Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum menanam pohon kecil di atas kubur? Adakah perbuatan seperti ini dibolehkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW:

أَنَّهُ مَرَّ بِقَبْرَيْنِ يُعَذَّبَانِ، فَقَالَ: «إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ، وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ»، ثُمَّ أَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً، فَشَقَّهَا بِنِصْفَيْنِ، ثُمَّ غَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لِمَ صَنَعْتَ هَذَا؟ فَقَالَ: «لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا.

Maksudnya: Bahawasanya Baginda berjalan melewati dua kubur yang (penghuninya) sedang diseksa, lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-duanya benar sedang diseksa, dan tidaklah kedua-duanya diseksa disebabkan oleh perkara-perkara yang besar. Adapun salah seorang daripada mereka dahulunya sering tidak bersuci daripada kencing. Sedangkan yang lainnya dahulu sering mengadu domba.” Kemudian Baginda mengambil sebatang pelepah tamar yang masih basah lalu membelahnya menjadi dua bahagian. Kemudian Baginda memacakkannya pada setiap kubur satu bahagian. Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa engkau melakukan hal ini?” Maka Baginda pun menjawab: “Semoga diringankan (azab seksaan) daripada mereka berdua selagi dua belahan pelepah ini tidak kering.”

Riwayat al-Bukhari (1361) dan Muslim (292)

 

Imam al-Nawawi berkata: “Adapun perbuatan Baginda SAW meletakkan dua pelepah tamar di atas kubur, maka berkata para ulama, hal itu berkemungkinan kerana Baginda SAW memohon syafaat bagi mereka berdua, lalu dimustajabkan syafaatnya SAW dengan diringankan azab daripada mereka berdua sehingga dua pelepah itu kering.

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Mungkin makna itu ialah benda itu bertasbih selama mana masih lembap, lalu terhasillah peringanan azab dengan berkat tasbih itu. Justeru, makna ini boleh diletakkan pada setiap benda yang mempunyai kelembapan, daripada jenis tumbuhan atau selainnya, dan boleh juga diletakkan pada perkara yang mempunyai keberkatan seperti zikir, membaca al-Quran, bahkan itu lebih utama.” (Lihat Fath al-Bari, 1/320)

Ibn Hajar al-Haitami menyebut: Disunatkan untuk meletakkan pelepah yang hijau di atas kubur kerana ittiba’ (mengikut Nabi SAW), dan kerana sesungguhnya perbuatan itu boleh meringankan azab dengan berkat tasbih pelepah itu, lantaran tasbih itu lebih sempurna berbanding tasbih dari pelepah yang kering, di mana kehijauan itu adalah sejenis tanda-tanda hidup.

Boleh diqiyaskan hukum ini pada apa yang biasa dilakukan seperti meletakkan tumbuh-tumbuhan yang wangi dan seumpamanya. Haram mencabutnya (setelah diletakkan) sepertimana yang dibahaskan ulama’ kerana perbuatan mencabut itu menafikan hak mayat. Namun, pada zahirnya, tidak haram jika mencabut tumbuhan yang sudah kering untuk dibuang, kerana sudah hilang hak bagi mayat itu, kerana kekeringannya. Disunatkan untuk meletakkan tumbuhan yang masih hijau dan membuang yang sudah kering secara keseluruhan, kerana melihat kepada kaitan yang disebut oleh Baginda SAW tentang peringanan azab dengan warna hijau selama mana masih tidak kering.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/197)

Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin (hlm. 202), disebut: “Meletakkan tumbuhan yang hijau di atas kubur dianggap baik oleh sebahagian ulama, tetapi ditentang oleh al-Khattabi. Adapun menanam tumbuhan di atas kubur dan menyiramnya, jika hal itu boleh menyebabkan bahagian pokok yang segar atau akar sampai kepada mayat, maka diharamkan. Jika tidak sampai, maka dimakruhkan dengan kemakruhan yang bersangatan. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa hukumnya adalah haram. (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 202)

Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa masalah seperti ini adalah khilaf. Justeru, sebaik-baiknya ikutlah apa yang telah disebut atau dilakukan oleh Rasulullah SAW. Tanpa menafikan adanya makhluk Allah seperti pohon kayu bertasbih, maka begitulah makhluk yang lain juga bertasbih. 

Saya nyatakan, kubur tetap kekal sebagai tempat peringatan yang terbaik kepada manusia bagi mengingati mati dan kesudahannya. Justeru, dengan sifat kekuburan yang tidak bertukar kepada taman, maka kesan ingatan kepada kematian serta melihat tanah kubur akan terasa pada sanubari. 

Benarlah hadith Rasulullah SAW, daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat.”

Riwayat Ibn Majah (307) dan Ibn Hibban (981). Syeikh Syu’aib al-Arnauth menyatakan bahawa isnadnya dha’if dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (981).

Daripada Abu Said al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوهَا، فَإِنَّ فِيهَا عِبْرَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya aku dahulunya melarang kamu daripada ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kerana padanya ibrah (pengajaran).”

Riwayat Ahmad (11329), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (7447) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (1386)

Semoga Allah SWT selamatkan kita dari azab kubur tetapi sebaliknya dikurniakan dengan nikmat kubur. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab neraka Jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal.”

Riwayat Muslim (588)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply