Soalan:

Calon-calon yang bertanding semuanya bukan beragama Islam. Bolehkah sekiranya saya tidak mahu mengundi mereka semua?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan ulil amri dalam kalangan kamu.”                                                    

Surah An-Nisa’ (59)

Haram Melantik Pemimpin yang Bukan Islam

Al-Jasas dalam tafsirnya menyatakan orang bukan Islam tidak ada kuasa ke atas orang Islam (Lihat ahkam al-Quran, 3/280). Hal ini turut disokong oleh Ibn Munzir, Ibn Hazm dan al-Qadhi ‘Iyadh yang mengatakan kepimpinan tidak boleh diserahkan kepada orang bukan Islam. (Lihat Syarh Shahih Muslim: 6/315; Ahkam Ahl al-Dzimmah: 2/787; Maratib al-Ijma’: 208)

Harus Melantik Pemimpin yang Bukan Islam

Ibn Hajar al-Haitami mengatakan jika sekiranya jawatan tersebut tidak dapat dipikul oleh orang Islam (tidak ada kemampuan), maka hukumnya adalah harus untuk melantik mereka yang bukan Islam dengan syarat ia di kawal (muraqabah) oleh pihak yang mengangkatnya agar tidak memberi mudarat kepada orang Islam (Lihat Tuhfah al-Muhtaj ma’a Hashiyah al-Syarwini, 9/73). Manakala, Dr Yusuf al-Qardhawi mengatakan orang bukan Islam mempunyai hak untuk menjawat jawatan kecuali jawatan yang besar (berusur agama) misalnya ketua negara, panglima tentera, pengurusan zakat dan penghakiman bagi orang Islam (Lihat Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama’ al-Islami, hlm 23-24).

Begitu juga, Imam ar-Ramli mengatakan hukum harus sekiranya mereka tidak berniat khianat kepada orang Islam. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/62; Mughni al-Muhtaj, 5/407; Mathalib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayah al-Muntaha, 2/532).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan meskipun calon-calon pilihan raya tersebut bukan beragama Islam, namun sebaiknya kita mengundi mereka yang berkeahlian dan yang tidak mendatangkan ancaman kepada agama Islam. Berkenaan hukum tidak mahu mengundi, kami nyatakan pengundian adalah satu proses dalam melaksanakan perlembagaan dan undang-undang. Maka, mengundi adalah perkara yang wajib selaras dengan kaedah:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Perkara yang tidak sempurna satu kewajipan melainkan dengan perkara tersebut maka perkara tersebut adalah wajib.”

Imam al-Ghazali menyatakan:

الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ

Maksudnya: “Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.” (Lihat al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 128)

Kesimpulan

Justeru itu, kami nyatakan hukum mengundi calon bukan beragama Islam adalah harus, melainkan terdapat sifat yang mendatangkan ancaman kepada agama Islam, tidak amanah dan tiada kepakaran dalam menjalankan amanah yang diberikan. Kesemua faktor berkenaan perlu diambil kira sebelum mengundi.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua’lam.

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply