Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seorang lelaki yang masih berjunub tetapi dia suka melewatkan mandi dan terus makan, keluar rumah pergi kedai dan sehingga tengahari baru dia mandi wajib dan bagaimana seandainya kita meninggal dalam keadaan berjunub tidak mandi wajib. Terima kasih.

 Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, mandi wajib merupakan mandi yang mana tidak sah ibadat seseorang tanpa melakukannya terlebih dahulu. Antara sebab-sebab yang perlu mandi wajib ialah keluar air mani, bersetubuh, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73)

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

Surah al-Nisa’ (43)

 Begitu juga dalam nas yang lain, Allah berfirman:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan tidak wajib bagi mana-mana pasangan untuk terus mengangkat hadas besar (mandi wajib). Namun disunatkan membersihkan kawasan yang terkena air mani kerana Islam itu menuntut umatnya untuk menjaga kebersihan. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Akan tetapi, sekiranya sudah hampir habisnya waktu solat, maka hukumnya adalah wajib disegerakan mandi wajibnya agar solatnya tidak tertinggal. Hal ini kerana bersuci daripada hadas merupakan syarat sah solat. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa meninggalkan salah satu daripada syarat solat misalnya bersuci daripada hadas, suci daripada najis pada pakaian, menghadap kiblat, menutup aurat dan masuknya waktu solat. Apabila hilang salah satu daripada syarat ini, maka batallah solatnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/333)

Sebagai maklumat tambahan berkenaan mandi wajib, saudara boleh merujuk ke artikel kami sebagaimana berikut:

  • Siri 1217: Mandi Wajib Sebelum Fajar di Bulan Ramadhan[1]
  • Siri 1507: Hukum Sengaja Tidak Mengulangi Mandi Wajib[2]

Kesimpulan

Justeru itu, dibenarkan untuk seseorang itu melambatkan mandi wajibnya, namun disunatkan untuk membersihkan bahagian kemaluannya agar berada dalam keadaan bersih. Namun, apabila telah masuk waktu solat, maka wajib baginya untuk mandi wajib kerana antara syarat sah solat adalah bersih dari hadas. Begitu juga, apabila seseorang itu meninggal sebelum mandi wajib, maka cukup baginya untuk mandi sekali sahaja dengan sekali niat yakni seperti situasi mandi wiladah dengan mandi nifas atau mandi wajib disebabkan  junub dan haid. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa:

مَذْهَبُنَا أَنَّ الْجُنُبَ وَالْحَائِضَ إذَا مَاتَا غُسِّلَا غُسْلًا وَاحِدًا وَبِهِ قَالَ الْعُلَمَاءُ كَافَّةً إلَّا الْحَسَنَ الْبَصْرِيَّ فَقَالَ يُغَسَّلَانِ غُسْلَيْنِ قَالَ ابْنُ الْمُنْذِرِ لَمْ يَقُلْ بِهِ غَيْرُهُ

Maksudnya: “Pendapat mazhab kami (mazhab Syafi’i) menyatakan bahawa orang yang dalam keadaan berjunub dan haid yang meninggal dunia, memadai mandi sekali sahaja. Ini merupakan pendapat seluruh ulama melainkan al-Hasan al-Basri yang berpandangan mandi dua kali, Sementara Ibn al-Mundzir menyatakan pendapat tersebut tidak ada melainkan al Hassan al-Basri.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/152)

Semoga dengan penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam memahami syariat Islam dengan lebih baik. Wallahu a’lam

 

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

 

[1] https://maktabahalbakri.com/1217-mandi-wajib-sebelum-fajar-di-bulan-ramadhan/

[2] https://maktabahalbakri.com/1507-hukum-sengaja-tidak-mengulangi-mandi-wajib/

Leave a Reply