Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan. Saya mengalami masalah kulit pada bahagian kaki dan tangan. Masalah kulit tersebut akan mengeluarkan cecair (berwarna jernih) jika saya menggaru akibat kegatalan. Soalan saya, adakah pakaian yang terkena cecair tersebut tidak boleh digunakan untuk solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya:Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah al-Muddatthir: 4)

Al-Syaukani menyatakan bahawa ayat di atas bermaksud Allah SWT memerintahkannya untuk membersihkan pakaiannya dan memelihara pakaian tersebut daripada najis. Manakala Qatadah pula menyatakan bahawa maknanya adalah bersihkanlah dirimu daripada dosa-dosa. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, oleh Sulaiman al-Asyqar, hlm. 776).

Al-Sa‘di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa berkemungkinan lafaz ‘pakaian’ dalam ayat ini bermaksud  seluruh perbuatan Rasulullah SAW dan makna ‘membersihkannya’ pula adalah dengan tulus dan ikhlas serta melaksanakannya dengan sebaik-baik pelaksanaan  dan memurnikannya daripada sebarang perkara yang membatalkan, merosakan dan mengurangkan pahalanya seperti syirik, riyak, nifak, ujub, takbur, lalai dan sebagainya yang diperintahkan kepada hamba-Nya untuk ditinggalkan ketika peribadatan kepada-Nya. Termasuk juga dalam perkara itu, perintah untuk membersihkan pakaian daripada najis. Hal ini kerana perkara tersebut merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian amalan khususnya di dalam solat, sebagaimana dinyatakan oleh para ulama bahawa menghilangkan najis daripadanya termasuk dalam syarat sah solat.  

Selain itu, berkemungkinan juga lafaz ‘pakaian’ itu adalah dengan makna pakaian sebagaimana yang kita ketahui. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW diperintahkan untuk membersihkan pakaiannya daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya ketika masuknya waktu solat. Sekiranya Baginda diperintahkan dengan penyucian secara zahir, maka sesungguhnya penyucian secara zahir itu merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian secara batin. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/895).

Syarat sah solat

Di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.

Riwayat Abu Dawud (365)

Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis.

Sebelum menjawab solaan di atas, secara umumnya cecair yang keluar daripada manusia terbahagi kepada dua jenis. Pertama, apa yang dihukumkan sebagai najis seperti air kencing dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, apa yang keluar dari dua saluran (qubul dan dubur) kecuali air mani. Kedua, apa yang dihukumkan sebagai kotor tetapi tidak najis seperti air liur dan lain-lain.

Imam al-Nawawi menyebutkan, tidak ada beza (dari segi hukumnya suci) pada peluh, air liur, hingus dan air mata, antara orang yang berjunub, perempuan yang haid, orang yang suci, Muslim dan kafir. Bahkan kesemuanya itu adalah suci daripada mereka, dan daripada haiwan yang suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/577). Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa bagi manusia, apa yang keluar dari saluran selain daripada qubul dan dubur ada dua jenis. Salah satunya ada suci seperti air liur, air mata, peluh dan hingus. (Lihat al-Mughni, 2/493). Begitulah juga, al-Bajuri menyatakan, sesuatu yang keluar dari saluran lain — selain qubul dan dubur — dihukumkan sebagai suci kecuali muntah yang keluar dari mulut selepas sampai ke dalam perut. (Lihat Hasyiah al-Bajuri, 1/100).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, cecair jernih yang keluar disebabkan oleh garuan atau gosokan yang kuat pada kulit bukanlah najis. Mengenai hal ini, al-Syirazi ada menyatakan, adapun nanah ia adalah najis kerana ia adalah darah yang sudah membusuk. Jadi, jika darah dihukumkan sebagai najis, maka nanah adalah lebih-lebih lagi kenajisannya. Manakala air luka pula, jika sudah mengeluarkan bau, maka ia dihukumkan sebagai najis sebagaimana nanah tadi. Namun, jika ia tidak berbau, maka ia adalah suci seperti mana cecair tubuh yang lain. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/92).

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi kenyataan al-Syirazi di atas dengan menyebutkan, nanah dihukumkan sebagai najis tanpa sebarang khilaf. Begitu juga air luka yang telah berubah, hukumnya adalah najis najis menurut kesepakatan para ulama. Adapun air luka yang masih belum berubah, maka ia adalah suci menurut pendapat ulama mazhab. Ini juga merupakan pendapat yang diputuskan oleh Imam al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Syeikh Abu Hamid dan lain-lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/558).

Kesimpulan

Justeru, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat cecair jernih yang keluar akibat garuan pada kulit adalah suci dan bukannya najis. Maka, apabila sudah sabit bahawa cecair jernih itu adalah suci dan bukannya najis, maka solat yang didirikan dengan memakai pakaian yang terkenanya adalah dikira sah, sekalipun tidak mencucinya atau membersihkannya terlebih dahulu sebagaimana benda-benda suci yang lain.

Namun, kami juga ingin menasihatkan, sebaik-baiknya balutlah kawasan yang mengeluarkan cecair jernih tersebut jika ia terlalu banyak dan sekiranya ia tidak memudaratkan — iaitu tidak menjadikan kondisi kulit yang digaru lebih teruk disebabkan oleh balutan tersebut. Hal ini adalah supaya ia tidak mengganggu orang lain atau menyebabkan orang lain tidak selesa dengan kita.

Kami juga mengambil kesempatan di sini, mendoakan kesembuhan kepada saudara yang bertanya. Moga-moga Allah sedikit dugaan atau ujian yang diberikan kepada kita itu akan menjadi penghapus kepada dosa-dosa kita, dan seterusnya menjadikan kita hamba-Nya yang lebih dekat kepada-Nya. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply