Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jatuhkah talak jika suami menyebut “Kita bercerai saja.” Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan, ia masih berbalik kepada kaedah:

الْأُمُور بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara bergantung kepada niatnya.” (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair li al-Subki, 1/54)

Kalimah yang ditanyakan dalam persoalan di atas masih perlu kepada pentafsiran yang lebih baik. Justeru, kami sarankan agar rujuklah kepada mahkamah. Kaedah menyebut:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Kami juga ingin menasihatkan di sini, bahawa janganlah bermain-main dalam isu cerai ini. Perkara ini termasuk daripada perkara yang tidak boleh dijadikan bahan gurauan. Hal ini ditegaskan oleh Nabi SAW di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak).”

Riwayat Abu Daud (2194)

Hadith di atas jelas menunjukkan larangan untuk bermain-main dalam tiga perkara di atas. Hal ini kerana gurauan di dalam tiga perkara itu akan dihukumkan sebagai maksud asal perkataan tersebut tanpa mengira niat untuk bergurau. Disebutkan juga bahawa, sekiranya gurauan dibuat oleh suami dan isteri sudah baligh, berakal dan tidak dipaksa mana-mana pihak, maka lafaz talak yang dilafazkan adalah dikira, dan jatuh talak mengikut apa yang disebutkan. (Lihat al-Mu’tamad, 4/ 157)

Selain itu, kami juga ingin menasihatkan agar jagalah lidah dalam perhubungan serta berikan kesungguhan untuk menjaga solat. Firman Allah SWT:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan ‘حَافِظُوا’ (“peliharalah”) adalah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 3/212)

Guru kami, Fadilatus Syeikh al-Allamah Dr Muhammad Muhammad Mukhtar al-Syanqiti berkata: Ayat ini berada di celah-celah ayat cerai. Ia menggambarkan jumlah mu’taridah. Para ulama’ menekuni ayat ini dan cuba memahami hikmah mengapa ia diletakkan di celah-celah ayat cerai. Lantas dijawabnya, ia kerana orang yang menjaga solat, Allah memelihara daripada perceraian pada kebanyakannya. Ini kerana, dengan kukuh dan utuhnya hablum min Allah, maka syaitan tidak dapat lagi untuk menggodanya dan memusnahkan rumah tangganya. Itulah peri pentingnya solat berjemaah dalam keluarga.

Kami juga mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan pasangan agar sentiasa muhasabah diri masing-masing dengan menghadirkan diri ke majlis ilmu. Ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman termasuklah dalam isu melayari bahtera kehidupan dengan sebaik-baiknya mengikut neraca syariat. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply