Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang doktor yang tugasnya tidak menentu. Isu yang menjadi kebimbangan saya ialah masih struggle dengan solat fardhu 5 waktu, apa patut saya buat ustaz? Sebagai contoh, jika saya beriltizam untuk solat Zohor pukul 3.30 petang tetapi bila sampai waktu tersebut datang lagi kerja yang mengganggu saya untuk solat. Apa nasihat Dato’ Seri?

Jawapan :

Alhamdulillah, pujian yang mutlak kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Solat juga adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah.Selain itu, Solat merupakan ibadah agung dalam agama Islam. Justeru, Islam amat menitikberatkan perihal solat fardhu walau di mana berada dan keadaannya. Kewajipannya mesti ditunaikan dalam apa jua keadaan apabila mencukupi syarat wajib.

Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Umar bahawa Nabi SAW bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”

(Riwayat al-Bukhari (7)

إِنَّ اَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلٌحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksudnya: “Pertama-tama sekali yang akan dihisab pada diri seseorang di hari kiamat dari amalnya, iaitu tentang solatnya. Jika solatnya sempurna, maka dia telah berjaya. Dan jika solatnya rosak, maka dia telah gagal dan rugi.”

Riwayat al-Tirmizi (413)

Larangan Meninggalkan Solat

Solat adalah diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak perlu bertaubat dan kembali kepada Tuhan-Nya.

Allah SWT telah menyebut di dalam al-Quran tentang kedudukan penghuni neraka yang tidak mengerjakan solat. Firman Allah SWT:

 مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ ‎﴿٤٢﴾‏ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ ‎﴿٤٣﴾‏ وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ ‎﴿٤٤﴾‏ وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ ‎﴿٤٥﴾‏ وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ ‎﴿٤٦﴾‏ حَتَّىٰ أَتَانَا الْيَقِينُ ‎﴿٤٧﴾‏ فَمَا تَنفَعُهُمْ شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ 

Maksudnya: “(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.”

(Surah al-Mudassir:42-48)

Allah SWT berfirman :

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا ‎﴿٥٩﴾‏ إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا

Maksudnya: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.”

(Surah Maryam: 59-60)

Nabi SAW bersabda lagi:

الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: “Perjanjian di antara kami dan mereka (orang-orang munafiq itu), ialah dengan solat. Maka sesiapa yang yang meninggalkannya sungguh dia telah menjadi kafir.” 

Riwayat Ahmad (23403), al-Nasaie (326), al-Tirmizi (2621) dan Ibn Hibban (1454)

Dan Nabi SAW juga bersabda:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya, yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir dan syirik, iaitu meninggalkan solat.” 

Riwayat Muslim (82) dan Ahmad (14947)

Yang memberi makna bahawa jika seseorang meninggalkan solat dengan sengaja serta mengingkarinya akan membawa kepada kafir.

Merujuk kepada persoalan di atas, suka untuk kami nasihati supaya sentiasa menjaga dan memelihara solat lima waktu kerana solat merupakan tanggungjawab kita sebagai muslim dan ia merupakan tiang agama. Bahkan, orang yang menjaga solat dan memeliharanya pada awal waktu atau dalam waktu termasuk di kalangan yang falah yang layak menghuni syurga Firdaus. 

Firman Allah SWT:

 وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ 

Maksudnya: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.”

(Surah al-Mukminun: 9)

Antara maksud ‘يُحَافِظُونَ’ adalah memelihara solat dalam waktunya. Ibn Mas’ud, Masruq, Ikrimah dan Said bin Jubair berkata: “Yakni, orang-orang yang memelihara solatnya, dan menjaga waktu-waktu solat.”  (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/714)

Ingatlah, orang yang meninggalkan solat adalah orang yang rugi dan jauh daripada hidayah Allah SWT. DI sini kami sertakan beberapa tip untuk menjaga solat fardhu lima waktu :

  1. Meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga solat dan menjadikannya sebagai tanggungjawab yang wajib ditunaikan,
  2. Sentiasa mendampingi orang-orang soleh dan menghadiri majlis-majlis ilmu
  3. Ingat ganjaran pahala bagi orang yang menjaga solat dan balasan bagi yang meninggalkan solat
  4. Melawan nafsu
  5. Sentiasa mengingati mati dan berdoa kepada Allah SWT supaya diberi hidayah dan kekuatan untuk melakukan ketaatan.

Saya cadangkan tidak perlu menetapkan masa seperti pukul 3.30 tetapi jika sekiranya masuk waktu dan ada peluang yang kecil walaupun pukul 3 atau lima minit, maka teruskan solat terlebih dahulu. Justeru, ketika itu, anda tidak tertunggu-tunggu dan ternanti-nanti waktu yang paling sesuai dan cukup bagi anda untuk melaksanakan solat. Dengan cara ini, anda boleh beristiqamah untuk solat pada awal waktu dan lebih baik dari apa yang anda niatkan untuk sembahyang pada jam sekian, sedangkan natijahnya anda bermasalah dengan tugas yang tak dapat dielakkan.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak semua untuk berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply