Soalan :

Assalamualaikum Datuk. Bolehkah anak tiri berkahwin dengan anak tiri. Ibu bapa ini berkahwin dan bawa anak masing-masing dari perkahwinan sebelumnya.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Hukum-hukum keluarga didasarkan pada hubungan yang suci. Tidaklah dibenarkan bagi kita dalam keadaan apapun untuk melampaui atau mengubah hubungan tersebut. Hubungan ayah, anak, saudara, nenek, dan datuk, baik itu hubungan berdasarkan nasab atau hubungan susuan, ditandai dengan kekekalan dan kestabilan. Tidak diperbolehkan dalam keadaan apapun mengubahnya menjadi hubungan perkawinan. Kerana ikatan tersebut adalah suci dan melarangnya adalah wajib.

Allah SWT berfirman :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya : Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani

(Surah al-Nisa: 23)

Al-Sa’di berkata : Ayat-ayat ini mengandungi larangan-larangan berhubungan dengan hubungan nasab, hubungan susuan, hubungan semenda, hubungan perkahwinan, dan larangan berhubungan dengan wanita-wanita tertentu. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.173)

Merujuk persoalan di atas,untuk memberi kefahaman yang lebih jelas kami datangkan contoh : Abu berkahwin dengan Siti dan mempunyai seorang anak yang bernama Sofiah kemudian mereka bercerai.Manakala Ali berkahwin dengan Sarah dan mendapat anak yang bernama Bakar dan mereka juga bercerai.Kemudian Abu dan Sarah berkahwin dan ingin mengahwini anak-anak mereka iaitu Bakar dan Sofiah hasil daripada perkahwin sebelum ini yang juga merupakan adik beradik tiri.Adakah ia dibolehkan ?

Menjawab persoalan di atas, di antara adik beradik tiri tidak ada sebarang ikatan mahram. Hal ini kerana mereka bukannya datang daripada ibu dan bapa yang sama. Mereka adalah ajnabi antara satu sama lain. Oleh itu, wajib menutup dan menjaga aurat sesama mereka, tidak boleh mereka berdua-duaan dan tidak boleh bersalaman.Maka bagi mereka halal untuk berkahwin.

Imam al-Nawawi menyatakan lagi: “Tidak menjadi mahram anak perempuan kepada ayah tiri, ibu kepada ayah tiri, anak tiri kepada anak perempuan, ibu kepada menantu lelaki, ibu kepada ibu tiri, dan tidak juga menjadi mahram anak perempuan kepada ibu tiri (yang bukan hasil daripada nikah dengan ayahnya).” (Lihat Raudhah al-Talibin  (7/112) )

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam memahami agama ini. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
 

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Wallahua`lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply