Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Adakah ketulan darah yang terdapat di dalam faraj wanita pada penghujung haid juga dikira sebagai darah haid walaupun tiada lagi darah yang keluar? Perlukah seseorang wanita menunggu sehingga ketulan darah tersebut hilang sepenuhnya sebelum mandi hadas?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Haid pada sudut bahasa bermaksud mengalir, manakala pada sudut istilah didefinisikan sebagai darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat tanpa sebab-sebab tertentu pada waktu-waktu yang diketahui. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/277)

Antara perkara yang mewajibkan mandi adalah termasuk wanita yang didatangi haid. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Imam al-Qurtubi menafsirkan (قُلْ هُوَ أَذًى) ialah sesuatu yang mengotorkan wanita. Lalu disambung ayat tersebut dengan (فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ) iaitu hendaklah meninggalkan isteri ketika sedang haid. Kemudian ayat seterusnya ditekankan sekali lagi perintah untuk menjauhkan diri pada (وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ). (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 3/86-88)

 

Ketulan Darah Haid

Melihat kepada persoalan pertama yang dilontarkan, ketulan darah yang didapati pada penghujung tempoh haid adalah dikira darah haid.

Hal ini biasanya diakibatkan oleh pembekuan darah yang bergerak di dalam badan, dan perkara ini adalah normal untuk berlaku dalam mana-mana tempoh haid.[1]

Maka, hukum ketulan darah tersebut adalah sama seperti hukum darah haid yang mengalir, wanita tersebut perlu mematuhi setiap larangan yang diletakkan syara’ bagi wanita yang didatangi haid sepanjang tempoh kebiasaannya. Antara larangan tersebut seperti yang disebutkan oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji (1/79) adalah:

  • Menunaikan solat, hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha:

فَإذا أقْبَلَتِ الحَيْضَةُ فاتْرُكِي الصَّلاَةَ، فَإذا ذَهَبَ قَدْرُها، فاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وصَلِّي

Maksudnya: “Ketika kamu didatangi haid, hendaklah kamu tinggalkan solat. Maka apabila tempohnya sudah berlalu, hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.”

Riwayat al-Bukhari (236) dan Muslim (333)

  • Membaca al-Quran, memegang mushaf, dan membawa al-Quran. Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَقْرَإِ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Janganlah wanita yang didatangi haid dan orang yang berada dalam keadaan berhadas membaca apa-apa daripada al-Quran.”

Riwayat al-Tirmizi (131)

Allah SWT juga melarang mereka yang berhadas daripada memegang mushaf, firman Allah SWT:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh mereka yang diakui bersih suci.”

(Surah al-Waqi‘ah: 79)

  • Duduk di dalam masjid. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

(Surah al-Nisa’: 43)

 

Berdasarkan ayat ini, Imam al-Syafi’e menyatakan bahawa seorang yang dalam keadaan junub tidak boleh duduk dalam masjid, dan hanya boleh melaluinya sahaja. (Lihat Ahkam al-Quran, 3/168)

  • Melakukan tawaf. Hal ini kerana Nabi SAW mengatakan bahawa tawaf itu umpama solat. Maka siapa yang diharamkan baginya solat kerana didatangi haid, diharamkan juga baginya untuk mengerjakan tawaf. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

‏ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلاَةٌ

Maksudnya: “Tawaf mengelilingi Kaabah merupakan solat.”

Riwayat al-Nasa’ie (2922), al-Darimi (1889), dan Ibn Hibban (3836).

  • Berpuasa. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ

Maksudnya: “Tidakkah seorang wanita itu apabila dia datang haid dia tidak boleh solat dan tidak boleh berpuasa?”

Riwayat al-Bukhari (1951)

  • Berjimak. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang telah kami sebutkan di atas:

فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ

Maksudnya: “Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Mandi Hadas Bagi Wanita Haid

Sekiranya wanita yang didatangi haid tersebut tidak lagi mendapati sebarang ketulan darah pada farajnya, barulah dia diwajibkan untuk mandi bagi membolehkannya melakukan ibadah selepas bersuci.

Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (2/389) ketika membincangkan perkara ini menyebutkan bahawa wanita tersebut perlu memeriksa terlebih dahulu keadaan dirinya. Sekiranya darah (atau ketulannya) tidak keluar, tetapi apabila dia memasukkan kapas atau seumpamanya ke dalam batin alat sulitnya (bahagian faraj yang tidak wajib dicuci ketika istinja’ dan hanya kelihatan ketika mencangkung) lalu didapati pada kapas tersebut ada kesan darah termasuklah warna coklat, maka dia masih berada dalam keadaan fatrah haid, yakni tempoh haid. Ini berdasarkan hadith riwayat ‘Aisyah R.Anha:

كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ

Maksudnya: “Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”

Riwayat Malik (97)

 

Kesimpulan

Hukum ketulan darah haid mengambil hukum yang sama dengan darah haid yang mengalir. Oleh yang demikian, kesemuanya perkara yang terkait dengan haid terpakai kepada wanita yang mendapati darah haidnya berketul, seperti larangan ketika haid.

Wanita tersebut juga perlu memastikan ketulan tersebut hilang sepenuhnya terlebih dahulu sebelum membolehkannya untuk mandi hadas besar dan menunaikan ibadah.

 

Wallahua‘lam.

[1] Lihat https://hellodoktor.com/kesihatan-wanita/haid/darah-period-berketul/. Disemak pada 15 Mei 2023.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply