Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah memakai niqab itu wajib? Adakah berdosa besar jika tidak beniqab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

(Surah al-Nur: 31)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata ketika menghuraikan maksud ” وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ” menyatakan: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka iaitu bahagian yang tersembunyi atau tempat letak perhiasan iaitu selain daripada muka dan tapak tangan.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 18/211)

Syeikh al-Sa‘di mentafsirkan ‘kecuali yang zahir daripadanya’ pada ayat di atas sebagai pakaian yang zahir, iaitu yang biasa dipakai menurut adat setempat dengan syarat pakaian tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 566)

Syeikh Zakariyya al-Ansari berkata: Berkenaan firman-Nya, {وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا}, Ibn Abbas dan selainnya berkata ‘lafaz selain daripadanya’ ialah muka dan kedua tapak tangannya, dan keduanya bukanlah aurat kerana terdapat keperluan untuk menzahirkannya. (Lihat Asna al-Mathalib, 1/176)

Disebutkan di dalam kitab Nihayah al-Mathlab: Berdasarkan firman Allah SWT: Lafaz {إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا}, maksudnya: kecuali yang zahir daripadanya. Kebanyakan para ahli tafsir berkata: yang dimaksudkan di sini ialah bahagian muka dan kedua tapak tangan. Hal ini disebabkan keduanya boleh dibuka ketika solat. Oleh itu, tidak menjadi kewajipan bagi para wanita untuk menutupnya. (Lihat Nihayah al-Mathlab, 12/31)

Dalam sebuah hadis mursal, daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَسْمَاءُ، إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا. وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ

Maksudnya: “Wahai Asma’! Sesungguhnya seseorang wanita apabila telah didatangi haid tidak elok dia membiarkan dirinya dilihat melainkan ini dan ini. Lalu Rasulullah SAW menunjukkan ke wajahnya dan tapak tangannya.”

Riwayat Abu Daud (4104)

Jika seseorang wanita itu bimbang kepada fitnah, maka boleh menutup wajahnya untuk menjaga dirinya. Khususnya, bagi menjaga kehormatan dan mengelakkan perkara yang tidak diingini. Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah R.anha ketika bertemu dengan para sahabat Nabi SAW, beliau akan mengangkat istar menutupi wajahnya.

Terdapat khilaf di dalam mazhab al-Syafie tentang hukum berniqab bagi wanita di hadapan lelaki ajnabi di luar solat. Sebahagian mereka mengatakan ianya wajib, sebahagian lain mengatakan sunat, dan sebahagian lain menyatakan ia khilaf aula (lebih baik ditinggalkan). (Lihat al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/314)

Kami memilih bahawa aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi di luar solat adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.

Ini berdalilkan ayat al-Quran:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

(Surah al-Nur: 31)

Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (3/167) berkata: Bahawa Ibn Abbas menafsirkan ‘kecuali yang zahir’ dengan dengan ertinya kecuali wajah dan kedua tapak tangan. Mereka juga berdalilkan hadis nabi tentang keadaan wanita dalam keadaan ihram:

وَلاَ تَنْتَقِبِ الْمَرْأَةُ الْمُحْرِمَةُ وَلاَ تَلْبَسِ الْقُفَّازَيْنِ.

Maksudnya: “Janganlah seorang wanita berniqab ketika melakukan ihram dan jangan pula dia memakai sarung tangan pada kedua tangannya.”

Riwayat al-Bukhari (1838)

Namun begitu para ulama berpendapat wajib menutup wajah dan tapak tangan jika bimbang membawa kepada fitnah dan syahwah.

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi pernah menyebut berkenaan memakai purdah bagi wanita:

النِّقَابُ لَيْسَ مَفْرُوْضًا وَلَيْسَ مَرْفُوْضًا

Maksudnya: “Niqab itu tidaklah difardukan dan tidak pula ditolak.”

Yang penting bersederhanalah dengan meraikan keadaaan dan keselesaan di samping aurat yang disepakati wajib ditutup.

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply