Soalan:

Saya ada soalan sikit nak bertanya. Apakah hukum berkahwin jika seseorang itu dia hadapi penyakit mati pucuk tapi dia dah beritahu kepada pasangannya tentang perkara itu dan pasangan dia masih lagi nak teruskan perkahwinan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Mati Pucuk

Mati pucuk bermaksud ketidakupayaan dalam memperolehi dan mengekalkan ketegangan yang cukup lama untuk mencapai kepuasan hubungan seks. Antara sebab-sebabnya adalah: penyakit mental seperti kemurungan dan kebimbangan, kegagalan hati dan buah pinggang, Parkinson, kesan sampingan ubat-ubatan dan seumpamanya. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)”

Riwayat al-Bukhari (5065) dan Muslim (3466)

Imam Nawawi menjelaskan, adapun pengertian al-ba’ah (الْبَاءَةَ) sendiri adalah jima’ (hubungan intim), inilah makna al-ba’ah (الْبَاءَةَ) pada bahasa. Namun yang dimaksudkan adalah mampu untuk berjima’ disertai dengan kemampuan memberi nafkah terlebih dahulu. Sesiapa yang tidak mampu berjima’ lantaran belum mampu dari segi nafkah, maka hendaklah dia rajin berpuasa untuk mengekang syahwatnya yang menggelora. Gejolak maninya dapat ditahan dengan rajin berpuasa sunat seperti itu. Itulah maksud hadis yang dikemukakan di atas. Hadis tersebut ditujukan kepada para pemuda yang syahwatnya sudah menggelora namun belum mampu untuk memberi nafkah. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/154)

Imam al-San’ani pula menyebut: Para ulama’ berselisih pendapat pada maksud al-Ba’ah (الباءة). Pendapat yang paling sahih (qaul al-asah), maksud al-Ba’ah ialah jima’ atau mampu bersetubuh. Maka hadis tersebut dibaca dengan: Barangsiapa yang mampu daripada kalangan kamu bersetubuh kerana kemampuannya untuk menanggung perkahwinan, maka berkahwinlah. Sesiapa yang tidak mampu bersetubuh kerana lemah untuk menanggung perkahwinan, maka dia hendaklah berpuasa untuk mengekang syahwatnya. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram oleh al-San’ani, 2/159)

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang sudah mempunyai kemampuan sama ada secara fizikal atau ekonomi, maka hendaklah segera bernikah. Ini kerana terdapat padanya banyak faedah dan kebaikan. Disebut dalam kitab Syarh Bulugh al-Maram: Ramai dari kalangan ulama’ yang menyebut bahawa seseorang yang sudah mampu (secara fizikal dan ekonomi) untuk berkahwin, maka wajib baginya untuk berkahwin. Ini kerana pada dasarnya, perintah tersebut (فَلْيَتَزَوَّجْ) menunjukkan kewajiban, dan di dalam pernikahan itu terdapat maslahat yang agung. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, 3/179)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa isu ini termasuk dalam aib nikah. Aib-aib dalam pernikahan itu ada tujuh, yakni gila, kusta, sopak, zakar tidak boleh membesar, hasyafah terpotong, faraj tersumbat dengan daging dan faraj terhalang dengan tulang (Lihat al-Mu’tamad, 4/96).

Begitu juga, aib ini boleh dibahagi kepada dua:

  • Aib menghalang persetubuhan  seperti zakar terputus, mati pucuk, faraj tersumbat oleh tulang atau daging.
  • Aib yang tidak menghalang persetubuhan seperti penyakit yang menjijikkan atau mengundang bahaya seperti sopak, kusta dan gila.

Oleh itu, aib di atas jelas menunjukkan menghalang tujuan perkahwinan. Namun, sekiranya aib yang dialami suami boleh dirawat, maka sebab yang boleh mengfasakhkan telah digugurkan (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/ 109).

Kesimpulan

Justeru itu, dalam isu ini ia termasuk dalam aib nikah. Apabila seorang suami mampu memberi nafkah zahir, namun mempunyai kelemahan fizikal (nafkah batin), maka makruh hukumnya. Walau bagaimanapun, apabila bakal isteri redha dengan keadaan bakal suaminya yakni mati pucuk, maka tidak menjadi masalah untuk mereka berkahwin. Meskipun isteri redha dengan kekurangan suami (mati pucuk), namun si suami perlu ikthtiar untuk merawat masalah tersebut, kerana memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri adalah wajib. Antara cara rawatan yang boleh dilakukan merujuk kepada Portal Kementerian Kesihatan Malaysia:

  1.     Mengamalkan cara hidup yang sihat seperti berhenti merokok, berhenti pengambilan alkohol, mengurangkan berat badan berlebihan, pengurusan stress dan seumpamanya.
  2.     Mengambil ubatan berbentuk pil atau suntikan atau pembedahan implant (Kami tegaskan di sini, ia perlu merujuk kepada doktor sebelum menggunakan kaedah rawatan sebegitu).

 

Akhir kalam, semoga Allah permudahkan urusan perkahwinan saudara dan diberi kesihatan yang baik. Kami tutup dengan berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” Wallahua`lam.

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply