Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibolehkan bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz untuk mengutip anak batu atau walinya yang perlu mengutip baginya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam melaksanakan ibadah haji, terdapat rukun-rukun dan wajib-wajib haji yang harus disempurnakan bagi setiap jemaah haji. Namun begitu, terdapat juga jemaah haji yang dikira tidak mampu untuk melaksanakan kerja-kerja haji tersebut yang merangkumi golongan kanak-kanak dan wanita yang hamil. Walau bagaimanapun, kerja-kerja haji haruslah dilaksanakan dengan sempurna oleh sesiapa sekalipun. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.” 

(Surah al-Baqarah: 196)

Menurut Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menerangkan bahawa ayat ini menyuruh setiap para jemaah haji dan umrah untuk mengerjakan ibadah tersebut dengan sempurna dan lengkap secara lahiriah (luaran). Ia dilakukan dengan menunaikan syariat dan rukun menurut yang sepatutnya. Sementara secara batiniah (dalaman) pula, ia dilaksanakan dengan penuh ketakwaan dan keikhlasan kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/393)

Merujuk kepada persoalan di atas, dibolehkan bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz untuk mengutip batu-batu kecil dan melontarnya dengan kudratnya sendiri (tanpa bantuan orang lain).

Syeikh Abdul Aziz bin Baz Rahimahullah ketika ditanyakan mengenai status hadith, yang menyebutkan bahawa para sahabat bertalbiyah dan melontar jamrah mewakili anak-anak mereka, lalu beliau menjawab: “Pada sanadnya kritikan, akan tetapi tiada masalah untuk melontar bagi pihak kanak-kanak dan mereka yang uzur, hal yang demikian kerana para sahabat melontar bagi pihak kanak-kanak dan semisal mereka perempuan dan lelaki yang uzur. Ini merupakan kaedah syara‘ pada perkara seperti ini yang boleh digantikan (diwakilkan). (Lihat Majmu‘ Fatawa, 16/378)

Namun begitu, jika dilihat secara praktikal pada hari ini, alhamdulillah suasana melontar ketika musim haji walaupun penuh sesak, tetapi terkawal dengan sistem dan waktu yang diperuntukkan kepada jemaah haji mengikut negara atau tempat-tempat tertentu. Begitu juga, sekarang ini, sudah ada banyak tingkat untuk menuju ke tempat melontar. Justeru, boleh kanak-kanak melontar, tetapi jika wali merasa perlu untuk melontar bagi pihak anak-anaknya, maka hukumnya tidaklah mengapa dan dibolehkan. Oleh yang demikian, seelok-eloknya pihak walilah yang perlu memungut dan memberikan kepada kanak-kanak tersebut untuk melakukan lontaran ataupun pihak wali itu sendiri yang mewakili kanak-kanak tersebut dalam melakukan lontaran.

Kesimpulan

Dalam isu ini, kami berpandangan bagi mereka yang membawa kanak-kanak kecil dalam melaksanakan ibadah haji, sebaik-baiknya kanak-kanaklah yang melontarkan untuk diri mereka sendiri yang ditemani oleh wali atau penjaganya. Ini kerana, kudrat dan kekuatan yang ada pada kanak-kanak yang belum mumayyiz adalah tidak sesuai dan tidak mencukupi dalam melaksanakan ibadah tersebut. Justeru, kepekaan kepada isu ini bagi pihak ibu bapa haruslah ditingkatkan bagi mereka yang berkenaan.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply