Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum tahallul dengan mencabut rambut secara terus tanpa menggunakan gunting atau pencukur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tahallul ialah perbuatan membebaskan diri daripada ihram dengan melakukan segala amalan yang dituntut di dalam rukunnya dengan mencukur atau memendekkan rambut. Bercukur merangkumi semua perbuatan memotong rambut. Ia termasuk menggunting tiga helai rambut atau lebih, mencabut atau memendekkannya walau sekadar mana dan dengan apa-apa alat sekalipun. Ia merupakan rukun menurut pendapat yang sahih dalam Mazhab Syafie. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/142)

Antara cara tahallul yang terbaik dan mengikut sunnah ialah dengan bercukur rambut di kepala secara keseluruhannya ketika bertahallul haji atau umrah. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «وَالْمُقَصِّرِينَ». وَقَالَ اللَّيْثُ: حَدَّثَنِي نَافِعٌ: «رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ» مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ. قَالَ: وَقَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ: حَدَّثَنِي نَافِعٌ، وَقَالَ فِي الرَّابِعَةِ: «وَالْمُقَصِّرِينَ»

Maksudnya: “‘اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Para sahabat berkata: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.” Baginda mengucapkan: “اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Mereka berkata lagi: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.”  Baginda menyambung: “Dan (rahmati jugalah wahai Allah) orang-orang yang menggunting (rambut mereka).” Al-Laith berkata, Nafi‘ menyampaikan kepadaku, bahawa Baginda mengucapkan: “Semoga Allah merahmati orang-orang yang mencukur (rambut mereka).” Baginda mengucapkannya sebanyak dua atau tiga kali. Dia berkata: ‘Ubaidullah berkata: Nafi‘ menyampaikan kepadaku: Baginda berkata pada kali keempat: “Dan (rahmati jugalah wahai Allah) orang-orang yang menggunting (rambut mereka).

Riwayat al-Bukhari (1727) dan Muslim (1301)

Terdapat kelebihan atau hikmah di sebalik keharusan memotong rambut apabila bertahallul, di antaranya:

  1. Sebagai bentuk ketaatan atas perintah agama serta mengikuti Nabi SAW ketika Baginda melaksanakan ibadah Haji.
  2. Sebagai suatu Syi’ar agama atas sempurnanya melaksanakan ibadah Haji dan Umrah. dan bukannya dengan niat riya’ atau ‘ujub.
  3. Sebagai simbol akan gugurnya dosa. Sebagaimana dalam hadith yang menyebut setiap rambut yang digugurkan maka dia mendapat kebaikan dan gugur bersamanya dosa.

Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW berkata kepada lelaki Ansar:

وأَمّا حِلاقُكَ رَأْسِكَ؛ فَلكَ بكلِّ شَعْرَةٍ حَلَقْتَها حسنةُ، وتُمْحى عَنْكَ بِها خَطِيئَةٌ

Maksudnya:Mengenai cukur rambutmu (ketika tahallul), setiap helai rambut yang kamu cukur akan menjadi pahala untukmu, dan ia akan menghapuskan dosa-dosamu dengan setiap helai rambut yang ia cukur.” (Lihat al-Jami’ al-Sahih li al-Sunan wa al-Masanid, 7/303)

Berdasarkan persoalan di atas, hukum mencabut rambut adalah sah dengan syarat rambut yang dicabut itu tidak kurang daripada tiga helai kerana hasil tahallul dengan menanggalkan rambut dengan apa jua cara sekalipun.

Dalam kitab Fiqh al-Manhaji, dinyatakan bahawa syarat-syarat bercukur ialah:

Pertama: Tidak bercukur mendahului waktunya.

Kedua: Tidak kurang daripada tiga helai rambut sama ada bercukur atau menggunting. Ini menurut pendapat yang sahih berdasarkan firman Allah SWT tentang orang yang beriman:

مُحَلِّقِينَ رُؤُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ

Maksudnya: Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya.”

(Surah al-Fath: 27)

Perkataan kepala dalam ayat tersebut bermaksud rambut. Ini kerana kepala tidak boleh dicukur. Begitu juga, perkataan rambut (الشعر) ialah kata jamak dan sekurang-kurangnya tiga helai.

Ketiga: Rambut yang dicukur hendaklah di bahagian kepala. Justeru, tidak memadai mencukur rambut pada janggut, misai dan sebagainya. Bagi kaum wanita, ijma’ ulama’ menyatakan bahawa mereka hanya disuruh bergunting dan tidak disuruh bercukur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/143)

Maksud bergunting ialah memotong rambut tanpa mencabut pangkalnya. Bercukur dan menggunting itu bukanlah tertentu dengan keduanya sahaja, malah yang dimaksudkan dengan menghilangkan rambut itu ialah menghilangkan dengan apa jua cara sekalipun sama ada dengan cara bercukur, memotong pendek, mencabut, membakar atau menggunting.” (Lihat I‘anah al-Talibin, 2/291)

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum bertahallul dengan cara mencabut rambut tanpa menggunakan sebarang alat adalah dibolehkan dan sah tahallul tersebut. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa sekurang-kurangnya tiga helai rambut yang harus dicabut. Begitu juga, elakkan daripada yang menyakitkan seperti mencukur atau bergunting, sudah pasti tidak sakit ketika bertahallul.

Kesimpulan

Dalam hal ini, kami berpandangan bahawa dibolehkan untuk bertahallul dengan cara mencabut terus rambut sekurang-kurang tiga helai. Ini kerana, dalil yang menunjukkan kepada arahan ini adalah secara umum tidak dinyatakan kaedah yang jelas berkenaan hal tersebut. Justeru, mana-mana kaedah yang mencapai maksud tahallul tersebut adalah sah dan dibolehkan. Walaubagaimanapun, kaedah cukur dan tahallul yang terbaik dan paling afdhal adalah dengan mencukur keseluruhan rambut sebagaimana yang didoakan oleh Rasulullah SAW.

Justeru, dalam hal ini, kami menyarankan para jemaah haji dan umrah untuk menggunakan alat seperti gunting atau pisau cukur dalam melaksanakan ibadah ini kerana dibimbangi perkara seperti mencabut ini akan menyusahkan dan merumitkan lagi jemaah haji. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply