Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya baru sahaja bermimpi, ada satu mayat itu saya rasa dia lelaki. Memegang tangan saya sambil bercakap mengucapkan terima kasih, saya cuba melepaskan tangan saya dari dipegang / ditarik oleh mayat tersebut tetapi mayat tersebut tetap menarik dan memeluk keras tangan saya sambil mengucapkan berkali-kali terima kasih. 

Saya dalam ketakutan yang amat sangat, masih dalam mimpi itu, ada beberapa lelaki datang mungkin untuk menziarahi, saya bagi tahu mereka yang mayat ni bercakap dengan saya dan mengucapkan terima kasih dalam ketakutan saya itu, lelaki itu berkata, “Oh, awak beruntung (lelaki yang datang saya tidak kenal) mayat itu pun saya tidak kenal. 

Apakah maksud mimpi saya Dato’ Seri, saya perlukan tafsiran atas mimpi saya?  Mimpi yang saya alami dalam pukul 1 pagi. Terima kasih

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami kemukakan hadith Nabi SAW, daripada Abu Qatadah bahawa Baginda SAW bersabda:

الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ.

Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (6984)

Pada akhir zaman, mimpi yang benar adalah petanda berita kegembiraan yang Allah SWT berikan kepada orang-orang yang baik. Hal ini berdasarkan sebuah hadith sebagai mana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ. قَالُوا: وَمَا المـُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.

Maksudnya: “Tiada yang berbaki daripada kenabian selain berita gembira.” Mereka bertanya: “Apa itu berita gembira?” Baginda menjawab: “Mimpi yang baik.”

Riwayat al-Bukhari (6990)

Berkait dengan isu yang anda mimpi, saya yakin mimpi tersebut adalah benar. Ini berdasarkan pendapat Ibn Sirin yang berkata: “Apa yang diceritakan oleh orang yang mati dengan sesuatu dalam mimpi maka ia adalah benar. Ini kerana mereka (orang yang mati) berada dalam negeri yang benar.”

Ucapan terima kasih kepada anda sedangkan anda tidak berkata apa-apa sebagai petanda anda adalah orang yang baik. Firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا ‎﴿٨﴾‏ إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا

Maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih,

Surah al-Insan (8-9)

Saya bertafa’ul yang mimpi anda ada baiknya kerana ucapan daripadanya kepada anda dengan ucapan terima kasih. Kemudian, ditambah dengan kedatangan beberapa orang yang lain yang berkata, “Awak beruntung.” Semoga anda beroleh hajat untuk mendapatkannya sama ada di dunia atau pun di akhirat.

Justeru, banyakkan berdoa serta beribadat kepada Allah SWT dengan sesungguh-sungguhnya. Saya akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply