#1650: Beristinja’ dengan Menggunakan Tisu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Adakah sah solat saya, jika saya hanya beristinja’ dengan menggunakan tisu selepas kencing, kemudian saya mendirikan solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya:Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah al-Muddatthir: 4)

Al-Syaukani menyatakan bahawa ayat di atas bermaksud Allah SWT memerintahkannya untuk membersihkan pakaiannya dan memelihara pakaian tersebut daripada najis. Manakala Qatadah pula menyatakan bahawa maknanya adalah bersihkanlah dirimu daripada dosa-dosa. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, oleh Sulaiman al-Asyqar, hlm. 776). 

Al-Sa‘di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa berkemungkinan lafaz ‘pakaian’ dalam ayat ini bermaksud  seluruh perbuatan Rasulullah SAW dan makna ‘membersihkannya’ pula adalah dengan tulus dan ikhlas serta melaksanakannya dengan sebaik-baik pelaksanaan  dan memurnikannya daripada sebarang perkara yang membatalkan, merosakan dan mengurangkan pahalanya seperti syirik, riyak, nifak, ujub, takbur, lalai dan sebagainya yang diperintahkan kepada hamba-Nya untuk ditinggalkan ketika peribadatan kepada-Nya. Termasuk juga dalam perkara itu, perintah untuk membersihkan pakaian daripada najis. Hal ini kerana perkara tersebut merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian amalan khususnya di dalam solat, sebagaimana dinyatakan oleh para ulama bahawa menghilangkan najis daripadanya termasuk dalam syarat sah solat.  

Selain itu, berkemungkinan juga lafaz ‘pakaian’ itu adalah dengan makna pakaian sebagaimana yang kita ketahui. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW diperintahkan untuk membersihkan pakaiannya daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya ketika masuknya waktu solat. Sekiranya Baginda diperintahkan dengan penyucian secara zahir, maka sesungguhnya penyucian secara zahir itu merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian secara batin. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/895).

Syarat sah solat

Di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.

Riwayat Abu Daud (365)

Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis.

Beristinja’

Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, istinja’ ialah menghilangkan najis atau mengurangkannya daripada tempat keluar air kecil atau air besar. Dinamakan perbuatan tersebut dengan istinja’ di sisi syarak kerana orang beristinja’ berusaha untuk melepaskan dirinya daripada sesuatu yang menyakitkan. Pada kebiasaannya istinja’ dilakukan di tempat yang tertutup seperti di belakang tanah tinggi dan seumpamanya, dan hukum istinja’ ini adalah wajib.

Harus beristinja’ dengan air mutlak. Ia merupakan cara asal bersuci daripada najis. Begitu juga harus istinja’ dengan menggunakan semua pepejal yang kesat dan boleh menghilangkan najis seperti batu, daun dan seumpamanya.

Cara istinja’ yang afdhal ialah beristinja’ dengan batu dan seumpamanya terlebih dahulu, kemudian menggunakan air. Ini adalah kerana batu terlebih dahulu menghilangkan ain najis dan air yang digunakan selepasnya pula akan menghilangkan kesan-kesannya tanpa bercampur dengan ain najis tersebut.

Sekiranya ingin menggunakan satu daripada kedua-duanya maka air adalah afdhal kerana ia sahaja yang boleh menghilangkan ain najis dan kesan-kesannya, berbanding dengan menggunakan benda-benda yang lain.

Sekiranya menggunakan batu sahaja dan seumpamanya maka disyaratkan benda yang digunakan itu kering. Batu itu hendaklah digunakan sebelum najis yang keluar daripada qubul dan dubur itu menjadi kering atau tidak mengalir keluar daripada kawasan punggung atau kepala zakar dan tempat keluar kencing orang perempuan. Begitu juga ia tidak terkena tempat lain selain tempat yang terkena najis ketika ia keluar.

Sehubungan itu, disyaratkan sekurang-kurangnya sapuan adalah dengan tiga biji batu atau benda-benda lain yang boleh digunakan untuk beristinja’. Sekiranya masih belum bersih, tambahlah bilangannya, dan sunat dengan bilangan yang ganjil seperti lima, tujuh dan seterusnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/45-46).

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُ الْخَلاَءَ، فَأَحْمِلُ أَنَا وَغُلاَمٌ نحوي إِدَاوَةً مِنْ مَاءٍ، وَعَنَزَةٍ، فيَسْتَنْجِي بِالْمَاءِ

Maksudnya: Rasulullah SAW masuk ke tandas, dan aku bersama-sama seorang budak sebayaku membawa sebekas air dan sebatang besi pendek. Lalu Baginda SAW beristinja’ dengan air itu.

Riwayat al-Bukhari (149) dan Muslim (271)

Hadith seterusnya, daripada Ibn Mas‘ud R.A, berkata:

أَتَى النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْغَائِطَ، فَأَمَرَنِى أَنْ آتِيَهُ بِثَلاَثَةِ أَحْجَارٍ

Maksudnya: Nabi SAW pergi ke lurah untuk buang air, kemudian Baginda menyuruh aku membawa tiga biji batu kepadanya.

Riwayat al-Bukhari (155) dan yang lainnya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa penggunaan air dalam beristinja’ bukanlah suatu perkara yang wajib. Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama mazhab Syafi‘i bersepakat harus untuk beristinja’ menggunakan batu dan benda-benda lain seumpamanya yang menepati syarat-syarat alat istinja’ yang ditetapkan oleh para ulama. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/130).

Syarat-syarat sesuatu yang selain air boleh untuk dijadikan sebagai alat istinjak ada empat iaitu:

  •     Pertama, hendaklah benda tersebut sesuatu yang suci dan bukan najis mahupun mutanajjis (sesuatu yang terkena najis).
  •     Kedua, hendaklah benda tersebut berbentuk pepejal. Justeru, tidak sah jika benda itu berbentuk cecair seperti air mawar.
  •     Ketiga, hendaklah benda tersebut kesat. Oleh itu, tidak sah guna kaca mahupun kayu tebu.
  •     Keempat, hendaklah benda tersebut bukan sesuatu yang dihormati. Justeru, tidak sah guna tulang binatang, semua makanan manusia, begitu juga kertas-kertas yang terdapat padanya tulisan-tulisan yang dihormati seperti ilmu. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 106).

Oleh itu, antara bahan-bahan kesat dan kering yang boleh menggantikan air bagi istinja’ ialah tisu. Ini memandangkan tisu itu dilihat menepati syarat-syarat sebagai alat istinja’ serta ia mampu untuk menghilangkan najis dan membersihkan anggota badan.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa boleh menggunakan tisu sebagai alat untuk berintinja’ dengan syarat-syaratnya sekalipun ada air, dan jika dia mendirikan solat selepas itu, solatnya adalah sah.

Sekalipun begitu, afdhalnya adalah untuk menghimpunkan kedua-duanya iaitu beristinja’ dengan menggunakan tisu terlebih dahulu, kemudian barulah menggunakan air. Begitu juga tidak dapat dinafikan bahawa jika dia hanya ingin menggunakan salah satu daripada kedua-duanya maka air adalah lebih afdhal untuk digunakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ التَّوَّابِينَ ، وَاجْعَلْنِي مِنْ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku termasuk dari kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku termasuk dari kalangan orang-orang yang menyucikan diri.”

Riwayat al-Tirmizi (55)

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *