Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Semasa menyembelih haiwan korban lembu betina, masa sembelih didapati ada anak. Apakah status haiwan tersebut sebagai korban? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, korban hanya sah dengan unta, lembu kambing dan biri-biri. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.

(Surah al-Haj: 34) 

Begitu juga tidak terdapat hadith Nabi SAW atau kata-kata sahabat yang menunjukkan bahawa yang dijadikan korban selain daripada binatang-binatang tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/233).

Secara umumnya, di antara syarat haiwan korban ialah haiwan tersebut tidak mengalami kecacatan yang menyebabkan kurang dagingnya. Hal ini jelas sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa disyaratkan pada haiwan korban itu mestilah selamat daripada kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya. Justeru, tidak sah haiwan yang sangat kurus, gila, terpotong sebahagian telinga, tempang, buta sebelah mata, sakit dan kudis yang jelas kelihatan. Tidak memberi kesan (kepada kesahan haiwan korban itu) jika kecacatan yang disebutkan tadi sangat sedikit, begitu juga ketiadaan tanduk-tanduknya, koyak telinga, dan tebukan pada telinga mengikut pendapat yang paling sahih. Kemudian, beliau menyebutkan bahawa menurutnya, pendapat yang sahih dan yang dinaskan adalah tidak sah kudis yang sedikit. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 320).

Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Barra’ bin Azib R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

أَرْبَعٌ لاَ تُجْزِيْ فِي الأَضَاحِي: الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءِ بَيِّنٌ عَرَجُهَا وَلاَ الْعَجْفَاءُ الَّتِى لاَ تُنْقِ

Maksudnya: Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan qurban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang.

Riwayat al-Tirmizi (1497); riwayat Abu Daud (2802)

Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, semua kecacatan dan aib yang menyebabkan kurangnya daging haiwan itu diqiaskan kepada empat kecacatan tersebut (yang dinyatakan dalam hadith di atas). (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/482).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, majoriti fuqaha tidak menyebutkan kehamilan sebagai suatu kecacatan pada haiwan korban melainkan ulama mazhab Syafi‘i berpendapat, tidak sah untuk menjadikan haiwan yang hamil sebagai haiwan korban kerana kehamilan itu telah merosakkan bahagian dalamnya dan menjadikan dagingnya tidak berkualiti. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/281; Mughni al-Muhtaj, 6/127; Hasyiah al-Ramli al-Kabir ‘ala Asna al-Matalib, 1/536).

Dalam erti kata lain, haiwan yang hamil sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban kerana kehamilan tersebut tidak termasuk dalam kecacatan mahupun aib yang menyebabkan kurangnya daging haiwan itu.

Manakala bagi status anak atau janin haiwan itu pula, adalah mengikut hukum sembelihan ibunya. Dalam hal ini Abu Syuja‘ menyebutkan, penyembelihan janin adalah melalui penyembelihan ibunya, melainkan didapati ia masih lagi hidup, maka ia hendaklah disembelih (bagi menghalalkannya). (Lihat Matan al-Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 42).

Selain itu, pengarang al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebutkan, janin yang mati disebabkan oleh penyembelihan ibunya dianggap sebagai sembelihan (yang menghalalkannya) kecuali jika ia masih hidup, ia hendaklah disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/48).

Ini berdasarkan hadith Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya: “Kami bertanya kepada Rasulullah SAW tentang janin,” Rasulullah SAW menjawab:

كُلُوهُ إِنْ شِئْتُمْ فَإِنَّ ذَكَاتَهُ ذَكَاةُ أُمِّهِ

Maksudnya:Makanlah janin tersebut jika kamu suka. Penyembelihannya adalah dengan penyembelihan ibunya.

Riwayat Abu Daud (2827)

Oleh itu, jelaslah bahawa anak lembu itu adalah halal untuk dimakan kerana sembelihannya adalah melalui sembelihan ibunya, melainkan jika ia masih lagi hidup, maka ia hendaklah disembelih.

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa lembu betina yang hamil adalah sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban sebagaimana pendapat jumhur fuqaha. Begitu juga janin atau anak lembu itu juga adalah halal untuk dimakan kerana sembelihannya adalah melalui sembelihan ibunya melainkan jika ia masih lagi hidup, maka ia hendaklah disembelih.

Sekalipun begitu, jika dapat dielakkan daripada menjadikan lembu betina yang hamil sebagai korban adalah lebih baik sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply