Soalan:

Assalamualaikum Datuk saya ingin tahu, jika anak yg telah pergi bertemu ilahi dalam usia 4 bulan dalam kandungan, adakah boleh untuk di buat Aqiqah?

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Aqiqah dan Hukum Melakukannya

Aqiqah bermaksud penyembelihan binatang korban sebagai tanda syukur di atas kelahiran anak beserta niat dan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/276)

Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/426). Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2839)

Hadith ini merupakan dalil pensyariatan aqiqah apabila seseorang bayi itu dilahirkan. Hukum bagi pelaksanaan aqiqah ialah sunat muakkadah bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/426). Ia sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut disamping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih aqiqah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”.

Riwayat Abu Daud (1522)

Berdasarkan hadith di atas, dapatlah difahami bahawa jika seseorang bayi itu dilahirkan, maka disunatkan untuk dilaksanakan aqiqah ke atasnya dengan bilangan sebanyak dua ekor kambing bagi lelaki dan seekor kambing bagi perempuan. Ini juga berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad S.A.W:

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.

Riwayat Abu Daud (2842)

Berbalik kepada persoalan di atas, Kami lampirkan bersama pendapat sebahagian ulama’ Syafi’i berkenaan jika janin yang meninggal dunia atau gugur, maka adakah disunatkan juga untuk dilaksanakan aqiqah ke atasnya atau tidak disunatkan. Dalam hal ini kami memetik kata-kata Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya:

بأنّ العقيقة إِنمّا تسنّ عن سقط نفخت فيه الروح، وأما ما لم تنفخ فيه الروح فهو جماد لا يبعث ولا ينتفع به في الآخرة، فلا تسن له عقيقة، بخلاف ما نفخت فيه فإنه حي يبعث في الآخرة، وينتفع بشفاعته، وقد قال جماعة من السلف: من لم يعق عن ولده لا يشفع له يوم القيامة، فأفهمَ ما ذَكَرتُه من أن العقيقة تابعة للولد الذي يشفع، وهو من نفخت فيه الروح، فكذلك يقيد ندبها بمن نفخت فيه الروح، والله سبحانه وتعالى أعلم.

Maksudnya: Sesungguhnya aqiqah disunatkan ke atas janin yang gugur setelah ditiupkan roh pada dirinya. Dan jika belum ataupun tidak ditiupkan roh padanya maka ia merupakan objek yang tidak akan dibangkitkan dan tiada manfaat daripadanya pada Hari Akhirat kelak, maka tidak disunatkan ke atasnya aqiqah. Ini berbeza dengan janin yang telah ditiupkan roh ke atasnya maka sesungguhnya dia telah hidup dan bakal dibangkitkan di Akhirat kelak, dan bermanfaat dengan syafaatnya. Telah berkata sebahagian ulama’ terdahulu: Barangsiapa yang tidak melakukan aqiqah ke atas anaknya maka tiada syafaat baginya (dari anaknya) pada hari Kiamat. Maka difahami daripada kalam mereka bahawasanya pelaksanaan aqiqah mengikut kepada anak yang boleh memberi syafaat, yakni anak yang telah ditiupkan roh ke atasnya, begitu juga terikat padanya hukum sunat. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra; 4/257).

Berdasarkan kalam ini, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga ada mengeluarkan pendapat mereka iaitu jika umur janin ialah empat bulan atau lebih maka disunatkan aqiqah ke atasnya disebabkan telah ditiupkan roh ke atasnya. Adapun jika ia tidak melebihi tempoh empat bulan, maka tidak disunatkan untuk melaksanakan aqiqah ke atasnya kerana ia mengambil hukum objek. Perkara ini dikuatkan lagi dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, (8/407).

Dalil yang menyatakan sunat melakukan aqiqah pada janin yang telah gugur yang berumur empat bulan ke atas ialah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ummi Kurzin R.Anha beliau bertanya kepada Nabi Muhammad SAW kemudian Baginda bersabda:

عنِ الغَلامِ شاتانِ، وعنِ الأُنثى واحدةٌ، ولا يَضرُّكُم ذُكرانًا كُنَّ أَمْ إناثًا

Maksudnya: “Untuk Bayi lelaki dua ekor kambing dan untuk bayi perempuan seekor kambing  dan tidak menjadi masalah samaada kambing tersebut jantan atau betina.”

Riwayat Abu Daud (2835) dan al-Tarmizi (1516)

Hadith ini bersifat umum.Ia meliputi janin yang telah gugur ataupun yang hidup selepas ditiupkan roh. (Lihat Majmu’ Fatawa Ibn Baz, 18/49).

Kesimpulan yang dapat kami simpukan di sini adalah seperti berikut:

  1. Jika janin gugur setelah tempoh empat bulan atau lebih, maka disunatkan aqiqah ke atasnya.
  2. Jika janin gugur sebelum cukup tempoh empat bulan, maka tidak disunatkan aqiqah ke atasnya, kerana ia hanya diibaratkan sebagai objek.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply