Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah ustaz kongsikan secara ringkas adab-adab ketika qadha’ hajat (buang air) bagi orang Islam yang boleh diamalkan? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, Islam sangat mengambil berat soal kebersihan dan adab-adab termasuklah adab ketika menunaikan qadha’ hajat. Di antara adab-adab ketika menunaikan qadha’ hajat (buang air) yang boleh diamalkan oleh kaum Muslimin ialah:

Pertama, tidak menghadap ke arah kiblat mahupun membelakanginya. Ini adalah bagi menghormati kiblat kaum Muslimin dan membesarkan syiar Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَلَسَ أَحَدُكُمْ عَلَى حَاجَتِهِ فَلا يَسْتَقْبِلْ الْقِبْلَةَ وَلا يَسْتَدْبِرْهَا

Maksudnya:Jika salah seorang daripada kamu sedang buang air (qadha’ hajat), maka janganlah dia menghadap ke arah kiblat mahupun membelakanginya.”

Riwayat Muslim (389)

Kedua, tidak memegang zakarnya dengan tangan kanan ketika buang air (kencing). Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَأْخُذَنَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ، وَلاَ يَسْتَنْجِي بِيَمِينِهِ، وَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ

Maksudnya:Apabila seseorang daripada kamu kencing maka janganlah sekali-kali dia memegang kemaluannya dengan tangan kanan. Janganlah juga beristinjak dengan tangan kanannya dan jangan bernafas di dalam bekas minuman.”

Riwayat al-Bukhari (154)

Dapat difahami daripada penamaan al-Bukhari terhadap bab ini bahawa beliau mengisyaratkan mengenai larangan mutlak menyentuh kemaluan dengan tangan kanan hanya dalam keadaan membuang air kecil sahaja. Oleh itu, selain membuang air kecil, dibolehkan menyentuh kemaluan dengan tangan kanan. (Lihat Fath al-Bari, 1/254).

Selain itu, Abdullah bin Soleh al-Fauzan menyebutkan bahawa hadith ini menunjukkan kepada larangan kepada orang yang kencing dalam keadaan memegang zakarnya dengan tangan kanan kerana perbuatan itu bertentangan dengan kemuliaan kanan. Jumhur ulama memahami larangan ini sebagai makruh sebagaimana yang disebutkan oleh al-Nawawi dan selainnya kerana ia termasuk dalam perkara-perkara adab, bimbingan dan nasihat. Begitu juga kerana ia hanyalah termasuk dalam perkara memuliakan yang kanan. Oleh sebab itu, larangan yang terdapat dalam hadith ini tidaklah sampai kepada haram.

Berbeza dengan Daud al-Zahiri dan Ibn Hazm kerana kedua-duanya berpendapat hukumnya adalah haram, berdasarkan kepada hukum asal sesuatu yang dilarang atau ditegah itu adalah haram. Walau bagaimanapun, dalam isu ini, pendapat jumhur adalah lebih kuat kerana larangan tersebut adalah sebagai satu bentuk didikan dan bimbingan. Hal ini dikuatkan lagi dengan sabda Baginda SAW berkenaan zakar yang bermaksud: “Tidaklah ia melainkan satu bahagian daripada anggota kamu.” (Lihat Minhah al-‘Allam Syarh Bulugh al-Maram, 1/312).

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #266 Sentuh Kemaluan dengan Tangan Kanan.[1]

Ketiga, janganlah membersihkan atau menghilangkan najis dengan menggunakan tangan kanan, sebaliknya gunakanlah tangan kiri, berdasarkan hadith di atas. Selain itu, ini juga berdasarkan riwayat daripada Hafsah R.Anha bahawa:

وكانَ يجعَلُ يَمينَه لأَكْلِه وشُربِه، ووُضوئِه وثِيابِه، وأَخذِه وعَطائِه، وكانَ يَجعَلُ شِمالَه لِما سِوى ذلك

Maksudnya:Baginda SAW menggunakan tangan kanannya untuk makan, minum, berwuduk, memakai pakaian, memberi dan menerima. Manakala Baginda menggunakan tangan kirinya untuk selain daripada perkara tersebut.”

Riwayat Abu Daud (5045, 2451); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (2675, 10597); Ahmad (26464) dan lafaz hadith daripadanya. Ia dinilai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (4912)

Guru kami Syeikh Mustafa al-Khin juga ada menyatakan bahawa hendaklah beristinja’ dengan tangan kiri untuk membersihkan tempat keluar najis sama ada dengan air, batu atau seumpamanya, kerana cara ini lebih baik. Manakala beristinja’ dengan tangan kanan hukumnya adalah makruh sebagaimana juga dihukumkan makruh menyentuh zakar dengannya. Sekiranya perlu memegang zakar bagi membersihkannya dengan batu atau pepejal yang lain, maka hendaklah memegang batu tersebut dengan tangan kanan tanpa menggerakkannya, sementara tangan kiri memegang zakar dan menggerak-gerakkannya untuk membersihkan tempat keluar najis. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/209).

Keempat, sunnahnya untuk seseorang itu membuang air (qadha’ hajat) dalam keadaan duduk dan mendekat (rendah) ke tanah. Hal ini kerana ia lebih tertutup dan lebih selamat daripada terkena percikan air kencing lalu mengotori badan dan pakaiannya. Namun, dibolehkan untuk kencing berdiri jika selamat daripada semua perkara tersebut.

Kelima, bersembunyi atau terlindung daripada pandangan mata orang ramai ketika buang air (qadha’ hajat). Penghalang yang sering dijadikan Rasulullah SAW ketika buang air (qadha’ hajat) ialah dinding atau pagar kebun kurma (iaitu dibalik tanah tinggi atau dinding kurma). Riwayat Muslim (517).

Begitu juga jika seseorang berada di tanah lapang lalu terdesak untuk buang air (qadha’ hajat), dan dia tidak menemukan sesuatu apapun yang boleh dijadikan sebagai penghalang, maka dia hendaklah pergi jauh daripada orang ramai. Ini adalah berdasarkan kepada riwayat Mughirah bin Syu‘bah, katanya:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَأَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاجَتَهُ فَأَبْعَدَ فِي الْمَذْهَبِ

Maksudnya:Aku bersama Nabi SAW dalam suatu perjalanan, lalu Baginda terdesak untuk buang air. Maka Baginda pergi jauh dari jalan.

Riwayat al-Tirmizi (20) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih.

Keenam, tidak membuka auratnya kecuali setelah dekat dengan tanah. Hal ini kerana, ia lebih menutup aurat. Ini adalah berdasarkan kepada riwayat Anas R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ الْحَاجَةَ لَمْ يَرْفَعْ ثَوْبَهُ حَتَّى يَدْنُوَ مِنْ الأَرْضِ

Maksudnya:Apabila Nabi SAW ingin qadha’ hajat, Baginda tidak akan menyingkap pakaiannya sehinggalah Baginda sudah dekat ke tanah.”

Riwayat al-Tirmizi (14) dan ia telah dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (4652)

Begitu juga jika seseorang itu buang air di dalam tandas, maka janganlah dia menyingkap pakaiannya melainkan setelah mengunci atau menutup pintu tandas dan tertutup daripada pandangan mata orang lain.

Ketujuh, di antara adab-adabnya juga adalah dengan membaca doa-doa yang diajarkan oleh Baginda SAW ketika masuk dan keluar tandas. Di antara doa masuk tandas yang boleh diamalkan adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Abd al-Aziz bin Suhaib, katanya: Aku mendengar Anas berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الخَلاَءَ قَالَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبَائِثِ

Maksudnya:Apabila Nabi SAW hendak masuk ke tempat membuang air, Baginda mengucapkan: ‘اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبَائِثِ’ (Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada gangguan syaitan-syaitan jantan dan syaitan-syaitan betina).”

Riwayat al-Bukhari (142) dan Muslim (375)

Dalam riwayat lain, datang dengan lafaz:

بسمِ اللهِ اللَّهمَّ إنِّي أعوذُ بك من الخُبُثِ والخبائثِ

Maksudnya:Dengan nama Allah. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada gangguan syaitan-syaitan jantan dan syaitan-syaitan betina.

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (5)

Sa‘id bin Ali Wahf al-Qahtani ada menyebutkan bahawa bacaan basmalah ketika mahu masuk ke dalam tandas, ketika hendak menanggalkan pakaian atau menyelaknya bagi menunaikan suatu hajat di dalam tandas adalah menepati syariat sebagaimana di dalam riwayat Ali R.A. Hikmahnya adalah untuk memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya syaitan dan jin tidak melihat aurat anak-anak Adam ketika menunaikan hajat, menanggalkan pakaian atau seumpamanya. (Lihat Ithaf al-Muslim bi Syarhi Husni al-Muslim, hlm. 103).

Manakala di antara doa yang boleh diamalkan ketika keluar tandas adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أنّ النَّبيَّ ﷺ كان إذا خرجَ مِنَ الغائِطِ قال: غُفْرانَك

Maksudnya:Nabi SAW apabila keluar dari tempat buang air, Baginda mengucapkan: ‘غُفْرانَك’ (Aku memohon keampunan daripada-Mu).

Riwayat Abu Daud (30)

Dalam erti kata lain, makna doa di atas ialah permohonan keampunan daripada Allah SWT. Dikatakan juga maknanya ialah dia memohon keampunan daripada Allah SWT disebabkan oleh ketidakmampuannya untuk mensyukuri nikmat yang besar itu kerana telah memudahkan perkara tersebut (iaitu buang air), yang mana jika ia ditahan (yakni tidak dapat buang air), sudah tentu ia akan menjadi suatu kesusahan yang sangat besar, atau hal tersebut (ketidakmampuannya untuk bersyukur) kerana dia telah meninggalkan zikir kepada Allah dalam tempoh tersebut.

Selain itu, doa keluar tandas yang lain, yang boleh juga diamalkan adalah sebagaimana riwayat daripada Tawus, katanya:

إذا خرج أحدُكم من الخلاءِ، فليقل: الحمدُ للهِ الذي أذهبَ عنِّي ما يُؤذيني، وأمسك عليَّ ما ينفعُني

Maksudnya:Jika salah seorang daripada kamu keluar dari tandas, maka bacalah: ‘الحمدُ للهِ الذي أذهبَ عنِّي ما يُؤذيني، وأمسك عليَّ ما ينفعُني’ (Segala puji bagi Allah yang telah membawa pergi daripadaku sesuatu yang menyakitiku dan mengekalkan bagiku apa yang memberi manfaat kepadaku).

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (12) dan al-Daraqutni (1/57) dengan sedikit perbezaan lafaz. Ia dinilai sebagai munkar dalam al-Silsilah al-Dha‘ifah (5659). Al-Suyuti dalam Jami‘ al-Saghir (572) menyatakan, ia adalah mursal.

Kelapan, bersungguh-sungguh membersihkan dan menghilangkan najis setelah selesai buang air (qadha’ hajat). Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah ketika memberi peringatan keras terhadap orang-orang yang menganggap remeh perkara bersuci ini. Rasulullah SAW bersabda:

أَكْثَرُ عَذَابِ الْقَبْرِ مِنْ الْبَوْلِ

Maksudnya:Kebanyakan azab kubur itu (berpunca) daripada air kencing.

Riwayat Ibn Majah (342) dan dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (1202)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى قَبْرَيْنِ، فَقَالَ: إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا هَذَا: فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ، وَأَمَّا هَذَا: فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ دَعَا بِعَسِيبٍ رَطْبٍ فَشَقَّهُ بِاثْنَيْنِ، فَغَرَسَ عَلَى هَذَا وَاحِدًا، وَعَلَى هَذَا وَاحِدًا، ثُمَّ قَالَ: «لَعَلَّهُ أَن يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا

Maksudnya:Rasulullah SAW melewati dua kubur, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya kedua orang ini (dalam kubur) diseksa, dan tidaklah keduanya diseksa kerana dosa besar; adapun yang ini (yang pertama) dahulu tidak berjaga-jaga daripada kencingnya, sedangkan yang ini (orang kedua) mengadu domba.’ Kemudian Baginda minta dibawakan pelepah basah, lalu membelahnya menjadi dua bahagian. Baginda meletakkan pada yang ini (kubur pertama) satu bahagian dan pada yang ini (kubur kedua) satu bahagian. Kemudian Baginda bersabda: ‘Mudah-mudahan keduanya diringankan (daripada azab) selama kedua pelepah ini belum kering.’

Riwayat al-Bukhari (6052)

Dalam erti kata lain, dia hendaklah beristinja’ selepas selesai qadha’ hajat, sama ada dengan air ataupun alat-alat istinja’ yang dibolehkan seperti batu, tisu dan seumpamanya.

Pada kebiasaannya istinja’ dilakukan di tempat yang tertutup seperti di belakang tanah tinggi dan seumpamanya, dan hukum istinja’ ini adalah wajib.

Harus beristinja’ dengan air mutlak. Ia merupakan cara asal bersuci daripada najis. Begitu juga harus istinja’ dengan menggunakan semua pepejal yang kesat dan boleh menghilangkan najis seperti batu, daun dan seumpamanya.

Cara istinja’ yang afdhal ialah beristinja’ dengan batu dan seumpamanya terlebih dahulu, kemudian menggunakan air. Ini adalah kerana batu terlebih dahulu menghilangkan ain najis dan air yang digunakan selepasnya pula akan menghilangkan kesan-kesannya tanpa bercampur dengan ain najis tersebut.

Sekiranya ingin menggunakan satu daripada kedua-duanya maka air adalah afdhal kerana ia sahaja yang boleh menghilangkan ain najis dan kesan-kesannya, berbanding dengan menggunakan benda-benda yang lain.

Sekiranya menggunakan batu sahaja dan seumpamanya maka disyaratkan benda yang digunakan itu kering. Batu itu hendaklah digunakan sebelum najis yang keluar daripada qubul dan dubur itu menjadi kering atau tidak mengalir keluar daripada kawasan punggung atau kepala zakar dan tempat keluar kencing orang perempuan. Begitu juga ia tidak terkena tempat lain selain tempat yang terkena najis ketika ia keluar.

Sehubungan itu, disyaratkan sekurang-kurangnya sapuan adalah dengan tiga biji batu atau benda-benda lain yang boleh digunakan untuk beristinja’. Sekiranya masih belum bersih, tambahlah bilangannya, dan sunat dengan bilangan yang ganjil seperti lima, tujuh dan seterusnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/45-46).

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُ الْخَلاَءَ، فَأَحْمِلُ أَنَا وَغُلاَمٌ نحوي إِدَاوَةً مِنْ مَاءٍ، وَعَنَزَةٍ، فيَسْتَنْجِي بِالْمَاءِ

Maksudnya: Rasulullah SAW masuk ke tandas, dan aku bersama-sama seorang budak sebayaku membawa sebekas air dan sebatang besi pendek. Lalu Baginda SAW beristinja’ dengan air itu.

Riwayat al-Bukhari (149) dan Muslim (271)

Hadith seterusnya, daripada Ibn Mas‘ud R.A, berkata:

أَتَى النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْغَائِطَ، فَأَمَرَنِى أَنْ آتِيَهُ بِثَلاَثَةِ أَحْجَارٍ

Maksudnya: Nabi SAW pergi ke lurah untuk buang air, kemudian Baginda menyuruh aku membawa tiga biji batu kepadanya.

Riwayat al-Bukhari (155) dan yang lainnya

Penjelasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Beristinja’ dengan Menggunakan Tisu.”

Kesembilan, tidak buang air pada air yang bertakung (tidak mengalir). Hal ini adalah berdasarkan riwayat Jabir R.A daripada Rasulullah SAW:

أنَّه نَهى أنْ يُبالَ في الماءِ الرّاكِدِ

Maksudnya:Baginda SAW melarang buang air kecil (kencing) pada iar yang bertakung (tidak mengalir).”

Riwayat Muslim (281)

Hal ini kerana perbuatan tersbeut akan menajiskan air yang bertakung dan mengganggu orang lain untuk menggunakannya.

Kesepuluh, tidak membuang air di laluan atau jalan orang ramai serta di tempat orang-orang berteduh. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقوا اللّاعنَينِ، قالوا: وما اللّاعنانِ يا رسولَ اللهِ؟ قال: الذي يتخَلّى في طريقِ النّاسِ، أو ظِلِّهم

Maksudnya:Berhati-hatilah kamu daripada termasuk dalam kalangan dua golongan yang dilaknat. Mereka bertanya: ‘Siapakah dua golongan yang dilaknat itu, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Orang yang membuang air di tengah jalan (laluan) orang ramai atau di tempat orang ramai berteduh.’

Riwayat Muslim (269); Abu Daud (25) dan lafaz hadith daripadanya.

Kesebelas, tidak memberi salam kepada orang yang sedang qadha’ hajat atau janganlah seseorang itu menjawab salam ketika dia sedang qadha’ hajat. Hal ini kerana perbuatan memberi salam kepada seseorang yang sedang menunaikan hajat (qadha hajat) di dalam tandas dan seseorang yang sedang tidur, hukumnya adalah makruh serta tidak wajib menjawabnya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/164).

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu sedang membuang air, berjimak atau seumpamanya maka makruh memberi salam ke kepadanya dan tidak perlu menjawabnya. (Lihat al-Azkar, 1/415).

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Jabir R.A bahawa:

أَنَّ رَجُلًا مَرَّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَبُولُ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَيْتَنِي عَلَى مِثْلِ هَذِهِ الْحَالَةِ فَلَا تُسَلِّمْ عَلَيَّ فَإِنَّكَ إِنْ فَعَلْتَ ذَلِكَ لَمْ أَرُدَّ عَلَيْكَ

Maksudnya:Seseorang lelaki melewati Nabi SAW yang ketika itu sedang membuang air kecil, lalu dia memberi salam kepada Baginda. Maka Baginda SAW (setelah selesai) bersabda kepadanya: ‘Jika engkau melihatku dalam keadaan seperti tadi (iaitu buang air), maka janganlah memberi salam kepadaku kerana sesungguhnya jika engkau melakukan perkara itu, aku tidak akan menjawab kembali salam kepadamu.’

Riwayat Ibn Majah (346) dan ia dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (575)

Begitu juga hadith, daripada Ibn Umar R.Anhuma:

أَنَّ رَجُلاً مَرَّ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبُولُ فَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْه

Maksudnya:Seorang lelaki lalu ketika Rasulullah SAW buang air kecil. Dia memberi salam tetapi Baginda tidak menjawabnya.”

Riwayat Muslim (370)

Kedua belas, tidak bercakap-cakap ketika sedang qadha’ hajat. Pada asasnya bercakap-cakap ketika buang air dalam tandas termasuk dalam perkara yang dilarang dan menyalahi adab. Dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/51) dinyatakan, bercakap-cakap dan seumpamanya ketika buang air dihukumkan sebagai makruh.

Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Sa‘id R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَخْرُجْ الرَّجُلاَنِ يَضْرِبَانِ الْغَائِطَ كَاشِفَيْنِ عَنْ عَوْرَتِهِمَا يَتَحَدَّثَانِ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَمْقُتُ عَلَى ذَلِكَ

Maksudnya:Janganlah keluar dua orang menuju ke tempat buang air dalam keadaan aurat terbuka sambil bercakap-cakap ketika buang air, kerana Allah SWT murka terhadap perbuatan tersebut.”

Riwayat Abu Daud (15)

Selain daripada itu, Sa‘id Ba‘isyin menyebutkan, tidak boleh bercakap-cakap ketika sedang membuang air (yakni qadha’ hajat) sekalipun percakapannya itu bukanlah berbentuk zikir kerana terdapat larangan mengenainya. Begitulah juga halnya, tidak dibolehkan untuk bercakap-cakap ketika tidak membuang air selagi mana masih berada di dalam tandas sekalipun tujuan masuknya ke dalam tandas bukan untuk membuang air. (Lihat Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 121).

Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa makruh bercakap-cakap ketika qadha’ hajat (buang air) menurut kesepakatan para ulama. Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, semua jenis percakapan ada sama dari segi kemakruhan. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian — yakni dibolehkan bercakap-cakap ketika qadha’ hajat — pada situasi-situasi yang ada keperluan seperti ternampak orang buta jatuh ke dalam perigi, nampak ular dan seumpamanya. Maka ketika itu, tidak lagi makruh untuk bercakap-cakap dalam situasi-situasi tersebut, bahkan diwajibkan pada kebanyakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/88).

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #711 Menyanyi ketika Buang Air dalam Tandas.[2]

Justeru, inilah sebahagian daripada adab-adab ketika qadha’ hajat (buang air) yang boleh untuk kami sebutkan.

Akhir kalam, suka juga untuk kami katakan bahawa adab-adab dan sunnah sangat luas merangkumi setiap sudut dan nilai yang ditunjukkan oleh Nabi SAW sama ada daripada segi perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah, sifat khalqiyyah dan kehidupan Baginda SAW sama ada sebelum perutusan baginda SAW menjadi rasul sebagaimana yang telah ditakrifkan oleh Ahli Hadith. (Lihat Qawaid al-Tahdith, hlm. 61).

Selain itu, Rasulullah SAW adalah qudwah dan uswah terbaik yang wajib dicontohi oleh setiap orang Islam, dalam menjalani dan menempuh kehidupan seharian. Sesuatu amalan atau perkara yang dilakukan oleh Nabi SAW sekalipun asalnya adalah bersifat uruf atau adat setempat, namun sekiranya seseorang itu mengikuti atau melakukannya kerana cinta dan mahu ikut Nabi SAW, dia tetap diberi pahala sebagaimana Abdullah bin Umar R.Anhuma yang sangat terkenal sebagai seorang sahabat yang akan sedaya upaya cuba buat apa yang Baginda SAW telah lakukan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan istiqamah dalam mengikut petunjuk Baginda SAW. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/266-sentuh-kemaluan-dengan-tangan-kanan/. Diakses pada 22 Mei 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/711-menyanyi-ketika-buang-air-dalam-tandas/. Diakses pada 22 Mei 2023.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply