Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya merupakan seorang mahasiswa dan saya mula untuk mencari peneman hidup. Soalan saya, apakah nasihat yang boleh diberikan untuk mahasiswa seperti saya dan apakah perkara terbaik yang perlu saya lakukan andai sudah meminati seseorang? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Pertamanya, kami memuji usaha saudara untuk meminta pandangan dan nasihat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Ini mengingatkan kami kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Tamim al-Dari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنا: لِمَن؟ قالَ: لِلَّهِ ولِكِتابِهِ ولِرَسولِهِ ولأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ وعامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu (menginginkan pengikutnya) nasihat (berbuat kebaikan). Lalu kami bertanya: ‘Bagi siapa (kebaikan itu)?’, kata Baginda: ‘Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi pemimpin-pemimpin orang islam, dan bagi umum orang islam’.”

Riwayat Muslim (55)

Hadith ini pada dasarnya tidaklah berfokus kepada nasihat yang difahami oleh orang Malaysia sahaja. Ibn al-Athir menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan nasihat ialah semua jenis kebaikan yang diinginkan bagi pihak lain. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/63)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa, nasihat bagi umum orang islam adalah memberi petunjuk kepada perkara yang membawa mereka kepada maslahat akhirat dan juga dunia, dan menghalang daripada mereka ditimpa mudharat. Maka diajarkan kepada mereka apa yang mereka tidak tahu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/39)

Allah SWT telah menjadikan manusia ini hidup berpasang-pasangan, ini berdasarkan firman-Nya:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

(Surah al-Rum: 21)

Kecenderungan untuk mencintai antara lelaki dan juga perempuan adalah fitrah yang telah diciptaka oleh Allah SWT pada diri sekalian manusia termasuk para nabi dan rasul. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

حُبِّبَ إِلَىَّ النِّسَاءُ وَالطِّيبُ

Maksudnya: “Dijadikan aku ini mencintai perempuan dan juga wangian.”

Riwayat al-Nasa’ie (3939) dan Ahmad (13079). Al-Syaukani menghukumkan sanadnya bertaraf Hasan di dalam Nayl al-Autar (6/226)

Sekiranya seseorang mahasiswa itu mampu untuk mendirikan rumah tangga ketika masih belajar, maka teruskanlah bertemu dengan wali perempuan yang dia berkenan. Ini kerana Islam sangat menganjurkan perkahwinan bagi mereka yang berkeinginan dan mampu untuk berkahwin.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, Nabi SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka berkahwinlah. Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)”

Riwayat al-Bukhari (5065) dan Muslim (3466)

Jika mahasiswa tersebut masih belum mampu, maka kami sarankan seperti mana yang dinasihatkan oleh junjungan kita Rasulullah SAW di dalam hadith, berpuasalah kerana menahan lapar itu dapat mengendurkan sedikit syahwat seseorang.

Kami menasihatkan, sekiranya mampu berusaha untuk mengumpul duit dengan melakukan kerja sambilan ketika belajar, maka lakukanlah sebaiknya. Hal ini kerana kemampuan itu tidak akan diperoleh melainkan dengan adanya usaha dan pengorbanan. Sertailah kursus-kursus berkenaan persediaan melangkah ke alam perkahwinan supaya mental dan fizikal kita lebih bersedia ketika membuat keputusan besar ini.

Ingatlah bahawa hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tidak halal melainkan dengan ikatan perkahwinan. Oleh yang demikian, Allah SWT menyifatkan perkahwinan ini sebagai (مِيثَاقاً غَلِيظًا). Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang berat dari kamu.”

(Surah al-Nisa’: 21)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa tiada akad yang setanding dengan akad perkahwinan. Sesungguhnya akad yang paling berat dan paling berisiko adalah akad perkahwinan. Hal ini kerana ia membawa banyak tanggungjawab seperti sahnya hubungan mahram, hubungan kekeluargaan, kewajipan nafkah, dan banyak tanggungjawab lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim: Surah al-Nisa’, 1/161)

Kami juga katakan, yang terbaik bagi seseorang mahasiswa itu adalah menghabiskan terlebih dahulu pengajiannya. Sibukkanlah diri dengan ilmu pengetahuan dan menumpukan sepenuh fokus ketika belajar untuk menempa kejayaan. Hal ini kerana tanggungjawab selepas berkahwin itu lebih banyak dan lebih besar, ia sebaiknya ditempuhi dalam keadaan yang bersedia.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925)

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kegigihan, kesungguhan dan kesabaran dalam menekuni ilmu, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada diri, masyarakat, dan juga keluarga yang dibina.

Wallahua‘lam

Bertarikh: 2 Jun 2023 bersamaan 13 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply