#1781: Membuka Aib Seseorang untuk Tujuan Motivasi

Soalan:

Adakah dibenarkan bercakap tentang aib individu untuk tujuan motivasi. Apakah dibenarkan syarak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا، إِلَّا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat.

Riwayat Muslim (2590)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan pada asalnya perbuatan mengaibkan orang adalah satu perbuatan yang tidak baik dan berdosa. Hal ini kerana dengan membuka aib seseorang, orang sekelilingnya akan memandang serong dan menjatuhkan maruahnya. Bahkan, apabila perkara yang dikatakan itu tidak benar, maka itu sudah jatuh fitnah. Oleh itu, orang yang membuka aib seseorang, secara tidak langsung sebenarnya telah melakukan ghibah (mengumpat). Firman Allah SWT:

وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ

Maksudnya: “Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”

Surah al-Hujurat (12)

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 26/139)

Namun. Terdapat juga mengumpat yang dibolehkan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

  • Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
  • Membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
  • Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
  • Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
  • Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
  • Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 432-433; Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/142)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: 

مَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

Maksudnya: “Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.”

Riwayat Muslim (2699), Abu Daud (4946), al-Tirmizi (2945), Ibn Majah (225), Ahmad (7427), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (7285) 

Kesimpulan

Justeru itu, kami nyatakan jika sekiranya membuka aib tersebut bagi tujuan pengajaran dan iktibar, sebagaimana kisah Abu Lahab di dalam al-Quran, Qarun dan sebagainya, maka ia dibenarkan. Namun, jika sekiranya membuka aib tersebut untuk memburukkan/ menjatuhkan seseorang yang dibenci, maka hukumnya berdosa dan dilarang. Kami nasihatkan sebaiknya jika ingin menjadikan sesuatu kisah seseorang buat tatapan umum, maka sebolehnya elakkan untuk menyebut nama individu tersebut bagi menjaga aibnya. Dengan cara itu, ia dapat mengelakkan permusuhan dan fitnah sesama manusia.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي وَمَالِي. اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي. اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ مِنْ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah aku memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah aku memohon kepada-Mu kemaafan dan keselamatan pada agamaku dan duniaku, pada ahli keluargaku dan hata bendaku. Ya Allah tutuplah auratku (aib dan kelemahan), dan amankanlah ketakutanku. Ya Allah peliharalah aku daripada bahaya yang datang dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku, dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-Mu daripada tergelincir daripada bawahku.”

Riwayat al-Bukhari (2100)

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *