Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah umrah seorang jemaah haji yang mengerjakan ibadah umrah tersebut sekembalinya dia dari Mina sedangkan dia masih belum melaksanakan tahallul thani (belum selesai kerja-kerja haji)?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kerjakanlah ibadat haji dan umrah dengan sempurna dan lengkap, secara lahiriyah. Ia dilakukan dengan menunaikan syariat dan rukun menurut yang sepatutnya. Sementara secara batiniah, ia dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT dan bukan dengan tujuan untuk mencari sumber pendapatan menerusi dagangan atau menarik pujian orang dan nama. Meskipun begitu, dibenarkan berdagang dilakukan secara ikhlas, tetapi tujuan sebenar ke Makkah bukan untuk berdagang.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/393)

Tahallul bagi ibadah haji terbahagi kepada dua iaitu talallul awwal dan tahallul thani. Pertama, tahallul awwal boleh dilaksanakan oleh jemaah haji apabila telah melaksanakan dua daripada tiga perkara seperti di bawah.

  • Melontar di Jamrah al-Kubra
  • Tawaf rukun dan sa‘ie (jika sa‘ie masih belum dilaksanakan)
  • Bercukur atau bergunting

Dalam melaksanakan tahallul awwal, jemaah haji diberi pilihan untuk melakukan mana-mana perbuatan di atas secara mengikut turutan ataupun sebaliknya.

Kedua, tahallul thani ialah bila mana jemaah haji berjaya melaksanakan ketiga-tiga perkara yang disebutkan seperti di atas.

Allah SWT berfirman:

لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ

Maksudnya: Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram – insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) – Dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadat Umrah kamu) Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”

(Surah al-Fath: 27)

Pelaksanaan haji dan umrah adalah mengikut apa yang telah dinyatakan oleh syarak. Bagi jemaah haji yang ingin melaksanakan ibadah haji berserta umrah secara sekaligus maka di sana terdapat pensyariatan haji qiran yang menggabungkan di antara dua ibadah tersebut (haji dan umrah). Oleh itu, bagi mereka yang berkeinginan, mereka boleh melakukan haji dan umrah secara qiran.

Merujuk kepada persoalan di atas, jemaah haji yang melaksanakan kerja-kerja haji namun masih belum selesai melaksanakan kerja-kerja tersebut iaitu masih lagi belum selesai tahallul thani adalah dilarang mengerjakan umrah. Hal ini kerana kerja-kerja haji tersebut masih belum sempurna. Justeru, umrah yang dilaksanakan oleh jemaah tersebut sekalipun umrah itu sempurna dikira tidak sah menurut syarak.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan dalam isu ini, jemaah haji yang ingin melaksanakan ibadah umrah wajib menyempurnakan dan menyelesaikan kerja-kerja haji mereka terlebih dahulu. Hal ini kerana dibimbangi berlakunya pertindihan di antara dua ibadah tersebut yang mengakibatkan akan berlakunya pelanggaran yang boleh membawa kepada denda (dam). Dalam melaksanakan ibadah ini, penjagaan yang teliti terhadap kerja-kerja yang dilakukan perlu dibuat agar ibadah yang dibuat mencapai maksud sebenar yang dikehendaki iaitu mardhatillah (keredhaan Allah).

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

 

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply