Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, jika bermusafir selama seminggu ke luar negara dalam keadaan kawasan solat yang terhad dan sepanjang tempoh musafir banyak keluar dan hanya pulang ke tempat penginapan untuk tidur, bolehkah solat jamak (tanpa qasar) dilaksanakan sepanjang tempoh musafir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/473) berkata:

“Jika seseorang yang bermusafir, bermukim dalam suatu bandar, atau kampung, kerana suatu kesibukan, atau keperluan, sedangkan niatnya ialah dia akan beredar apabila hajatnya selesai, pada bila-bila masa, atau dia ditahan oleh angin ribut di suatu tempat di laut, maka dibenarkan untuknya menunaikan solat secara qasar selama 18 hari sahaja mengikut pendapat yang asah, dan dalam isu ini ada qoul-qoul yang lain, dan awjuh (pendapat-pendapat Ashab) sendiri mencapai tujuh pandangan. Jika dia mengetahui bahawa kesibukannya tidak dapat selesai sebelum empat hari, kecuali hari masuk dan keluar, seperti muttafaqih (orang yang sedang mendalami ilmu), pemukim bagi perniagaan yang besar, untuk menunggu solat Jumaat, dan seumpamanya, sedangkan antaranya dengan pelepasan hajat itu ada empat hari, maka tidak dibenarkan qasar solat baginya berdasarkan pendapat madzhab. Ini kerana dia itu (dianggap) sudah tinggal, secara tenang, yang jauh daripada karakteristik para musafir, berbeza dengan orang yang menjangka terhadap suatu hajat yang boleh diselesaikan pada bila-bila waktu kemudian beredar, maka dia itu dianggap berada dalam kesukaran permufiran.”

Kami sengaja menyebut pendapat di atas sebagai keluasan dalam fiqh untuk isu di atas, kami lebih cenderung kepada harus baginya qasar dan jamak solat selama mana mereka bermusafir walaupun seminggu dan terlalu banyak keluar pada setiap hari kecuali pulang waktu petang untuk menginap atau tidur.

Kami asaskan hujah inu juga berdasarkan kepada hadith Nabi SAW:

Daripada Imran bin Husain RA, katanya:

غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَشَهِدْتُ مَعَهُ الْفَتْحَ فَأَقَامَ بِمَكَّةَ ثَمَانِىَ عَشْرَةَ لَيْلَةً لاَ يُصَلِّى إِلاَّ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Aku berperang bersama-sama Rasulullah ﷺ dan bersama-sama Baginda ketika pembebasan Makkah. Baginda tinggal di Makkah selama lapan belas hari dan Baginda tidak bersolat kecuali mengqasarkannya dua rakaat.”

Riwayat Abu Daud (1229)

Nabi ﷺ telah tinggal di Makkah selama tempoh tersebut pada tahun pembebasan kerana memerangi puak Hawazin, dan Baginda mengqasarkan solatnya sedangkan Baginda tidak pasti berapa lama Baginda terpaksa tinggal di situ. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/187)

Semoga dengan pencerahan ini, kita sentiasa menunaikan solat dan juga zuriat kita walaupun dalam apa juga keadaan kehidupan kita. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply