdapat sedikit perbezaan bacaan pada lafaz (رفعت) dalam hadis yang lain. Daripada Anas R.A juga, Nabi SAW bersabda:
رُفِعَتْ لِي سِدْرَةُ الْمُنْتَهَى فِي السَّمَاءِ السَّابِعَةِ…
Maksudnya: “Sidratul Muntaha diangkat/ dinampakkan kepadaku di langit ketujuh…”[5]
Begitu juga terdapat hadis yang tidak menyebut secara nyata perkataan langit ketujuh. Namun, ia menyebut berkenaan Sidratul Muntaha selepas Baginda Nabi SAW naik ke langit ke tujuh.
Sebuah hadis yang panjang daripada Anas bin Malik, daripada Malik bin Sa’sa’ah antara lain menyebut, Rasulullah SAW bersabda:
ثُمَّ صَعِدَ بِي إِلَى السَّمَاءِ السَّابِعَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ قِيلَ مَنْ هَذَا قَالَ جِبْرِيلُ قِيلَ ، وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ نَعَمْ قَالَ مَرْحَبًا بِهِ فَنِعْمَ الْمَجِيءُ جَاءَ فَلَمَّا خَلَصْتُ فَإِذَا إِبْرَاهِيمُ قَالَ هَذَا أَبُوكَ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ قَالَ فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَرَدَّ السَّلاَمَ قَالَ مَرْحَبًا بِالاِبْنِ الصَّالِحِ وَالنَّبِيِّ الصَّالِحِ
ثُمَّ رُفِعَتْ لِي سِدْرَةُ الْمُنْتَهَى فَإِذَا نَبِقُهَا مِثْلُ قِلاَلِ هَجَرَ ، وَإِذَا وَرَقُهَا مِثْلُ آذَانِ الْفِيَلَةِ قَالَ هَذِهِ سِدْرَةُ الْمُنْتَهَى ، وَإِذَا أَرْبَعَةُ أَنْهَارٍ نَهْرَانِ بَاطِنَانِ وَنَهْرَانِ ظَاهِرَانِ فَقُلْتُ مَا هَذَانِ يَا جِبْرِيلُ قَالَ أَمَّا الْبَاطِنَانِ فَنَهَرَانِ فِي الْجَنَّةِ وَأَمَّا الظَّاهِرَانِ فَالنِّيلُ وَالْفُرَاتُ ثُمَّ رُفِعَتْ لِي سِدْرَةُ الْمُنْتَهَى فَإِذَا نَبِقُهَا مِثْلُ قِلاَلِ هَجَرَ ، وَإِذَا وَرَقُهَا مِثْلُ آذَانِ الْفِيَلَةِ قَالَ هَذِهِ سِدْرَةُ الْمُنْتَهَى، وَإِذَا أَرْبَعَةُ أَنْهَارٍ نَهْرَانِ بَاطِنَانِ وَنَهْرَانِ ظَاهِرَانِ فَقُلْتُ مَا هَذَانِ يَا جِبْرِيلُ قَالَ أَمَّا الْبَاطِنَانِ فَنَهَرَانِ فِي الْجَنَّةِ وَأَمَّا الظَّاهِرَانِ فَالنِّيلُ وَالْفُرَاتُ
Maksudnya: “Kemudian aku dibawa naik ke langit ketujuh lalu Jibril meminta dibukakan pintu langit kemudian dia ditanya: “Siapakah ini?” Jibril menjawab: “Jibril.” Ditanyakan lagi: “Siapa orang yang bersamamu?” Jibril menjawab: “Muhammad.” Ditanyakan lagi: “Apakah dia telah diutus?” Jibril menjawab: “Ya.” Maka dikatakan: “Selamat datang baginya dan ini sebaik-baik kedatangan orang yang datang.” Maka pintu dibuka dan setelah aku melewatinya, aku mendapati Ibrahim AS. Jibril berkata: “Ini adalah bapamu. Berilah salam kepadanya.” Maka aku memberi salam kepadanya dan Ibrahim membalas salamku lalu berkata: “Selamat datang anak yang soleh dan nabi yang soleh.”
“Kemudian Sidratul Muntaha diangkat/ dinampakkan kepadaku yang ternyata buahnya seperti tempayan daerah Hajar dengan daunnya laksana telinga-telinga gajah. Jibril AS berkata: “Ini adalah Sidratul Muntaha.” Ternyata di dasarnya ada empat sungai, dua sungai Batin dan dua sungai Zahir.” Aku bertanya: “Apakah ini wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Adapun dua sungai Batin adalah dua sungai yang berada di syurga, sedangkan dua sungai Zahir adalah al-Nil dan al-Furat.”[6]
Begitu juga sebuah lain yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda, antaranya:
ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ السَّابِعَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ فَقِيلَ مَنْ هَذَا قَالَ جِبْرِيلُ. قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ -صلى الله عليه وسلم-. قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ. فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِإِبْرَاهِيمَ -صلى الله عليه وسلم- مُسْنِدًا ظَهْرَهُ إِلَى الْبَيْتِ الْمَعْمُورِ وَإِذَا هُوَ يَدْخُلُهُ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ لاَ يَعُودُونَ إِلَيْهِ
ثُمَّ ذَهَبَ بِى إِلَى السِّدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَإِذَا وَرَقُهَا كَآذَانِ الْفِيَلَةِ وَإِذَا ثَمَرُهَا كَالْقِلاَلِ – قَالَ – فَلَمَّا غَشِيَهَا مِنْ أَمْرِ اللَّهِ مَا غَشِىَ تَغَيَّرَتْ فَمَا أَحَدٌ مِنْ خَلْقِ اللَّهِ يَسْتَطِيعُ أَنْ يَنْعَتَهَا مِنْ حُسْنِهَا. فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَىَّ مَا أَوْحَى فَفَرَضَ عَلَىَّ خَمْسِينَ صَلاَةً فِى كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ
Maksudnya: “Kemudian, aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi, ‘Siapakah kamu? ‘ Jibril menjawabnya, ‘Jibril’. Jibril ditanya lagi, ‘Siapakah bersamamu? ‘ Jibril menjawab, ‘Muhammad’. Jibril ditanya lagi, ‘Apakah dia telah diutuskan? ‘ Jibril menjawab, ‘Ya, dia telah diutuskan’. Pintu pun dibukakan kepada kami. Tiba-tiba aku bertemu dengan Nabi Ibrahim AS. Dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari mampu memasukkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar, mereka tidak kembali lagi kepadanya (Baitul Makmur).
Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar seperti telinga gajah dan ternyata buahnya sebesar tempayan.” Baginda bersabda: “Ketika beliau menaikinya dengan perintah Allah, maka sidrah muntaha berubah. Tiada seorang pun daripada makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya kerana indahnya. Lalu Allah memberikan wahyu kepadaku dengan mewajibkan solat lima puluh waktu sehari semalam.”[7]
Pandangan dan Hujahan Ulama’
Kami nukilkan di sini beberapa pandangan ulama’ berkenaan isu ini:
- Al-Qadhi ‘Iyyadh
Beliau berkata:
كَوْنهَا فِي السَّابِعَة هُوَ الْأَصَحّ . وَقَوْل الْأَكْثَرِينَ وَهُوَ الَّذِي يَقْتَضِيه الْمَعْنَى ، وَتَسْمِيَتهَا بِالْمُنْتَهَى
Maksudnya: “Sidratul Muntaha berada di langit ketujuh adalah paling sahih. Menjadi pandangan teramai ulama’ dan menepati makna muntaha itu sendiri.”[8]
- Imam al-Khalil
Beliau menyebut:
هِيَ سِدْرَة فِي السَّمَاء السَّابِعَة قَدْ أَظَلَّتْ السَّمَوَات وَالْجَنَّة
Maksudnya: “(Sidratul Muntaha) ialah satu pohon bidara di langit ketujuh yang menaungi sekalian langit dan juga syurga.”[9]
- Imam al-Nawawi
Beliau berkata:
وَيُمْكِن أَنْ يُجْمَع بَيْنَهُمَا فَيَكُون أَصْلهَا فِي السَّادِسَة وَمُعْظَمهَا فِي السَّابِعَة
Maksudnya: “Boleh dihimpunkan antara kedua-dua (riwayat) dengan maksud; permulaannya (pangkalnya) di langit keenam dan (menjulang ke atas sehingga) bahagian besarnya (cabang dan ranting) berada di langit ketujuh.”[10]
- Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani
Dalam kitab Fath al-Bari (21/101), Ibnu Hajar al-Asqalani menyebut bahawa jumhur ulama’ berpendapat Sidratul Muntaha adalah berada di langit ketujuh.
Beliau juga turut membahaskan berkenaan kedudukan Sidratul Muntaha dengan panjang lebar ketika menghuraikan berkenaan hadis Isra’ dan Mi’raj. Kami nukilkannya sepertimana berikut:
Kata al-Hafiz Ibn Hajar: (Yang tepat) adalah menggabungkan kedua-dua riwayat tersebut di atas. Jadi yang dimaksudkan adalah Baginda Nabi SAW dinaikkan ke atas Sidratul Muntaha, dalam erti Baginda naik ke atas dan melihat Sidratul Muntaha dengan jelas. Ini kerana kata ‘al-Raf’u’ bererti naik ke atas sesuatu, kata tersebut digunakan untuk kedekatan seseorang yang naik dengan sesuatu tersebut. Telah disebutkan dalam firman Allah SWT berikut:
وَفُرُشٍ مَّرْفُوعَةٍ
Maksudnya: “Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.”[11]
Ertinya tempat-tempat tidur tersebut berada di sisi mereka.
Alasan tempat itu disebut dengan Sidratul Muntaha telah disebutkan dalam hadis Ibnu Mas’ud yang terdapat pada kitab Muslim, lafaz hadis tersebut adalah:
لَمَّا أُسْرِىَ بِرَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- انْتُهِىَ بِهِ إِلَى سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَهِىَ فِى السَّمَاءِ السَّادِسَةِ إِلَيْهَا يَنْتَهِى مَا يُعْرَجُ بِهِ مِنَ الأَرْضِ فَيُقْبَضُ مِنْهَا وَإِلَيْهَا يَنْتَهِى مَا يُهْبَطُ بِهِ مِنْ فَوْقِهَا فَيُقْبَضُ مِنْهَا
Maksudnya: “Ketika Baginda Nabi SAW di-isra’-kan, Baginda berkata: Aku sampai di Sidratul Muntaha, ia berada di langit ke enam, tempat itu adalah destinasi terakhir bagi yang naik dari bumi, setelah itu mereka ditangkap di sana. Tempat itu juga berrfungsi sebagai tempat destinasi terakhir bagi yang turun, mereka ditangkap di sana.”
Kata Imam al-Nawawi: Tempat itu disebut dengan Sidratul Muntaha kerana pengetahuan (ilmu) malaikat hanya mampu mengetahui tempat ini, dan tiada seorang yang dapat mengetahui kawasan di atasnya kecuali Baginda Rasulullah SAW.
Ibn Hajar berkata: Keterangan ini tidak bertentangan dengan hadis Ibnu Mas’ud yang telah disebutkan terdahulu. Akan tetapi, hadis Ibnu Mas’ud telah sabit dalam kitab Sahih, ia lebih utama untuk digunakan.
Ibn Hajar seterusnya berkata: al-Nawawi meriwayatkan hadis ini dengan menggunakan Sighah Tamridh, dia berkata:
وَحُكِيَ عَنْ اِبْن مَسْعُود أَنَّهَا سُمِّيَتْ بِذَلِكَ… إِلَخْ .
Maksudnya: Telah diceritakan daripada Ibnu Mas’ud bahawa tempat itu disebut dengan Sidratul Muntaha…
Ibnu Hajar menyatakan bahawa dia merasa hadis yang terdapat pada al-Nawawi adalah lemah, malah ia tidak menjelaskan kalau hadis itu adalah Marfu’. Namun yang pasti hadis tersebut adalah Sahih dan Marfu’.
Kata al-Qurtubi dalam kitab al-Mufhim, zahir hadis Anas menyebutkan bahawa Sidratul Muntaha terletak di langit ketujuh. Hal ini kerana perkataan Baginda setelah menyebutkan langit ketujuh lalu disebutkan: “Kemudian aku pergi ke Sidratul Muntaha.” Dalam hadis Ibnu Mas’ud, disebutkan bahawa Sidratul Muntaha terletak di langit ke enam. Ini merupakan pertentangan yang tidak diragukan lagi. Hadis Anas adalah pendapat majoriti. Ia merupakan hadis yang menyebutkan sifat Sidratul Muntaha bahawa ia adalah batas terakhir yang diketahui oleh para Nabi yang sudah diutus dan para malaikat yang dekat. Hal ini mengikut pendapat Ka’ab. Dia berkata: Tempat setelah Sidratul Muntaha adalah tempat yang ghaib yang tidak dapat diketahui hanya oleh Allah SWT atau orang yang diberi tahu. Dengan pendapat ini, maka Isma’il bin Ahmad menetapkannya.
Berkata ulama’ yang lain: Di Sidratul Muntaha, setiap roh orang yang mati syahid disemayamkan. Dia berkata: Dirajihkan bahawa hadis Anas adalah hadis Marfu’, manakala hadis Ibnu Mas’ud adalah hadis Mauquf. Begitulah dikatakan kedua-dua hadis tersebut tidak mungkin untuk dikumpulkan (jam’u) kerana terdapat pertentangan pada kedua-duanya.
Al-Hafiz Ibn Hajar seterusnya menyimpulkan: Lafaz “sesungguhnya ia berada di langit keenam” tidak bertentangan dengan apa yang dijelaskan oleh khabar yang lain. Hal ini kerana Baginda Nabi SAW sampai di sana setelah Baginda memasuki langit ketujuh. Ini kerana, mungkin pangkal (akar tunjang) Sidratul Muntaha berada di langit keenam, manakala cabang dan rantingnya berada di langit ke tujuh. Yang berada di langit keenam hanya berupa pangkalnya sahaja.[12]
- Imam al-Qurtubi
Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (17/95) ketika beliau memberikan komen terhadap pendapat Ka’ab – yang menyebut bahawa Sidratul Muntaha ialah pohon yang berada di atas kepala para pemikul Arasy yang sampai di sanalah ilmu semua makhluk- beliau menyebut:
قُلْتُ: يُرِيدُ- وَاللَّهُ أَعْلَمُ- أَنَّ ارْتِفَاعَهَا وَأَعَالِيَ أَغْصَانِهَا قَدْ جاوزت رءوس حملة العرش، ودليله مَا تَقَدَّمَ مِنْ أَنَّ أَصْلَهَا فِي السَّمَاءِ السَّادِسَةِ وَأَعْلَاهَا فِي السَّمَاءِ السَّابِعَةِ، ثُمَّ عَلَتْ فَوْقَ ذَلِكَ حَتَّى جَاوَزَتْ رُءُوسَ حَمَلَةِ الْعَرْشِ. وَاللَّهُ أَعْلَمُ.
Maksudnya: “Menurut saya (al-Qurtubi), -wallahu a’lam- tinggi pohon dan dahannya melebihi kepala para pemikul Arasy. Dalilnya adalah apa yang telah disebutkan, bahawa akarnya di langit keenam dan tingginya sampai ke langit ketujuh, bahkan lebih dari itu hingga melebihi kepala para pemikul Arasy. Wallahua’lam.”
- Imam Jalaluddin al-Suyuti
Imam Jalaluddin al-Suyuthi di dalam kitab al-Ayat al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra menyebut dengan menukilkan daripada Ibnu al-Munir ketika menjelaskan persoalan kenapa Isra’ Mi’raj berlaku pada waktu itu. Kata beliau:
Ibnu al-Munir menyebut bahawa al-Mi’raj (anak tangga) terbahagi kepada sepuluh anak tangga. Jumlah tersebut sesuai dengan tahun Hijrah. Dia menyebutkan bahawa tujuh anak tangga berada pada tujuh langit. Jumlah tujuh ini sesuai dengan jumlah tujuh tahun Hijrah yang pertama seperti yang disebutkan terdahulu. Dia berkata:
Yang kelapan adalah anak tangga Sidratul Muntaha, ia (Sidratul Muntaha) merupakan destinasi terakhir bagi yang naik dari bumi dan (sebagai permulaan) bagi yang turun dari langit. Dia berkata: Anak tangga kelapan ini sesuai dengan tahun hijrah kelapan, di mana pada tahun itu berlaku penaklukan Kota Mekah. Mekah disebut juga dengan Umm al-Qura yang merupakan akhir daripada tujuan (suku Arab), kota itu telah dipenuhi belalang. Ia merupakan tentera Allah SWT seperti yang telah disebutkan dalam sebuah hadis. Hal itu berlaku seperti ketika kota Mekah yang ditaklukkan, pada waktu itu tentera Allah dan para pengikutnya telah menutupi kota Mekah tersebut.[13]
- Syeikh Nasir al-Din al-Albani
Beliau dalam kitabnya, al-Isra’ wa al-Mi’raj (hlm. 89), ketika beliau menjelaskan hadis Abdullah bin Mas’ud yang menyatakan bahawa Sidratul Muntaha di langit keenam, menyebut seperti berikut:
Secara zahirnya, hadis ini bertentangan dengan hadis Anas yang terdahulu yang menyebut:
ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ السَّابِعَةِ…. ثُمَّ ذَهَبَ بِى إِلَى السِّدْرَةِ الْمُنْتَهَى
Maksudnya: “Kemudian, aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh….Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha….”
Sesungguhnya ia menunjukkan bahawa al-Sidrah berada di langit ketujuh. Dan inilah yang dirajihkan oleh al-Qurtubi. Manakala, al-Hafiz Ibn Hajar menghimpunkan antara kedua-dua hadis dengan takwilan bahawa pangkalnya (akar tunjangnya) di langit keenam melainkan cabang dan rantingnya.
Aku berkata (al-Albani): Dan menguatkan lagi al-jam’u (himpunan) ini ialah riwayat Ibn Jarir (55/27) daripada Qatadah secara mursal:
رُفِعَتْ لِي سِدْرَةٌ مُنْتَهَاهَا فِي السَّمَاءِ السَّابِعَةِ
Maksudnya: “Sidrah diangkat/ dinampakkan kepadaku penghujungnya di langit ketujuh…” [14]
Kesimpulan dan Pendapat Terpilih
Kami cenderung kepada pendapat yang menghimpunkan antara riwayat yang menyebut Sidratul Muntaha berada di langit keenam dan ketujuh, dengan maksud pangkalnya berada di langit keenam dan manakala cabang dan rantingnya menjulang sehingga ke langit ketujuh. Inilah pendapat yang dikemukakan oleh para ulama’, antaranya Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani.
Hal ini berdasarkan riwayat yang menguatkan lagi akan pendapat menghimpunkan ini iaitu daripada Qatadah secara mursal:
رُفِعَتْ لِي سِدْرَةٌ مُنْتَهَاهَا فِي السَّمَاءِ السَّابِعَةِ
Maksudnya: “Sidrah diangkat/ dinampakkan kepadaku, penghujungnya di langit ketujuh…”
Hal ini juga seperti pendapat Imam al-Nawawi – seperti yang kami nukilkan di atas – katanya: “Boleh dihimpunkan antara kedua-dua (riwayat) dengan maksud; permulaannya di langit keenam dan (menjulang ke atas sehingga) bahagian besarnya (cabang dan ranting) berada di langit ketujuh.”[15]
Ia juga sebagaimana pendapat Ibnu Hajar al-Asqalani ketika memberikan komen terhadap hadis riwayat Anas dan riwayat Ibnu Mas’ud yang kelihatan seperti bercanggahan, menyebut: Lafaz “sesungguhnya ia berada di langit keenam” tidak bertentangan dengan apa yang dijelaskan oleh khabar yang lain. Hal ini kerana Baginda Nabi SAW sampai di sana setelah Baginda memasuki langit ketujuh. Ini kerana, mungkin pangkal Sidratul Muntaha berada di langit keenam, manakala cabang dan rantingnya berada di langit ke tujuh. Yang berada di langit keenam hanya berupa pangkalnya sahaja.”[16]
Begitu juga sebagaimana pendapat Imam al-Qurtubi yang menyebut: “Menurut saya (al-Qurtubi), -wallahu a’lam- tinggi pohon dan dahannya melebihi kepala para pemikul Arasy. Dalilnya adalah apa yang telah disebutkan, bahawa tunjang akarnya di langit keenam dan tingginya sampai ke langit ketujuh, bahkan lebih dari itu hingga melebihi kepala para pemikul Arasy. Wallahua’lam.”[17]
Di samping itu, hal ini juga kerana Sidratul Muntaha digambarkan sebagai sebuah pohon yang begitu besar dan mempunyai naungan yang panjang. Imam al-Mawardi di dalam Tafsirnya al-Nukat wa al-‘Uyun (5/396) ketika menyatakan sebab dipilih pohon Sidratul Muntaha dan bukan pohon yang lain, menyebut bahawa salah satu ciri-ciri khusus Sidratul Muntaha mempunyai naungan yang panjang. Kata beliau: “Sidrah memiliki tiga keistimewaan khusus: Iaitu naungan yang panjang, rasa yang lazat dan bau yang wangi. Pohon ini sama dengan keimanan yang mengumpulkan perkataan, perbuatan dan niat. Naungannya sama dengan amal pada panjang manfaatnya, rasanya sama dengan niat pada tersembunyinya dan baunya sama dengan perkataan pada nampaknya.”
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H
[1] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 17/95
[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 27/48
[3] Riwayat Muslim (449)
[4] Riwayat al-Daraqutni (33)
[5] Riwayat Imam Ahmad (12702)
[6] Riwayat al-Bukhari (3887)
[7] Riwayat Muslim (429)
[8] Dinukil oleh Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/308
[9] Dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/308
[10] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/308
[11] Surah al-Waqi’ah: 34
[12] Lihat Fath al-Bari, 21/101
[13] Lihat al-Ayat al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra, 1/37
[14] Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (271) dan beliau berkata hadis ini sahih di atas syarat Bukhari dan Muslim.
[15] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/308
[16] Lihat al-Isra’ wa al-Mi’raj, 1/27
[17] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 17/95