Soalan:

Salam Dato’ Seri. Bagaimana dengan tawaf seorang wanita yang selalu keluar keputihan tanpa boleh dikawal. Jika semasa dia tawaf, keluar keputihan dari faraj, adakah dia perlu menyucikan diri dan ambil wuduk semula dan sambung tawaf?

 

Jawapan :

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat.

 

Maksud Keputihan

Apakah itu keputihan ?

Keputihan   ( الإفرازات/ رطوبة جوفية ) adalah cecair yang keluar  daripada bahagian batin faraj seperti air mazi, air wadi dan sebagainya.  Had batin faraj iaitu tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak (Lihat Hasyiyah Jamal  (1/178).  Hasil kajian beberapa wanita   mendapati cecait keputihan menyerupai warna gam pekat yang  berwarna putih atau hingus yang berwarna putih  dan kadang-kadang bercampur warna kekuningan   dan sedikit hijau. ( Lihat Tuhfah al-A‘izza hlm242)

Keputihan (leukorrhea)   menurut kamus  perubatan  ialah pengeluaran lendiran  putih atau kuning daripada faraj atau serviks.[1]Keputihan fisiologis merupakan petanda yang sangat normal  kerana hampir setiap wanita melalui keadaan ini. Namun ciri-ciri  keputihan berpenyakit adalah keluar lendir kental berwarna kelabu, kuning atau hijau  berbau busuk dan menyebabkan kegatalan pada faraj   atau dikenali keputihan patologi. Penyakit keputihan patologi  adalah berpunca daripada jangkitan kuman (bakteria atau kulat) perlu dirawati .[2]

 Hukum Keputihan

Imam al-Syafi’i dalam kitab al-Umm berkata:

كُلِّ مَا خَرَجَ مِنْ ذَكَرٍ مِنْ رُطُوبَةِ بَوْلٍ، أَوْ مَذْيٍ أَوْ وَدْيٍ أَوْ مَا لَا يُعْرَفُ، أَوْ يُعْرَفُ فَهُوَ نَجِسٌ كُلُّهُ مَا خَلَا الْمَنِي

Setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada  kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani ( Lihat  al-Umm 1/72). Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada dalam faraj  selain  mani, maka statusnya najis.

Keputihan adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar daripada had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak). Apabila cecair keluar daripada kawasan faraj yang  tidak wajib dibasuh dinamakan   ( رطوبة جوفية). (Lihat Hasyiyah Jamal  1/178, Hasyiyah  al-Bujairimiala al-Khatib, 1/108).

Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaimin  berpendapat,

Keputihan membatalkan wuduk seperti angin dan kencing yang keluar daripada dalam. Akan tetapi jika keputihan  keluar terus-menerus, maka tidak membatalkan wuduk. Oleh itu, tidak mengambil wuduk melainkan setelah masuk waktu dan wuduk bagi setiap waktu dan amalan lain seperti membaca al-Quran  (Lihat Majmu’ Fatawa Ibn Uthaimin, 1/284 – 285)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, wanita yang sentiasa keluar najis  keputihan ketika melaksanakan tawaf tidak perlu mengulangi wuduknya kerana diluar kawalan selain dihukumkan seperti wanita istihadah. Namun, satu wuduk hanya sah  untuk satu solat dan tawaf fardu dan beberapa amalan sunat.

Sepertimana keputusan Muzakarah haji ke 32 (1437/2015) menyatakan :

  • Jemaah haji Daimul Hadath hendaklah memperbaharui wuduk dan bersuci pada setiap kali solat fardu atau tawaf fardu menurut pandangan Mazhab Syafi’i yang asah.
  • Namun begitu menurut pandangan muqabil al-asah tidak perlu bersuci sekira najis yang keluar terlalu sedikit dan tidak meleleh melampaui alat penahan (tuala wanita) atau seumpamanya, memadai dengan memperbaharui wuduk sahaja.
  • Jemaah haji dinasihati menerima pakai pandangan muqabil al-Asah untuk mengelak Masyaqqah.

Panduan wanita keputihan ketika perlaksanaan ibadah

Sehubungan itu, wanita yang keluar  keputihan berterusan  hukumnya seperti wanita istihadah yang sentiasa dalam keadaan   hadas yang dikenali sebagai daim al-hadath (دًائِمُ الحَدَثِ). Maka,  beberapa perkara yang perlu diambil perhatian  oleh wanita  yang mengalami keputihan berterusan seperti  berikut:

  • Membasuh faraj daripada najis keputihan
  • Memakai tuala wanita seperti pantyliner dipermukaan faraj agar tidak mengalir keluar
  • Mengambil wuduk setelah masuk waktu
  • Wuduknya hanya sah untuk satu waktu solat fardu dan beberapa solat sunat[3]

Kaedah ini berdasarkan  beberapa riwayat berikut :

Fatimah binti Hubaisy R.Anha datang menemui Rasulullah SAW untuk menceritakan tentang darah istihadahnya, Lalu Baginda bersabda :

ثُمَّ اغْتَسِلِي وَتَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلَاةٍ وَصَلِّي

Maksudnya : “Mandilah, kemudian berwuduklah bagi setiap waktu solat dan solatlah,”

(Riwayat Abu Daud: 298) 

Semoga jawapan yang ringkas ini dapat difahami dengan baik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

 

[1]  https://en.wikipedia.org/wiki/Leukorrhea, Dorland’s Medical Dictionary

[2] http://www.myhealth.gov.my/penyakit-keputihan/

[3] Panduan  ini dilakukan oleh wanita istihadah dan keputihan berterusan  semasa  mengerjakan solat,  ibadah haji, tawaf fardu serta rukun-rukunnya.( Lihat Panduan Ibadah Haji  Umrah dan Ziarah  (166)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply