Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah makna Abi dan Ummi dan juga Ya al-Mutakallim?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Ya al-Mutakallim

Pertamanya, kami bincangkan terlebih dahulu berkenaan Ya al-Mutakallim kerana ia mempunyai kaitan dengan kedua-dua perkataan Abun (أَبٌ) dan Ummun (أُمٌّ). Ia dikenali juga sebagai Ya al-Idafah (Huruf Ya sandaran) kerana fungsinya untuk menyandarkan sesuatu kepada diri sendiri. Ya ini merupakan Dhamir (kata ganti nama diri) yang membawa maksud ‘saya’ atau ‘…ku’. Seperti contoh yang kita lihat, perkataan ‘ayah’ disandarkan kepada ‘saya/ku’, dan perkataan ‘ibu’ disandarkan kepada ‘saya/ku’. Dalam bahasa Melayu pula, Ya al-Mutakallim ini boleh dikategorikan sebagai kata ganti nama diri yang pertama.

Huruf Ya al-Mutakallim ini ditulis dengan huruf Ya sahaja (ي), ia boleh digunakan selepas Ism (kata nama), Fi‘il (kata kerja) dan juga Harf (huruf). Sebagai contoh, Ya al-Mutakallim selepas kata nama seperti di dalam firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ رَبِّي

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah adalah tuhanku.”

(Surah Ali ‘Imran: 51)

Dan contoh lainnya Ya al-Mutakallim selepas kata kerja seperti dalam firman Allah SWT:

قَالَ هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي

Maksudnya: “(Nabi Sulaiman) berkata: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku.”

(Surah al-Naml: 40)

Contoh Ya al-Mutakallim selepas huruf pula seperti dalam firman Allah SWT:

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku.”

(Surah Ibrahim: 41)

Maksud ‘Abi’

Kalimah Abi (أَبِي) adalah frasa bahasa Arab yang membawa maksud ‘ayahku’. Ia pada hakikatnya terdiri daripada dua perkataan, iaitu: Abun (أَبٌ) dan juga Ya al-Mutakallim (يَاءُ المُتَكَلِّمِ).

Ia merupakan salah satu daripada al-Asma’ al-Khamsah (5 kata nama): Abun (أَبٌ), Akhun (أَخٌ/abang), Hamun (حَمٌ/mentua), Famun (فَمٌ), dan Zu (ذُو).

Al-Asma’ al-Khamsah ini dii‘rabkan dengan wau (و) jika ia berada pada kedudukan mudhaf (sesuatu yang disandarkan) kepada mudhaf ilaih (yang disandarkan kepadanya). Sebagai contoh: Perkataan Abun (أَبٌ) adalah mudhaf, perkataan ‘kamu’ (كَ) adalah mudhaf ilaih, apabila digabungkan keduanya akan menjadi Abuka (أَبُوكَ).

Panggilan lain bagi Abi (أَبِي) adalah Abati (أَبَتِ) dan Abah (أَبَهْ). Imam Sibawayh bertanya al-Khalil mengenai Ta’ (ت) tersebut, katanya bahawa Ta’ tersebut adalah ganti kepada Ya al-Mutakallim. Apabila seseorang ingin mematikan (baris sukun) Ta’ tersebut, maka digantikan dengan Ha’ sukun (هْ) lalu menjadi Abah (أَبَهْ). (Lihat Syarh al-Mufassal li al-Zamakhsyari, 1/351)

Maksud ‘Ummi’

Kalimah Ummi (أُمِّي) pula adalah frasa bahasa Arab yang bermaksud ‘ibuku’. Ia juga terdiri daripada dua perkataan, iaitu: Ummun (أُمٌّ) dan juga Ya al-Mutakallim (يَاءُ المُتَكَلِّمِ).

Seperti mana frasa Abi (أَبِي), Ummi (أُمِّي) juga boleh dipanggil dengan menukarkan Ya al-Mutakallim kepada hurf Ta’ (ت), maka ia menjadi Amati (أَمَتِ). Apabila huruf Ta’ tersebut ingin dibaca dengan baris sukun, ia digantikan pula dengan Ha’ sukun (هْ) lalu menjadi Amah (أَمَهْ). (Lihat Syarh al-Mufassal li al-Zamakhsyari, 1/351)

Ummi (أُمِّيّ) juga boleh menjadi satu perkataan yang khusus di dalam bahasa Arab yang bermaksud orang yang tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis, atau lebih dikenali sebagai buta huruf. (Lihat Mu‘jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu‘asirah, 1/121)

Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ

Maksudnya: “Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri.”

(Surah al-Jumu‘ah: 2)

Imam Ibn Jarir al-Tabari mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan (الْأُمِّيِّينَ) adalah bangsa Arab, sebagai mana yang diriwayatkan daripada Mujahid dan Qatadah. Maksud firman Allah SWT (رَسُولًا مِّنْهُمْ) pula adalah kerana Nabi SAW datang dari bangsa Arab yang Ummi, seperti mana yang diriwayatkan pula daripada Ibn Zaid. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 22/626)

Panggilan Abi dan Ummi adalah panggilan yang sering kita dengar di kalangan masyarakat islam di Malaysia. Bagaimanapun, memahami maksud setiap panggilan yang kita lafazkan adalah lebih baik agar kita dapat pastikan lafaz tersebut juga membawa maksud yang baik. Kita juga dapat melihat, panggilan Abah yang terkadang juga digunakan sebenarnya  mempunyai maksud yang lebih khusus iaitulah ‘ayahku’ atau ‘ayah saya.’

Wallahua‘lam

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply