#1736: Bahagian Faraj Yang Perlu Dicuci

Soalan :

Assalamualaikum ustaz, sebagai seorang wanita yang mempunyai masalah keputihan yang banyak, saya ingin bertanya jika keputihan tersebut datang dari had batin faraj, adakah kita harus bersihkan kemaluan sehingga had batin faraj tersebut (meruang), atau bersihkan pada bahagian zahir (permukaan kemaluan) sahaja? Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat.

Definisi Keputihan

Secara umumnya, keputihan atau leukorrhea ialah cecair keputihan, kekuningan, atau kehijauan yang keluar daripada faraj wanita adalah sesuatu yang mungkin normal atau mungkin merupakan tanda jangkitan. Pelepasan cecair sedemikian mungkin berasal dari faraj, ovari, tiub fallopio, atau paling biasa, serviks. Leukorrhea mungkin berlaku semasa kehamilan dan dianggap normal apabila lelehan nipis, putih, dan tidak berbau. Leukorea fisiologi adalah keadaan normal yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan hingga satu tahun dari permulaan haid pada remaja perempuan dan kadangkala terdapat pada kanak-kanak perempuan yang baru lahir, biasanya berlarutan satu hingga dua bulan. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, leukorrhea adalah tanda jangkitan, terutamanya apabila lelehan berwarna kuning atau hijau, mempunyai bau yang menyinggung, dan disertai dengan kerengsaan, gatal-gatal, sakit, atau keradangan tisu.[1]

Dalam portal rasmi Myhealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dinyatakan bahawa masalah keputihan atau lelehan lendir berwarna putih, krim atau kelabu yang keluar daripada faraj wanita merupakan suatu masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan wanita di seluruh dunia. Statistik menunjukkan hampir 75% wanita yang sudah berkahwin berhadapan dengan masalah keputihan berikutan oleh aktiviti seksual. Ramai wanita tidak mempunyai kesedaran terhadap risiko dan bahaya penyakit keputihan malah menganggap ia sebagai suatu petanda lazim sebelum kitar haid. Setiap wanita perlu mempunyai pengetahuan asas yang mampu membezakan pengeluaran lelehan lendir faraj secara semula jadi dengan penyakit keputihan yang serius yang memerlukan rawatan perubatan.

Keputihan terbahagi kepada dua jenis, iaitu keputihan fisiologis dan keputihan patologik. Keputihan yang bersifat fisiologis biasanya normal dan tidak menunjukan gejala penyakit. Keputihan jenis ini sering berlaku semasa seseorang wanita mengalami kesuburan dan sebelum menstruasi (kitar haid). Lelehen lendir yang normal selalunya berwarna putih atau krim, tidak berbau serta tidak menyebabkan gatal pada bahagian faraj. Lendir yang dikeluarkan adalah sedikit dan berbentuk cecair. Keputihan patologik bersifat lebih kronik dan menunjukan tanda-tanda penyakit seperti mengeluarkan lendir yang kental, berwarna kuning, kelabu atau hijau, berbau busuk dan menyebabkan kegatalan pada bahagian faraj. Keputihan fisiologis merupakan petanda yang sangat normal di mana hampir setiap wanita melalui keadaan ini. Sebaliknya, keputihan patologis disebabkan oleh jangkitan kuman (bakteria dan/atau kulat) perlu dirawati.[2]

Keputihan ( الإفرازات/ رطوبة جوفية ) adalah cecair yang keluar  daripada bahagian batin faraj seperti air mazi, air wadi dan sebagainya.  Had batin faraj iaitu tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak (Lihat Hasyiyah Jamal, 1/178).  

Hasil kajian beberapa wanita  mendapati cecair keputihan menyerupai warna gam pekat yang  berwarna putih atau hingus yang berwarna putih  dan kadang-kadang bercampur warna kekuningan  dan sedikit hijau. (Lihat Tuhfah al-A‘izza, hlm242)

Hukum Keputihan

Imam al-Syafi‘i menyebutkan dalam kitab al-Umm:

كُلِّ مَا خَرَجَ مِنْ ذَكَرٍ مِنْ رُطُوبَةِ بَوْلٍ، أَوْ مَذْيٍ أَوْ وَدْيٍ أَوْ مَا لَا يُعْرَفُ، أَوْ يُعْرَفُ فَهُوَ نَجِسٌ كُلُّهُ مَا خَلَا الْمَنِي

Maksudnya:Setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada  kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani (Lihat al-Umm, 1/72). 

Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada dalam faraj selain mani, maka statusnya najis.

Keputihan adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar dari had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinja’). Apabila cecair keluar dari kawasan faraj yang wajib dibasuh dinamakan sebagai rutubah jaufiyyah (رطوبة جوفية). (Lihat Hasyiyah Jamal  1/178; Hasyiyah  al-Bujairimiala al-Khatib, 1/108).

Syeikh Muhammad Soleh al-‘Uthaimin  berpendapat, keputihan membatalkan wuduk seperti angin dan kencing yang keluar daripada dalam. Akan tetapi jika keputihan  keluar terus-menerus, maka tidak membatalkan wuduk. Oleh itu, tidak mengambil wuduk melainkan setelah masuk waktu dan wuduk bagi setiap waktu dan amalan lain seperti membaca al-Quran  (Lihat Majmu’ Fatawa Ibn Uthaimin, 1/284 – 285).

Kesimpulan

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan bahawa bahagian yang perlu dibasuh bergantung kepada status wanita. Sekiranya wanita tersebut belum berkahwin dan belum disetubuhi, memadai baginya membasuh keputihan tersebut pada permukaan faraj sahaja. Manakala bagi wanita yang sudah berkahwin dan disetubuhi, wajib ke atasnya membasuh bahagian dalam farajnya ketika beristinja’. Justeru ia menyerupai hukum anggota zahir — yakni yang nampak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/140)

Semoga jawapan yang ringkas ini dapat difahami dengan baik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

[1] Lihat https://www.britannica.com/science/leukorrhea. Diakses pada 7 May 2024.

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/penyakit-keputihan/. Diakses pada 7 May 2024.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *