Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum mengaji untuk tujuan khatam. Tetapi tidak menutup aurat sepenuhnya. Sah atau tidak? Bagi wanita. Diterima atau tidak bacaan mengaji tersebut.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, hukumnya adalah sah kerana mengaji al-Quan tidak disyaratkan untuk menutup aurat. Namun, yang afdhalnya adalah menutup aurat. Ini sebagai menghormati kalamullah.

Fatwa daripada bekas Mufti Mesir, Syeikh ‘Atiyah Saqr menyebut:  “Diharuskan/dibolehkan seorang wanita membaca al-Quran dengan kepala terdedah atau dengan berpakaian yang biasa dipakai dalam rumah, asalkan tidak ada lelaki ajnabi yang melihatnya. Namun yang terbaik adalah dia memakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna, berwudhu’ dan menghadap ke arah kiblat, supaya bertambah pahalanya.” (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 8/419 – Syeikh ‘Atiyyah Saqr, Mei 1997)

Manakala berkenaan pahala untuk khatam, ya memang kita digalakkan. Bahkan, ada hadis yang menyebut bahawa manusia mengikut akhir ayat-ayat al-Quran yang dibaca.

يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا ‏

Maksudnya: “Dikatakan kepada Sohib al-Quran (di akhirat): “Bacalah al-Quran dan naiklah (ke syurga) serta tartilkanlah (bacaanmu) sebagaimana engkau tartilkan ketika di dunia. Sesungguhnya kedudukan dan tempat tinggalmu (di syurga) berdasarkan akhir ayat yang engkau baca.”

Riwayat Abu Daud (1464), al-Tirmizi (2914), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (8056) dan Ahmad (6799). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan dalam takhrij Riyadh al-Salihin (1001) 

Terdapat juga banyak dalil-dalil ayat al-Quran yang menyuruh kita membaca al-Quran dan kelebihannya. Antaranya:

  • Daripada Abu Umamah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.”

Riwayat Muslim (804)

  • Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (2835)

  • Daripada Abi Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 مَثَلُ المُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ كَالأُتْرُجَّةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ، وَمَثَلُ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا

Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujah (limau sitrus), rasanya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah Kurma, rasanya enak tetapi tidak berbau.”

Riwayat al-Bukhari (7560) dan Muslim (797)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply