Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak mohon minta tolong berikan jawapan kepada soalan saya. Saya pernah melakukan zina dengan isteri saya sebelum berkahwin dan telah bertaubat, semoga Allah menerima taubat saya dan isteri saya, hasil daripada zina tersebut, saya telah dikurniakan anak yang lahir pada bulan 11 tahun 2012. Saya dan isteri saya bernikah pada tahun 2013 bulan 12 semasa anak saya berumur 1 tahun 1 bulan, bolehkah anak perempuan saya berbintikan nama saya, Dato’ Seri? Saya kurang jelas berkenaan hal ini dan adakah cara untuk anak saya berbintikan nama saya? Sekian, terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/72)

Sementara maksud وَسَاءَ سَبِيلًا sebagaimana pendapat Syeikh al-Maraghi: Sesungguhnya berzina itu nyata keburukannya, bahkan mengandungi pelbagai kerosakan. Antara yang terpenting ialah:

  • Percampuran dan keturunan yang porak-peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan oleh seorang pelacur perempuan, apakah bayi itu anaknya atau anak orang lain, maka lelaki tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur.
  • Perzinaan sebenarnya membuka pintu huru-hara dan kegoncangan dalam kalangan sesama manusia kerana manusia tetap mempertahankan kehormatan. Berapa banyak peristiwa pembunuhan yang timbul kerana keinginan berzina, sehingga sewaktu kita mendengar sesuatu peristiwa pembunuhan, maka orang akan terus mengatakan, “Periksalah dahulu latar belakang perempuan yang terlibat!” 
  • Wanita yang sudah terkenal dan masyhur sebagai pelacur akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya. Dengan demikian, ketenteraman dan keserasian yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai kasih dan sayang antara sesama manusia tidak akan tercapai.
  • Tujuan kaum perempuan dicipta bukan sekadar pelampias syahwat semata-mata. Akan tetapi, ia dijadikan sebagai sekutu bagi kaum lelaki dalam mengatur urusan rumah tangga dan mempersiapkan tugas-tugasnya seperti makanan, minuman dan pakaian. Kaum perempuan juga menjadi penjaga dan pengurus anak-anak dan sekaligus menjadi pembantu suami. Tugas ini tidak akan dilaksanakan dengan sempurna kecuali apabila wanita itu menjadi rakan (pasangan) yang khusus bagi seorang lelaki sahaja, bukan untuk lelaki-lelaki yang lain. 

Dalam erti kala yang lain, perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca, nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. Perzinaan juga merupakan cara yang buruk jika ditinjau dari segi menyamakan antara manusia dan binatang, iaitu tidak menjodohkan antara yang betina dengan yang jantan secara khusus (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3941-3942).

Berkenaan dengan nasab, daripada sudut bahasa, nasab berasal daripada kalimah نَسَبَ – يَنسِبُ, jika disebut يَنْسِبُهُ (yansibuhu) adalah menisbahkan seseorang kepada bapanya. Nasab juga pada bahasa dengan makna qarabah. Dijamakkan dengan kalimah أَنْسَابٌ (ansab).  (Lihat Lisan al-Arab, 1/755)

Imam Raghib al-Asfahani mendefinisikan nasab dan nisbah sebagai persekutuan pada salah seorang ibu atau bapa, sama ada hubungan menegak seperti nasab antara bapa dan anak-anak; atau hubungan melintang seperti nasab antara saudara-mara dan bapa-bapa saudara. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 801).

Syeikh Wahbah al-Zuhaili pula berkata: “Nasab merupakan penyandar yang paling kukuh yang berdirinya sebuah keluarga. Ia mengikat unit-unit keluarga dengan ikatan atas asas kesatuan darah, dan juz’i pada bahagiannya. Ini kerana anak sejuzuk daripada bapanya dan bapa adalah sejuzuk daripada anaknya. Ia merupakan nikmat yang agung, kurniaan Allah kepada manusia. Justeru, memelihara nasab adalah salah satu daripada maqasid syariah yang lima.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 10/7247).

Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa nasab adalah suatu perkara yang teramat penting dalam kehidupan manusia. Ia bahkan dimuliakan dan hanya boleh disahkan dengan hubungan perkahwinan.

Adakah Boleh Dinasabkan Anak Zina Kepada Bapa Biologi Mereka?

Para fuqaha’ telah menetapkan beberapa kaedah untuk mensabitkan nasab. Antara:

  • Perkahwinan
  • Persaksian
  • Pengakuan (ikrar)
  • Qiyafah (pengecaman melalui persamaan fizikal antara dua orang oleh pakar)

Kaedah perkahwinan adalah satu dalil yang menyebabkan nasab atau mem’bin’/’binti’kan anak. Bahkan, kaedah ini disepakati oleh semua fuqaha’ tanpa terdapat khilaf. Kaedah pensabitan nasab melalui perkahwinan boleh membatalkan kaedah-kaedah lain jika berlaku pertembungan.

Syeikh Najib al-Muti’ie menyebut bahawa tiada khilaf dalam kalangan ahli ilmu bahawa anak zina tidak disabitkan nasab kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak tersebut dan mereka tidak saling mewarisi. (Lihat Takmilah al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/222)

Imam Ibn Rusyd al-Maliki berkata: “Jumhur telah bersepakat bahawa anak-anak zina tidak dinasabkan kepada ayah-ayah mereka melainkan jika berlaku semasa zaman Jahiliyyah kerana terdapat riwayat daripada Umar al-Khattab berkenaan khilaf para sahabat tentang perkara ini. Manakala satu sebahagian pihak memiliki pandangan syaz (pelik) yang mengatakan bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa mereka sewaktu zaman Islam.” (Lihat Bidayah al-Mujtahid, 4/142).

Ibn Qudamah al-Hanbali menyebut: “Anak zina tidak dinasabkan (kepada bapa biologinya) di sisi jumhur ulama. Al-Hasan (al-Basri) dan Ibn Sirin berkata: Dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi itu jika ditegakkan hukum hudud ke atasnya (seperti sebatan 100 kali) dan anak itu boleh mewarisinya. Berkata Ibrahim (al-Nakhaie): Dinasabkan jika dihukum rotan sebagai hudud, atau memiliki wanita yang disetubuhi. Berkata Ishaq: Dinasabkan kepadanya. Ini juga disebut oleh Urwah (bin al-Zubair) dan Sulaiman bin Yasar. Ali bin Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah yang berkata: Aku melihat tiada masalah bagi seorang lelaki yang telah berzina dengan seorang wanita lalu dia hamil akibat itu untuk lelaki itu berkahwin dengannya supaya menutup (aib) ke atas wanita itu, dan anak itu dianggap anaknya.” (Lihat al-Mughni, 6/345). 

Dalam sebuah kisah, pernah diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah berkahwin. Kemudian isterinya melahirkan anak selepas 6 bulan daripada perkahwinan. Hal ini diadukan kepada Saidina Uthman RA, maka dia mahu merejam perempuan tersebut. Lantas jawab Ibn ‘Abbas, “Adapun sesungguhnya kalaulah mungkin aku berhujah dengan kamu kepada kitab Allah, nescaya aku menang. Ini kerana firman Allah SWT, (وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا) maksudnya “dan tempoh hamilnya serta berpisah daripada susu ibunya 30 bulan” (وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ) maksudnya “dan berpisah dari susu ibunya dalam tempoh 2 tahun. Justeru, hamil di sini hanya 6 bulan. Lantas Saidina Uthman mengambil pendapat Ibn Abbas dan tidak menghukumnya dengan had. (Lihat al-Bada’i` al-Sana’i`, 3/211)

Al-Lajnah al-Da’imah dalam fatwa bernombor 3408 dan 3056 juga menyebut bahawa yang sahih daripada pendapat ulama bahawa tidak boleh disabitkan nasabnya kepada yang menyetubuhi ibunya kecuali nikah yang sah atau fasid, nikah syubhah, perhambaan atau syubhah perhambaan.

Kesimpulan

Dalam persoalan yang diajukan di atas, kami katakan bahawa jumhur ulama’ melarang untuk membinkan atau membintikan anak tak sah taraf kepada ayah biologinya berdasarkan dalil kuat daripada nas al-Qur’an, hadith, amalan sahabat dan jumhur fuqaha.  Nasab anak kepada ibunya tetap sabit pada semua keadaan kelahiran samada secara syar’i atau tidak. Adapun nasab anak kepada bapanya, ia tidak sabit kecuali melalui pernikahan yang sahih atau fasid atau wat’i syubhah atau ikrar dengan nasab. 

Islam telah membatalkan apa yang diamalkan di zaman Jahiliyyah dengan menghubungkan anak-anak hasil daripada zina kepada nasab penzina. Begitu juga nas menunjukkan anak itu dinasabkan dengan bapa selepas sabit bersamanya bapa dan ibunya iaitu selepas berlakunya persetubuhan dalam perkahwinan yang sahih atau fasid dan inilah pendapat jumhur. 

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai 2017 telah memutuskan bahawa anak yang tidak taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada ayah biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh Jumhur ulama. Sehubungan dengan itu, hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau kepada nama-nama Allah yang mulia atau seperti cadangan yang dinyatakan di atas. Mesyuarat juga bersetuju bahawa asas yang digunapakai ialah maslahah umum (yakni implikasi zina yang merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (yakni aib yang mungkin dialami oleh anak zina). Ini bertepatan dengan Maqasid al-Syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam.

Kami juga menasihati para pasangan supaya mengambil berat isu persetubuhan sebelum berkahwin agar tidak timbul isu nasab anak sehingga mendatangkan aib kepada diri sendiri dan aib kepada anak serta mengganggu emosi dan perasaan tidak selesa kepada ramai pihak. Sentiasalah bertaqwa kepada Allah, menginsafi diri sendiri atas keterlanjuran, dan wajib mentaati-Nya. Semoga kita menjadikan golongan yang mendapat mardhatillah dalam melayari kehidupan ini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply