Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada beberapa soalan mengenai penggunaan flash glucose monitor (FGM) untuk pesakit diabetik. FGM adalah sebuah alat yang dilekat di lengan tangan & hanya boleh ditukar setiap 14 hari. Jika ia dicabut, ia tidak boleh diguna semula & harga sebuah FGM agak mahal. 

Soalan saya adalah: – Adakah saya perlu mencabut FGM untuk mandi wajib? Atau hanya perlu meratakan air di atas dan sekeliling FGM? – Jika tidak perlu mencabut FGM semasa mandi wajib, adakah hukum ini sah untuk semua jenis pesakit diabetik? Contohnya, pesakit Type 1 Diabetes perlu memeriksa blood sugar level lebih kerap dari pesakit Type 2/Gestational Diabetes. 

Maka boleh dikatakan penggunaan FGM lebih diperlukan oleh pesakit Type 1 Diabetes, manakala pesakit Type 2/Gestational Diabetes mungkin boleh gunakan ‘finger prick’ method sahaja, kerana tidak perlu memeriksa blood sugar level sekerap pesakit Type 1 Diabetes. Saya harap Dato’ Seri mungkin boleh mempertimbangkan pendapat dari pakar endocrinologist juga. Terima kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Flash Glucose Monitoring (FGM) ialah kaedah ujian glukosa terbaru yang dilihat sebagai hibrid antara meter dan CGM. Abbott FreeStyle Libre pada masa ini merupakan satu-satunya produk pemantauan glukosa pantas yang tersedia, dan pada masa ini ia hanya diluluskan di Eropah. 

Dalam Pemantauan Glukosa Kilat, pesakit mempunyai penderia yang dimasukkan pada lengan atas mereka dan peranti pembaca skrin sentuh yang berasingan. Apabila peranti pembaca dileret dekat dengan penderia, penderia menghantar kedua-dua paras glukosa serta-merta dan graf aliran lapan jam kepada pembaca. 

Ini membolehkan orang ramai mendapatkan bacaan gula darah individu (seperti BGM) dan maklumat trend (seperti CGM). Walau bagaimanapun, tidak seperti CGM, FGM tidak mempunyai penggera hipo- atau hiperglikemia dan hanya akan memberikan graf arah aliran jika ia telah dileret dalam tempoh lapan jam yang lalu.

Berdasarkan kepada penerangan, ia menunjukkan bahawa jika untuk mengambil wudhuk tiada masalah kerana bukan anggota wudhuk. Tetapi apabila hendak mandi wajib, maka ia akan membawa kepada kesukaran.

Allah SWT berfirman:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Maidah: 6)

Dalam isu ini, saya katakan, anda hendaklah mandi wajib dengan sepenuhnya kecuali di tempat yang ada FGM. Oleh kerana kos tersebut amat tinggi atau pun mahal, maka ganti pada tempat tersebut hendaklah anda tayammum mengikut mazhab Syafi’i. Pendapat yang kedua menyatakan anda berhak tayammum sahaja. Kami cenderung kepada yang pertama iaitu mandi wajib dahulu dan hanya menggantikan tempat yang tidak dikenakan air dengan tayammum. 

Jika sukar, kita boleh bertaqlid kepada mazhab Hanafi dan Maliki dengan hanya tayammum dan tidak wajib menggabungkan kedua-duanya. Inilah juga yang saya nyatakan tadi sebagai pendapat yang kedua.

Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنْفِقُوا خَيْرًا لِأَنْفُسِكُمْ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun :16)

Berkata Syeikh Abdurrahman al-Sa`di dalam Taisir al-Karim berkenaan tafsir ayat ini:  “Ayat ini menunjukkan bahawa semua kewajipan syarak yang tidak mampu ditanggung oleh hamba, maka akan gugur jika dia tidak mampu. Dia mampu untuk melaksanakan sebahagian daripada kewajipan itu, tetapi tidak mampu pada sebahagian yang lain, maka dia melaksanakan pada apa yang dia mampu sahaja, dan gugur pada perkara yang dia tidak mampu.”

Marilah kita menjadi orang yang mendirikan solat dan menunaikannya. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply