Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana wuduk untuk mendirikan solat bagi pengidap buasir stage 2, yakni usus tidak keluar tetapi benjolan sekitar dubur membengkak tanpa darah keluar seperti pengidap buasir stage 4?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara syarat sah solat adalah  memastikan diri, pakaian serta tempat solatnya suci dari sebarang najis. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

اِذَا اَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَدَعِيَ الصَّلاَةَ، وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّي

Maksudnya: Maksudnya: “Jika datang darah haid maka tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh itu maka bersihkanlah (darah) dari dirimu dan kerjakanlah sembahyang.”

Riwayat al-Bukhari (306) dan Muslim (333)

 

Definisi Buasir

 

Buasir adalah salur darah vena yang membesar di bahagian bawah rektum dan dubur. Ia akan menjadi masalah apabila berlaku radang atau bengkak. Buasir boleh diklasifikasikan kepada dua bergantung kepada lokasinya iaitu buasir luaran atau buasir dalaman. Kedua-dua ini mempunyai simptom dan masalah yang berbeza. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)

Buasir boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan selalunya ia berlaku kepada orang dewasa yang berumur 30 tahun ke atas, obesiti dan wanita mengandung.

 

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat dalam isu ini, dia boleh mengambil wuduk seperti biasa. Hal ini kerana buasir yang dialaminya tidak mengeluarkan darah dan solatnya sah. Namun, jika sekiranya ia mengeluarkan darah, maka antara adab-adab sebelum menunaikan solat adalah:

  1. Menunggu masuk waktu solat.
  2. Membersihkan atau membalut tempat keluarnya darah sekadar termampu.
  3. Menyumbat atau membalut tempat keluarnya najis.
  4. Berwudhuk dan diniatkan seperti berikut:-

نَوَيْتُ الوُضُوء لِاسْتِبَاحَةِ الصَلَاة للهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku mengambil wudhuk untuk mengharuskan solat kerana Allah Taala”.

  1. Segera menunaikan solat selepas berwudhu’ (solatnya sah dan tidak perlu diulang).
  2. Wudhu’ ini hanya boleh digunakan untuk satu solat fardhu sahaja dan semua solat-solat sunat yang lain. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, hlm 533-542)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa tidak wajib berwudhu’ bagi luka atau buasir, melainkan ia berada pada bahagian dalam punggung (yakni darah yang keluar dari dalam dubur) dan ini membatalkan wudhu’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 2/541)

Begitu juga, Fatawa Syabakah Islamiyyah menjelaskan bahawa sekiranya darah buasir keluar dari bahagian luar dubur, makai a tidak membatalkan wudhu’. Namun, hendaklah dia membasuh tempat keluar darah kerana darah ialah najis dan setelah itu dia boleh menunaikan solat. (Lihat Fatawa Syabakah Islamiyyah, 11/ 4038)

 Kesimpulan

Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Al-Baghawi berkata: Ayat ini merupakan ayat nasakh bagi ayat ke-102 surah Ali ‘Imran yang dahulunya syadid dalam melakukan ibadah dan juga taat kepada perintah Allah, maka ayat ini diturunkan sebagai keringanan kepada umat Islam supaya beribadah kepada-Nya sesuai dengan kemampuan mereka. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 8/144) 

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa`di berkata:  “Ayat ini menunjukkan bahawa semua kewajipan syarak yang tidak mampu ditanggung oleh hamba, maka akan gugur jika dia tidak mampu. Dia mampu untuk melaksanakan sebahagian daripada kewajipan itu, tetapi tidak mampu pada sebahagian yang lain, maka dia melaksanakan pada apa yang dia mampu sahaja, dan gugur pada perkara yang dia tidak mampu, seperti mana sabda Nabi SAW: Jika kalian diperintahkan dengan suatu perintah maka laksanakannya berdasarkan kemampuan kalian.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 313)

Dalam permasalahan ini, kami berpendapat saudara boleh mengambil wuduk seperti biasa kerana buasir yang dialami tidak mengeluarkan darah. Maka tiada najis yang perlu dibersihkan. Namun, jika sekiranya buasir yang dialami mengeluarkan darah makai a perlu dibersihkan terlebih dahulu sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Semoga jawapan ini dapat menjawab pertanyaan yang diajukan oleh saudara. Wallahua’lam.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply