Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang sesorang lelaki yang melamar untuk menikah dengan seorang wanita ketika masih hidup dan tidak lama selepas itu dia terus meninggal dunia dan tidak sempat untuk menikah. Oleh kerana terlalu sayang kepadanya, wanita tersebut memperbanyakkan amalan kepada tuhan dengan harapan dapat bernikah dengan dia di syurga kelak.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.”

(Surah al-Nisa’: 124)

Ibn Kathir berkata: “Allah dalam menerangkan tentang kebaikan-Nya, kemurahan-Nya, dan rahmat-Nya dalam menerima amal soleh daripada hamba-hamba-Nya, sama ada lelaki dan perempuan, dengan syarat beriman, Dan sesungguhnya Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga dan tidak akan merugikan mereka sedikit pun daripada pahala dan amal soleh mereka, sebesar kecil biji al-Naqir. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/421)

Pada asasnya, wanita yang menjadi ahli syurga dan tidak pernah berkahwin di dunia, atau dia berkahwin tetapi suaminya bukan daripada penduduk syurga, atau dia menikah tetapi bercerai dengan talak bain dan kemudian meninggal dunia, maka hukum bagi mereka adalah sama, iaitu Allah SWT akan mengahwinkan mereka di syurga dengan penduduk syurga itu. Sesungguhnya di dalam syurga nanti, setiap penghuninya akan memperolehi apa yang dia kehendaki maka begitu juga dengan pasangan. Setiap orang tidak berkahwin sehingga dia meninggal dunia, kemudian dia masuk syurga, dia akan berkahwin dengan pasangannya yang dia suka di dalam syurga.

Firman Allah SWT :

جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ لَهُمْ فِيهَا مَا يَشَاءُونَ كَذَلِكَ يَجْزِي اللَّهُ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Segala kebun-kebun syurga ‘Adan itu semua orang beriman akan memasukinya. Syurga yang berlalu air di bawahnya dan di dalam syurga itu semua penghuninya memperolehi apa yang mereka kehendaki. Seperti inilah Allah membalas akan orang-orang yang bertaqwa.” 

(Surah al-Nahl : 31)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Bagi mereka yang berbuat baik di dunia ini, mereka akan memiliki syurga ‘Adn di mana mereka dapat memperoleh apa pun yang diinginkan oleh jiwa mereka dan kesenangan yang menyenangkan mata mereka. Allah berfirman: “Demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa.” Ini bererti bahawa sebagaimana Allah memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik di dunia ini dengan apa yang telah digambarkan kepada kalian wahai manusia, bahwa Dia memberi balasan kepada mereka di dunia dan di akhirat, begitu pula Dia memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa-Nya yang menunaikan kewajiban-kewajiban mereka dan menjauhi perbuatan dosa. (Lihat Jami’ al-Bayan, 14/212)

Dalam ayat ini, Allah memberitahu bahawa apa sahaja yang disukai oleh penghuni syurga akan mereka dapat termasuklah isteri atau suami. Setiap orang lelaki atau perempuan yang mati dalam keadaan bujang akan berkahwin di dalam syurga. 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ زُمْرَةٍ تَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ، وَالَّتِي تَلِيهَا عَلَى أَضْوَإِ كَوْكَبٍ دُرِّيٍّ فِي السَّمَاءِ، لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ زَوْجَتَانِ اثْنَتَانِ، يُرَى مُخُّ سُوقِهِمَا مِنْ وَرَاءِ اللَّحْمِ، وَمَا فِي الْجَنَّةِ أَعْزَبُ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang awal masuk ke dalam syurga ialah atas rupa bulan purnama dan yang mengiringinya pula atas rupa seperti bintang yang sangat terang sinarnya di langit. Bagi setiap ahli syurga dari mereka itu dua isteri yang mana dapat dilihat dari belakang daging akan sumsum dua betisnya dan tiadalah di dalam syurga itu orang yang bujang.”

ٌRiwayat Muslim (2834)

Hasan Abu al-Asybal dalam Syarh Sahih Muslim berkata: “Dan tidak ada seorang pun di Syurga yang akan membujang. Semua mereka akan bernikah, dan setiap orang yang memasuki Syurga dalam kalangan lelaki akan memiliki dua bidadari daripada al-Hur al-’Ain, selain isteri-isteri yang dicintainya di dunia. Jika dia telah menikah dengan satu isteri, maka isteri tersebut akan menjadi pasangannya di Syurga.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, oleh Hasan Abu al-Asybal, 6/10)

Kesimpulan

Justeru, berdasarkan persoalan di atas, jika seorang wanita tidak berkahwin sehingga dia meninggal dunia, Allah SWT akan mengahwinkannya dengan seseorang daripada penduduk syurga. Boleh jadi orang itu adalah seseorang yang bertunang dengannya di dunia dan meninggal dunia sebelum sempat dia berkahwin dengannya. Namun begitu, seorang wanita seharusnya tidak meninggalkan perkahwinan disebabkan hal ini. Rasulullah SAW pernah memerintahkan berdasarkan riwayat daripada Abu Hatim al-Muzani R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

إِذَا جَاءَكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ

Maksudnya: Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kamu redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak, maka akan timbullah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan.

Riwayat al-Tirmizi (1085) dan al-Baihaqi (13863)

Oleh itu, janganlah disebabkan oleh hal ini menyebabkan seseorang itu tidak berkahwin kerana masih ramai lagi orang soleh yang boleh dia kahwini dan Allah pasti akan memberikan kepadanya seorang suami yang lebih baik daripada lelaki tersebut, yang akan menjadi suaminya di dunia dan akhirat kelak.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 2 Jun 2023 bersamaan 13 Zulkaedah 1444H

 

Leave a Reply