Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanya, apakah hukumnya bagi pembesar mahupun rakyat yang sengaja mengelak membayar amaun cukai yang sepatutnya kepada negara dengan pelbagai kaedah penipuan dan menyembunyikan pendapatan? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab isu ini kewajipan rakyat ialah mentaaati pemerintah. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah) kepada ulil amri dari kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi menyatakan, suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.

Justeru itu, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 2360/4).

Secara umumnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum mengutip cukai dalam Islam. Ada yang membenarkannya dan ada juga yang mengharamkannya. Ringkasnya, sumber pendapatan negara yang dikutip daripada rakyat dibahagikan kepada dua iaitu zakat dan cukai. Isu cukai adalah isu siyasah syar’iyah yang bergantung kepada maslahah yang berbeza-beza antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan maslahah pada sesuatu zaman berbanding zaman yang lain.

Cukai yang tidak berasaskan maslahah yang dibenarkan oleh Syarak dan juga terdapatnya penindasan atau kezaliman dalam mengambil cukai maka hukumnya adalah haram. Oleh itu, jika Kerajaan sesebuah pemerintahan mengutip cukai bagi memenuhi maslahah daruriyat dan hajiyat rakyat, seperti untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat serta untuk keperluan jihad fi sabilillah, maka ia adalah dibenarkan. Ini dilihat selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الشَّرِيعَةُ وُضِعَتْ لِمَصَالِحِ العِبَادِ وَدَرْءِ الـمَفَاسِدِ عَنْهُمْ

Maksudnya:Syariat itu dibina atas dasar memenuhi maslahat manusia dan menjauhkan mafsadah daripada mereka.”

Tidak dapat dinafikan, apabila kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, wujud kemudharatan khusus iaitu harta milik rakyat akan berkurangan. Namun, jika cukai tidak dikutip, banyak maslahat umum tidak dapat dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Oleh itu, berdasarkan kaedah fiqh:

يُتَحَمَّلُ الضَّرَرُ الْخَاصُّ؛ لِأَجْلِ دَفْعِ ضَرَرِ الْعَامِّ

Maksudnya:Ditanggung kemudaratan khusus untuk mengelakkan berlakunya kemudaratan umum.”

Atas dasar tersebut, kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi maslahah umum.[1]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pernah ditanya berkenaan, adakah dibenarkan bagi seseorang Islam untuk berbohong dan memberikan maklumat palsu tentang gaji dan pendapatannya bagi mengelak cukai yang dikenakan oleh negara? Dr. Nasr Farid Wasil (Mantan Mufti Mesir) menjawab, tidak dibenarkan menurut syarak bagi seseorang Muslim untuk berbohong dan memberikan maklumat palsu tentang gaji dan pendapatan sebenar bagi mengelakkan cukai. Hal ini kerana berbohong termasuk dalam dosa-dosa besar berdasarkan hadith daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

وَإِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ؛ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِى إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِى إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya:Jauhilah dusta kerana sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”

Riwayat al-Bukhari (6094) dan Muslim (2607)

Begitu juga kerana ia akan menyebabkan kemudaratan kepada negara, di mana negara tidak dapat menjalankan fungsinya dengan baik dalam menguruskan amanah atau urusan rakyatnya — kerana cukai merupakan antara sumber pendapatan penting sesebuah negara.[2]

Pada 30 Januari 2023, Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Sazali Mohamad berkata, kerajaan mengalami kerugian sekitar RM150 juta akibat kegagalan syarikat perniagaan dan industri membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tahun lalu. Pihaknya mendapati kurang 10 peratus syarikat dan industri dikesan gagal membayar cukai berkenaan. Beliau berkata, ahli lembaga pengarah syarikat yang gagal membayar cukai SST akan berdepan tindakan sekatan ke luar negara.

Kerajaan memperuntukkan cukai yang dikutip ini untuk dibelanjakan bagi tujuan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat; pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital dan sekolah; serta pembangunan ekonomi dan sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat.

Secara ringkasnya, cukai itu kunci kepada pentadbiran negara yang berkesan dan kita tidak akan dapat lari daripadanya. Kita juga perlu faham bahawa hasil kutipan cukai yang diperoleh daripada rakyat akan dapat dimanfaatkan dan dinikmati semula oleh seluruh rakyat Malaysia. [4]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa membayar cukai adalah wajib kerana ia termasuk dalam mentaati ulil amri. Apatah lagi pembayaran cukai itu pula adalah salah satu daripada sumber pendapatan negara, yang mana ia juga akan digunakan bagi memenuhi keperluan maslahat negara dan rakyatnya. Hal ini bertepatan dengan kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.” 

Sebarang perbuatan menipu atau berbohong seperti menyembunyikan pendapatan dan seumpamanya hendaklah dijauhi. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya:Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.”

Riwayat Muslim (102) dan Ibn Hibban (4905)[3]

Dalam riwayat Muslim yang lain datang dengan lafaz:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya:Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101)

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT:

فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya:Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).

(Surah Ibrahim: 36)

Oleh itu, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya pebuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)

Sekalipun begitu, cukai yang dikenakan itu mestilah tidak membebankan rakyat dan menzalimi mereka. Selain itu juga dicadangkan agar para pembayar zakat dapat diberikan rebat atau pengecualian daripada pembayaran cukai.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a’lam.

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/12449. Diakses pada 16 Mei 2023.

[2] Lihat https://akhbarelyom.com/news/newdetails/3626690/1/ الإفتاء-الكذب-للتهرب-الضريبي-كبيرة-من-ال dan http://www.fatawa.com/view/13844/?search=&frompage=list. Diakses pada 16 Mei 2023.

[3]Lihat  https://www.utusan.com.my/nasional/2023/01/negara-rugi-rm150-juta-syarikat-culas-bayar-sst/. Diakses pada 16 Mei 2023.

[4] dan Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih mengikut syarat Muslim.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply