Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu soalan. Dahulu saya pernah dengar bahawa kod E yang dipaparkan pada bahagian bahan-bahan dalam makanan, dikatakan merujuk kepada babi atau bahan tidak halal. Tapi ada juga yang kata kod E tersebut tidak semestinya merujuk kepada bahan berkenaan. Jadi, saya keliru macam mana nak pastikan makanan yang dibeli itu benar-benar halal? Lebih-lebih lagi, kebanyakan produk makanan mesti ada menggunakan kod-kod E ini pada ramuan atau bahan-bahannya. Mohon pencerahan Datuk. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Syeikh al-Maraghi mengatakan bahawa perkataan “الطَّيِّبَاتِ” di sini bermaksud apa sahaja makanan yang baik untuk diri dan juga elok untuk kehidupan, yang mana manusia makan dengan penuh selera. Ia juga adalah makanan yang boleh dimakan dan dicerna dengan baik oleh manusia sehingga memberikan zat-zat yang mendatangkan manfaat kepada manusia. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/56).

Manakala menurut Fakhruddin al-Razi pula, setiap apa yang dianggap jijik pada tabiat manusia dan dirasakan kotor pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan, hukum asalnya adalah haram melainkan terdapat dalil yang menyatakan sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Definisi Kod E

Kod E ialah kod untuk bahan tambahan (aditif) dan selalu digunakan pada label makanan di negara Kesatuan Eropah. Bahan aditif ialah bahan yang selamat dimakan dan ditambah secara sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti yang sedikit bagi mempengaruhi kualiti penyimpanan, pemprosesan, penyediaan dan pembungkusan makanan. Skim penomboran ini mengikut sistem penomboran antarabangsa (International Numbering System @ INS) yang telah ditentukan oleh Jawatankuasa Codex Alimentarius. Ia ialah koleksi pelbagai standard, kod praktis, panduan antarabangsa yang diiktiraf berkaitan dengan makanan, pemprosesan makanan dan keselamatan makanan bertujuan untuk menjaga kesihatan manusia dan memastikan kod perdagangan yang beretika dijalankan.

Tidak semua nombor E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan berasaskan daripada sumber yang haram. Bahan-bahan aditif ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semula jadi, kimia dan haiwan.[1]

Hukum Kod E pada Produk Makanan dan Minuman

Hukum asal makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271).  Hal ini bertetapan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Maka berbalik kepada soalan yang diajukan, suatu produk makanan itu dihukumkan sebagai halal dan harus untuk dimakan dan diambil manfaatnya selagi mana tiada bukti yang menunjukkan kepada hal yang sebaliknya. Namun, pada masa yang sama, kami juga ingin mengingatkan bahawa meninggalkan suatu yang syubhah itu adalah lebih baik, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Dalam negara kita, terdapat badan berwajib yang dipertanggungjawabkan bagi mengeluarkan sijil Pengesahan Halal Malaysia. Bahkan Bahagian Hab Halal JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri akan memastikan syarikat yang membuat permohonan sijil halal itu, wajib mengisytihar kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan berserta dokumen yang kukuh seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal. Sehubungan dengan itu, jika suatu produk makanan tersebut sudah mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia atau Sijil Pengesahan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM,[2] maka ia boleh dimakan tanpa sebarang keraguan mahupun waswas sekalipun mempunyai Kod E,[3] kerana sijil pengesahan halal tersebut telah menjadi bukti kukuh yang menunjukkan bahawa kod E yang terdapat dalam suatu produk makanan adalah terdiri daripada sumber yang halal, sekaligus menghilangkan keraguan yang timbul.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada pertanyaan di atas, suatu produk makanan itu adalah halal dan harus untuk dimakan dan diambil manfaatnya selagi mana tiada bukti yang menunjukkan kepada hal yang sebaliknya. Manakala mana-mana produk yang mempunyai sijil Pengesahan Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM atau Sijil Pengesahan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM, boleh dimakan tanpa sebarang keraguan mahupun waswas, sekalipun ia mempunyai kod E kerana sudah terbukti bahawa bahan-bahan yang digunakan adalah halal, selamat dan suci.

Akan tetapi, jika produk yang mempunyai kod E itu, tidak mendapat mana-mana Sijil Pengesahan Halal sama ada daripada badan dalam negara mahupun badan luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM, maka kita dinasihatkan agar berhati-hati dalam memilih produk tersebut kerana dikhuatiri kod E yang digunakan adalah merujuk kepada sumber yang haram. Tambahan lagi, sunnah Baginda SAW juga menunjukkan bahawa meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih selamat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25/12/2021 bersamaan 21 Jamadil Awal 1443H

[1] Bahagian Hab Halal JAKIM, https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=2839378816112669&id=155056204544957. Telah diakses pada 13 Oktober 2021.

[2] Sila rujuk kepada pautan berikut, bagi mengetahui Senarai Badan Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM, https://www.halal.gov.my/v4/index.php?data=bW9kdWxlcy9jZXJ0aWZ5X2JvZHk7Ozs7&utama=CB_LIST&lang=bm. Telah diakses pada 13 Oktober 2021.

[3] Bahagian Hab Halal JAKIM, https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=2839378816112669&id=155056204544957. Telah diakses pada 13 Oktober 2021.

Leave a Reply