Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ayah saya telah memberi saya sejumlah wang untuk tujuan tertentu tanpa memerlukan atau melarang saya menggunakan selain daripada tujuan tersebut. Namun, kadangkala saya memerlukan wang untuk tujuan lain kerana saya tidak mempunyai wang, jadi saya menggunakan wang yang diberikan ayah saya untuk memenuhi keperluan tersebut. Apakah hukum mengenainya? Adakah itu termasuk memakan harta haram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesiapa yang diberikan sesuatu untuk digunakan untuk urusan tertentu, maka dia tidak boleh menggunakannya untuk perkara lain kecuali dengan izin pemberinya kerana ia adalah pemberian yang terikat dengan tujuan pemberinya, di mana had atau ikatan tersebut perlu dihormati, kecuali jika pemberinya mengetahui bahawa dia bermaksud untuk tujuan yang itu dan merelakan untuk digunakan untuk tujuan yang lain.

Syeikh Zakariyya al-Ansari berkata: “Jika seseorang memberikan dirham kepadanya dan berkata, ‘Beli dengan ini serban atau gunakan untuk masuk ke bilik mandi’, atau yang seumpamanya, maka tujuan yang mendorongnya menjadi jelas. Ini telah ditentukan untuk itu, dengan mengambil kira tujuan yang mendorongnya. Ini berlaku jika dia bermaksud menutup kepala dengan serban atau membersihkan diri dengan menggunakan bilik mandi, kerana dia melihat keadaan kepala yang terbuka, kusut pada badan, dan kotoran. Jika dia tidak bermaksud demikian, dengan menyatakan itu sebagai contoh umum, maka tidak ada yang ditentukan untuk itu. Sebaliknya, dia memiliki hak untuk itu dan dapat bertindak sesuai dengan kehendaknya.”(Lihat Asna al-Matalib, 2/479)

Syeikh Muhammad bin Ahmad ‘Ulaisy al-Maliki berkata, “Jika seorang hamba yang Mukatab (seorang hamba yang mempunyai perjanjian dengan tuannya untuk memerdekakan dengan membayar sejumlah wang) diberi sejumlah wang, baik oleh sekumpulan orang atau oleh dirinya sendiri, maka dia menggunakan wang itu, dan kemudian wang itu masih berbaki. Jika niat si pemberi tidak bersedekah kepada hamba, kerana niatnya hanya untuk membebaskan mereka dari perhambaan, atau mereka tidak bermaksud apa-apa, maka pemberi derma berhak meminta wang yang berbaki itu dikembalikan dan masing-masing mengambil bahagiannya. Mereka juga berhak menuntut kembali wang yang diberikan hamba kepada tuannya jika dia membatalkan rancangannya selepas membayar wang itu kepada tuannya. Walau bagaimanapun, jika niat memberi mereka adalah sedekah kepada hamba mujahidin untuk membantunya, maka penderma tersebut tidak berhak meminta baki wang itu kembali. Mereka juga tidak berhak meminta wang yang telah diserahkan kepada tuannya sekiranya hamba itu membatalkan rancangannya.

Maka seorang hamba Mukatab, jika sebilangan orang membantunya dengan wang untuk membebaskan dirinya, maka wang itu digunakan untuk tujuan itu dan ada yang berbaki, jika niat pemberi bantuan itu semata-mata untuk membebaskan dirinya daripada perhambaan dan bukan sedekah umum, maka hendaklah hamba itu mengembalikan bakinya kepada mereka mengikut jumlah masing-masing atau mereka rela memberikan selebihnya kepadanya. Jika dia membatalkan rancangannya, maka semua wang yang diterima tuannya sebelum dia membatalkan rancangannya, adalah halal baginya, kerana ia dianggap sebagai pendapatan hamba atau sedekah kepadanya. Sedangkan jika dia dibantu dengan wang untuk membebaskan dirinya dari perhambaan tetapi dia tidak membayar wangnya untuk membebaskan dirinya, maka setiap orang yang menolongnya berhak meminta kembali wang yang telah mereka serahkan itu, kecuali jika mereka memberikannya secara sukarela, maka wang itu menjadi milik hamba itu. Jika mereka menolongnya dengan niat bersedekah, bukan untuk membebaskan hamba itu, maka wang itu kepunyaan tuannya jika dia meninggalkan rancangannya.” (Lihat al-Minah al-Jalil, 9/475).

Al-Juzuli berkata:

 كُلُّ مَنْ دُفِعَ إلَيْهِ مَالٌ لِأَمْرٍ مَا كَعِلْمٍ وَصَلَاحٍ وَفَقْرٍ، وَلَمْ يَكُنْ فِيهِ ذَلِكَ الْأَمْرُ، فَإِنَّهُ يَجِبُ عَلَيْهِ عَدَمُ قَبُولِهِ، وَإِنْ قَبِلَهُ فَيَجِبُ عَلَيْهِ رَدُّهُ وَيَحْرُمُ عَلَيْهِ أَكْلُهُ فَقَدْ أَكَلَ حَرَامًا

Maksudnya: “Sesiapa yang diberi wang untuk sesuatu perkara, seperti untuk pelajar, untuk orang soleh dan fakir, sedangkan dia tidak mempunyai kriteria ini, maka dia tidak boleh menerimanya, dan haram untuk memakannya.” (Lihat al-Minah al-Jalil, 9/475).

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, Jika bapa saudara memberi wang dengan niat untuk melakukan perkara-perkara tertentu, maka saudara tidak boleh menggunakan harta tersebut untuk apa-apa yang selain itu. Walau bagaimanapun, jika arahan atau wang diberikan itu bersifat umum tanpa ada dikhususkan dengan tujuan tertentu, maka tidak ada salahnya untuk saudara menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain.

Justeru, saudara perlu berhati-hati dalam isu ini. Sekiranya saudara tidak pasti dalam perkara ini, maka lebih baik saudara menggunakan wang tersebut berdasarkan hasrat dan tujuan yang bapa anda inginkan atau saudara meminta izin terlebih dahulu daripadanya.

Walaupun begitu, jika berlaku keperluan yang mendesak seperti membawa kepada dharurat kehidupan, maka sebahagian ulama’ mengharuskannya. Ini kerana pemberian tersebut telah menjadi sempuna hak milik sebagaimana kaedah menyebut:

التَّبَرُّعُ لَمْ تَتِمّ حَتَّى يَقْبِض

Maksudnya: “Tabarru’ itu tidak berlaku sehingga dia memegang. (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 90)

Justeru dalam hal ini, hak tasarruf kembali menjadi kepunyaan anak, tetapi ia tidak menepati keinginan atau hajat bapanya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply