Soalan :

Assalamualaikum ustaz, saya nak bertanya bab berpakaian di dalam solat bagi wanita. Saya faham dalam mazhab syafi‘i hanya muka dan tapak tangan. Saya berpegang pada mazhab Hanafi pada pemakaian wanita. Dalam mazhab hanafi, muka, tapak tangan dan kaki boleh dilihat tetapi bagaimana masa solat dalam mazhab Hanafi? Boleh ke dedahkan kaki? Terima kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Aurat dan Hukumnya yang Asas

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185).

Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52).

Dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula bahawa aurat adalah suatu anggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Lihat al-Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31/44).

Aurat Wanita di dalam Solat

Disebutkan di dalam kitab al-Majmu’ karangan Imam al-Nawawi bahawa menutup aurat di dalam solat adalah wajib dengan ijma’ sama ada solat di hadapan hadirin dan solat secara sendirian pada satu pendapat yang sahih.

Aisyah R.Anha pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تُقْبَلُ صَلاَةُ الْحَائِضِ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya: Tidak sah solat perempuan yang baligh kecuali menutup kepalanya.”

Riwayat al-Tirmizi (277) dan beliau mengatakannya sebagai hadith hasan.

 

Hadith ini menunjukkan bahawa orang perempuan wajib menutup kepala ketika bersolat. Justeru, wajib menutup seluruh badannya adalah lebih utama.

Dalam sebuah hadith lain, juga ada menceritakan bagaimana keadaannya para wanita di zaman Nabi SAW ketika keluar untuk solat seperti mana yang terdapat di dalam hadith ‘Aisyah R.Anha:

لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى الْفَجْرَ، فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِى مُرُوطِهِنَّ ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ

Maksudnya: Rasulullah SAW bersolat Subuh, beberapa orang wanita yang berpakaian menutup seluruh tubuh juga bersolat bersama-sama Baginda. Selepas itu, mereka balik ke rumah masing-masing tanpa dikenali oleh sesiapa pun.

Riwayat al-Bukhari (365)

Hadith secara tidak langsung menunjukkan kepada kita akan keadaan berpakaian para wanita di zaman Rasulullah SAW ketika ingin menunaikan solat dan begitulah juga keadaannya ketika selesai solat, pulang ke rumah tanpa dikenali oleh sesiapa pun.

Kembali kepada persoalan di atas, secara ringkasnya kami telah menjawab tentang perbezaan pendapat mengenai aurat wanita di dalam solat dalam artikal #631: Status Aurat Kaki Wanita.[1] Di sini kami ingin tekankan sebagai seorang Muslim perlu menitikberatkan soal penghayatan dan pengamalan agama, serta asas dan kaedah ilmu yang sebenar, mengikut acuan mazhab masing-masing. Dengan itu akan selamat daripada sebarang talfiq kecuali yang mempunyai asas dan dalil yang kukuh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

 

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

 

[1]  https://maktabahalbakri.com/status-aurat-kaki-wanita/#_ftnref3

Leave a Reply