#1766: Wang Pampasan dari Syarikat Konvensional

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum ustaz. Beberapa bulan lalu, saya terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan seseorang yang berbangsa Cina di mana dia adalah non-Muslim. Dan saya telah mendapat sejumlah wang pampasan dari pihak insurans kenderaan beliau, yang mana ianya dari syarikat insurans konvensional. Soalan saya, apakah hukum saya terima dan membelanjakan wang pampasan berkenaan dari pihak insurans konvensional? Harap ustaz dapat menjelaskan. Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Kami nyatakan terlebih dahulu pengertian duit pampasan kemalangan. Wang pampasan adalah wang bayaran sebagai ganti rugi daripada syarikat tempat seseorang bekerja (berdasarkan perjanjian pekerjaan) atau syarikat insurans atau takaful.

Bagi isu insurans atau takaful, kedua-dua takaful dan insurans konvensional melindungi sekiranya kemalangan berlaku. Ahli akan menyumbang wang untuk mendapatkan perlindungan takaful ini. Untuk kedua-dua polisi, pihak yang diinsuranskan mesti mempunyai kepentingan kewangan yang sah dalam risiko tersebut. Ini bermakna ahli mesti mengalami kerugian wang semasa kejadian yang diinsuranskan berlaku.

Perbezaan antara takaful dan insurans konvensional yang paling ketara ialah takaful adalah berdasarkan hukum syariah. Takaful tidak melibatkan elemen gharar, maisir, atau riba. Ia diwujudkan sebagai alternatif kepada insurans konvensional untuk mengelakkan unsur-unsur terlarang ini.

Selain itu, bagi insurans konvensional, risiko dipindahkan daripada yang diinsuranskan kepada syarikat insurans. Manakala dalam takaful pula, ia adalah berdasarkan perkongsian risiko. Setiap ahli menyumbang dalam dana takaful dan sekiranya berlaku sebarang kejadian tak diingini, semua ahli akan mendapat jumlah pampasan atau tuntutan yang sama.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram pun jelas. Di antara keduanya terdapat perkara yang syubhat (yang masih samar sama ada halal atau haram) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang menghindarkan diri dari perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka (dibimbangi) ia akan terjatuh dalam perkara haram.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Apabila sesuatu itu tidak jelas keadaannya, maka ia adalah syubhat dan sikap wara’ adalah dengan meninggalkannya. Sufyan al-Tsauri menyatakan: “Itu tidaklah membuatku kagum, tetapi yang lebih membuat aku kagum adalah meninggalkan sesuatu yang syubhat.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/200)

Imam al-Suyuti dalam mensyarahkan hadith menyatakan perkara mutasyabihat merupakan perkara yang tidak jelas halal dan haramnya dan sesiapa yang meninggalkannya bererti ia telah menyelamatkan agamanya daripada fitnah. (Lihat Syarh al-Suyuti ala Sahih Muslim, 4/190)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa ia termasuk dalam syubhah, di mana sebahagiannya perlu dikeluarkan untuk maslahat dan manfaat umum.  

Justeru, anggarlah nilai yang sebenarnya berapa. Maksudnya, katakan, sepatutnya kos untuk membaiki kenderaan dan seumpamanya adalah RM 100,000. Tetapi yang diperoleh adalah sebanyak RM 120,000. Maka, keluarkanlah RM 20,000 yang berbaki itu untuk infaq.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *