Soalan:
Assalamualaikum w.b.t
Bolehkah hempedu sembelihan haiwan halal dimakan sebagai ubat penyakit lelah? Mohon pencerahan Datuk.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”
Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya (yakni makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya. Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).
Definisi Hempedu
Hempedu ialah bendalir yang dirembes oleh hati. Hempedu membantu badan menghadam dan menyerap makanan berlemak. Ia juga mengeluarkan bahan buangan tertentu dari badan. Hati merembes hempedu secara berterusan, menghasilkan kira-kira satu liter sehari. Hempedu mengalir dari hati ke dalam tiub yang dikenali sebagai duktus hepatik. Tiub ini bersambung dengan duktus hempedu sepunya, yang menuju ke usus kecil. Kecuali selepas makan, kebanyakan hempedu tidak pergi terus ke usus. Sebaliknya, ia masuk ke dalam pundi hempedu, satu kantung yang melekat pada duktus hempedu sepunya. Di situ, hempedu disimpan dan dipekatkan sehingga diperlukan.
Hempedu mengandungi pelbagai bahan buangan yang akhirnya menjadi sebahagian daripada najis (bahan buangan pepejal badan). Satu daripada bahan buangan ini, iaitu bilirubin, terbentuk hasil daripada pemecahan sel darah merah. Bilirubin berpadu dengan bahan kimia boleh larut lemak dalam hati untuk membentuk keluaran yang dikeluarkan dalam hempedu. Bilirubin memberi warna kepada hempedu, yang berbeza-beza dari perang hingga kepada kuning kehijuan. Bahan buangan yang lain dalam hempedu termasuk kolesterol yang berlebihan dan racun tertentu disingkirkan oleh hempedu dari aliran darah. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 8/239).
Hukum Bahagian Haiwan yang Disembelih
Abu al-Husain Yahya bin Abu al-Khair ada menyatakan bahawa tidak ada sesuatupun daripada bahagian anggota haiwan halal yang disembelih menjadi najis disebabkan oleh sembelihan yang dilakukan. Sebaliknya, kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis. (Lihat al-Bayan, 1/80).
Bahkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/153) ada dinukilkan bahawa tidak syak lagi, sembelihan yang dilakukan pada haiwan yang halal dimakan, menunjukkan bahawa haiwan itu harus untuk dimakan secara keseluruhannya — yakni meliputi seluruh bahagian atau anggotanya yang lain selagi mana tiada nas dalil yang menyatakan sebaliknya.
Hukum hempedu
Dalam satu fatwa Syeikh al-Ramli, beliau pernah ditanyakan mengenai hempedu haiwan halal yang disembelih, adakah ia dianggap suci atau tidak? Beliau menjawab dengan menyatakan bahawa hukumnya adalah najis kerana ia merupakan sesuatu yang sudah berubah di dalam organ dalaman haiwan sepertimana darah; iaitu cecair yang terdapat di dalamnya. Adapun hempedu itu sendiri (iaitu yang dimaksudkan di sini ialah pundi hempedu) adalah suci kerana ia boleh dimakan lantaran merupakan sebahagian daripada haiwan yang halal dimakan, yang telah disembelih, sekalipun bahagian dalamnya dianggap sebagai mutanajjis (yang mana perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dimasak dan dimakan). (Lihat Fatawa al-Ramli, 1/72).
Bukan itu sahaja, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Jaziri juga ada menukilkan pendapat ulama mazhab Syafi‘i yang berpendapat bahawa cecair hempedu adalah najis, sedangkan kantungnya pula dikira sebagai mutanajjis (yakni sesuatu yang terkena najis) dan boleh dianggap suci semula dengan membasuhnya sebagaimana organ perut. Hal ini kerana cecair yang berada di dalamnya adalah najis dan ia sendiri juga menjadi mutanajjis disebabkan oleh cecair tersebut. Oleh itu, ia boleh kembali menjadi suci dengan cara membasuhnya (iaitu menghilangkan najis yang ada padanya). (Lihat al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/10).
Berubat dengan bahan bernajis
Mengenai hal ini, terdapat hadith riwayat Ummu Salamah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ اللَّهَ لَـمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حرَّمَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuh buat kamu pada perkara yang telah Dia haramkan ke atas kamu.”
Riwayat Ibn Hibban (1391)
Selain itu, terdapat juga hadith lain sebagaimana diriwayatkan oleh Wa’il al-Hadrami, bahawa Tariq bin Suwaid al-Ju‘fi R.A bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan arak. Kemudian, Baginda SAW melarang — atau tidak gemar untuk beliau melakukannya. — Tariq berkata: “Sesungguhnya aku melakukannya untuk berubat.” Maka Baginda SAW bersabda:
إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ، وَلَكِنَّهُ دَاءٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya ia (arak) bukan ubat, akan tetapi merupakan suatu penyakit.”
Riwayat Muslim (1984)
Imam al-Nawawi ketika mengulas berkenaan dengan isu hukum berubat dengan najis, beliau menjelaskan pandangan mazhab Syafi‘i dan majoriti ulama bahawa boleh berubat dengan najis selain daripada suatu yang memabukkan. Akan tetapi hukum keharusan itu terikat dengan ketiadaan bahan perubatan yang suci lagi halal yang harus untuk digunakan. Sekiranya terdapat bahan perubatan yang suci dan halal, maka hukum menggunakan bahan bernajis sebagai ubat adalah haram tanpa sebarang khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/50-51).
Kesimpulannya:
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:
- Hempedu adalah haram untuk dimakan kerana ia adalah najis dan mengandungi pelbagai bahan buangan yang boleh membahayakan tubuh badan seperti kolesterol yang berlebihan dan racun tertentu yang disingkirkan daripada aliran darah.
- Manakala pundi hempedu iaitu kantung yang menyimpannya pula dianggap sebagai mutanajjis (sesuatu yang terkena najis) dan termasuk dalam bahagian anggota haiwan yang boleh untuk dimakan. Akan tetapi dengan syarat ia perlu dibersihkan dan dihilangkan kesan najisnya terlebih dahulu dengan cara membasuhnya sebagaimana organ perut dan seumpamanya. Hal ini kerana ia kembali kepada hukum asal haiwan sembelihan atau yang mati menurut syarak, yang semua bahagian anggotanya adalah halal dan boleh diambil manfaat daripadanya sama ada untuk dimakan atau lain-lain, selagi mana tiada nas atau dalil yang menyatakan sebaliknya.
- Berubat dengan menggunakan najis hanya dibenarkan dalam situasi, yang tidak ada bahan suci lain yang boleh menggantikan tempatnya sebagai penawar. Jika ada bahan suci lain yang boleh menggantikan tempatnya, maka hukumnya adalah haram untuk dijadikan sebagai ubat atau penawar.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 04/01/2022 bersamaan 01 Jamadil Akhir 1443H