Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum jika tidak membayar zakat pendapatan atau cukai pendapatan dengan alasan hutang tahunan dengan bank melebihi jumlah pendapatan tahunan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertama, adalah diwajibkan dengan zakat mengikut pandangan yang makruf di Malaysia.
Zakat pendapatan bermaksud zakat yang dikenakan ke atas perolehan melalui gaji dan pendapatan bebas. Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitab Fiqh al-Zakah, pekerjaan manusia adakalanya bebas tanpa terikat dengan kerajaan. Di kalangan mereka ada yang jadi doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan sebagainya. Adakalanya ia terikat dengan jabatan kerajaan, swasta dan sebagainya di mana mereka bekerja dan diberi gaji bulanan secara tetap. Pendapatan yang diperolehi itu dipanggil al-mal al-mustafad. Ia wajib dizakatkan. (Lihat Fiqh al-Zakah: Dirasah Muqaranah li Ahkamiha wa Falsafatiha fi Dhau’i al-Quran wa al-Sunnah, 1/519)
Kewajipan zakat ke atas pendapatan yang diperoleh dapat dilihat dan difahami melalui maksud daripada firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat).”
(Surah al-Baqarah: 267)
Fatwa Wilayah Persekutuan tentang zakat penggajian menyebut: Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus. Oleh itu adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut. (Bertarikh 9 April 1999)
Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 berkenaan Zakat Gaji dan Pendapatan Professional, menyebut: “Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.”
Manakala berkenaan cukai pendapatan, ia adalah hak pemerintah, di mana kita diwajibkan untuk taat kepada pemerintah. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.”
Surah al-Nisa’ (59)
Ibn Kathir dalam menjelaskan ayat ini menyebut bahawa Ulil Amri mencakupi umara’ (pemerintah) dan juga ulama’ (ahli ilmu agama). Makna ketaatan kepada Ulil Amri adalah dalam rangka ketaatan kepada Allah dan bukan dalam perkara maksiat. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/250)
Syeikh al-Maraghi menyebut, ulil amri (pemerintah) berkuasa di atas urusan kemaslahatan yang tidak terdapat nas di dalam agama. Mentaati mereka ini (ulil amri) hukumnya adalah wajib. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1242)
Manakala berkenaan dengan hutang, maka langsaikanlah secara berdikit-dikit dan berhemah. Kami mengesyorkan bahawa dalam bab pengurusan kewangan ini, maka rujuklah kepada pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang berfungsi sebagai pemberi nasihat dan tunjuk ajar kepada khalayak masyarakat dalam mengurus tatakelola kewangan dan keberhutangan. Ia amat baik untuk dirujuk bagi penyelesaian masalah yang terkait dengan hutang.
Akhirnya, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan Allah SWT bahagiakan hidup kita dan meluaskan hidup kita termasuk melunaskan pinjaman atau hutang.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Dawud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H