Soalan

Assalamualaikum wbt. Adakah rosak haji sekiranya seseorang yang sudah melakukan tahallul awal tetapi belum melakukan tawaf ifadhah, bersetubuh dengan isterinya?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW.

Firman Allah SWT:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ

Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.”

(Surah al-Baqarah: 197)

Ibn Kathir berkata: “ (فلا رفث) di sini bermaksud sesiapa yang berihram dengan haji atau umrah, maka hendaklah dia meninggalkan rafath (رفث), iaitu bersetubuh. Begitu juga diharamkan kepada perkara yang membawa kepada persetubuhan, berciuman, dan seumpamanya serta membicarakan hal itu di hadapan wanita.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/543)

Berdasarkan persoalan di atas, sesiapa yang bersetubuh dengan isterinya selepas tahallul awwal serta belum melakukan tawaf ifadhah, maka hajinya tidak rosak, namun, dia telah melakukan dosa dan wajib baginya bertaubat dan beristighfar dan dia perlu membayar dam dengan menyembelih seekor kambing dan mengagihkannya kepada orang-orang miskin di tanah haram dan dia tidak dibenarkan memakan sedikit pun daging itu. Dia juga perlu  keluar dari tanah haram menuju tanah halal untuk memperbaharui ihramnya, dan kemudiannya melakukan tawaf ifadhah.

Imam al-Nawawi berkata: “Adapun bersetubuh pada kemaluan wanita atau duburnya, atau dubur lelaki dan haiwan, maka rosaklah hajinya jika ia dilakukan sebelum tahallul pertama sama ada ia sebelum wuquf di Arafah dan selepasnya. Jika perbuatan itu dilakukan antara dua tahallul, hukumnya tidaklah rosak hajinya.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 170)

Disebut dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: “Para ulama’ bersepakat bahawa perbuatan bersetubuh selepas Tahallul Awwal tidak merosakkan haji. Namun, berlaku perbezaan pendapat dalam masalah kewajipannya:

  • Pertama: Pendapat dalam kalangan mazhab Hanafi, Syafi’iyyah dan Hanbali berpendapat bahawa dia wajib menyembelih seekor kambing. Mereka menyebut bahawa dalilnya, “Pelanggarannya dianggap ringan, kerana dia telah bertahallul selain daripada yang berkaitan dengan hal perempuan.
  • Kedua: Pendapat Imam Malik, begitu juga salah satu pendapat dalam kalangan mazhab Syafi’i dan Hanbali, wajib baginya menyembelih seekor unta. Al-Baji berdalilkan bahawa pelakunya telah melakukan pelanggaran yang berat di dalam ihram.

Imam Malik dan ulama’ daripada kalangan mazhab Hanbali mewajibkan orang yang melakukan pelanggaran ini setelah Tahallul Awwal dan sebelum melakukan Tawaf Ifadhah, dia hendaklah keluar ke tanah halal untuk melakukan umrah. Ini berdasarkan ucapan Ibn ‘Abbas R.Anhuma tentang perkara tersebut. Manakala ulama’ dari kalangan mazhab Hanafi dan Syafi’i tidak mewajibkan hal tersebut.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/192)

Syeikh Muhammad bin Ibrahim berkata: “Amalan selepas tahallul tidak memudaratkan ibadat haji. Sama ada haji itu ifrad atau qiran. Namun ia dikira sebagai membatalkan ihramnya. Ini bermakna tidak sah dia melakukan tawaf Ifadhah sebelum dia keluar ke tanah halal kemudian berihram, kemudian masuk ke Makkah semula dan kemudian melakukan Tawaf Ifadhah dalam keadaan ihram yang sah, sehingga ihramnya dapat dilakukan di tanah yang halal dan haram, namun dia wajib menyembelih kambing di tanah haram dan memberi makan kepada orang-orang miskin di sana dan tidak boleh baginya memakan sedikitpun dagingnya. Isterinya pula wajib menyembelih seekor kambing yang lain jika dia melakukannya dengan kerelaan hati. Jika dia dipaksa, maka tidak ada kewajipan apa-apa pun padanya.” (Lihat Fatawa wa Rasail Muhammad bin Ibrahim, 5/203-204)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika ditanya, “Seorang suami bersetubuh dengan isterinya sebelum melakukan tawaf Ifadhah, sedangkan dia telah melontar di Jamrah al-’Aqabah dan mencukur kepalanya. Apakah dikenakan ke atasnya?”

Beliau menjawab, “Tidak ada kewajipan baginya melainkan dia mesti menyembelih fidyah untuk disedekahkan kepada orang-orang fakir di tanah haram. Dan dia hendaklah memulakan ihram semula dari tanah yang halal, kemudian melakukan tawaf dalam keadaan ihram. “(Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 90/17)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa sesiapa yang bersetubuh dengan isterinya selepas tahallul awwal serta belum melakukan tawaf ifadhah, maka hajinya tidak rosak, namun, dia telah melakukan dosa dan wajib baginya bertaubat dan beristighfar dan dia perlu membayar dam dengan menyembelih seekor kambing dan mengagihkannya kepada orang-orang miskin di tanah haram dan dia tidak dibenarkan memakan sedikit pun daging itu. Dia juga perlu  keluar dari tanah haram menuju tanah halal untuk memperbaharui ihramnya, dan kemudiannya melakukan tawaf ifadhah.

Kami tegaskan di sini seboleh-bolehnya tunaikanlah ibadat haji dengan sesempurnanya terlebih dahulu sehingga selesai tahallul thani. Ketika itu barulah diizinkan untuk bersama dengan isteri. Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kerjakanlah ibadat haji dan umrah dengan sempurna dan lengkap, secara lahiriyah. Ia dilakukan dengan menunaikan syariat dan rukun menurut yang sepatutnya. Sementara secara batiniah, ia dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT dan bukan dengan tujuan untuk mencari sumber pendapatan menerusi dagangan atau menarik pujian orang dan nama. Meskipun begitu, dibenarkan berdagang dilakukan secara ikhlas, tetapi tujuan sebenar ke Makkah bukan untuk berdagang.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/393)

Ketahuilah bahawa ibadah haji ini merupakan ibadah yang perlu dilaksanakan dengan sempurna semampunya dan perlu dilakukan dengan berhati-hati agar haji tersebut diterima Allah dan dikurniakan haji yang mabrur.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin. Wallahua’lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply