Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada menyembelih lembu betina dan tidak tahu yang lembu itu bunting. Selepas menyembelihnya, barulah saya tahu dalam perutnya ada janin atau anak. Apakah hukum anak lembu itu, adakah ia halal untuk dimakan? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, haiwan darat yang halal dagingnya hendaklah disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak bagi membolehkan untuk memakannya. Justeru, difahami bahawa haram hukumnya memakan daging binatang tanpa disembelih terlebih dahulu kerana pada ketika ia tidak disembelih dianggap sebagai bangkai. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Al-Qurtubi menyatakan bahawa kesemua perkara yang disebut di dalam ayat di atas adalah haram untuk dimakan kecuali apa yang disembelih oleh kamu sendiri. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 6/50).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Abu Syuja‘ menyebutkan, penyembelihan janin adalah melalui penyembelihan ibunya, melainkan didapati ia masih lagi hidup, maka ia hendaklah disembelih (bagi menghalalkannya). (Lihat Matan al-Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 42).

Selain itu, pengarang al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebutkan, janin yang mati disebabkan oleh penyembelihan ibunya dianggap sebagai sembelihan (yang menghalalkannya) kecuali jika ia masih hidup, ia hendaklah disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/48).

Ini berdasarkan hadith Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya: “Kami bertanya kepada Rasulullah SAW tentang janin,” Rasulullah SAW menjawab:

كُلُوهُ إِنْ شِئْتُمْ فَإِنَّ ذَكَاتَهُ ذَكَاةُ أُمِّهِ

Maksudnya:Makanlah janin tersebut jika kamu suka. Penyembelihannya adalah dengan penyembelihan ibunya.

Riwayat Abu Daud(2827)

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi perkara ini dengan lebih terperinci bahawa Imam al-Syafi‘i dan para ashab berpendapat, jika disembelih haiwan yang halal dagingnya untuk dimakan, lalu didapati di dalam perutnya janin yang sudah mati, maka hukumnya adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf, tidak kira terdapat padanya tanda-tanda (yang menunjukkan kepada kehidupannya) ataupun tidak. Menurut Imam al-Nawawi lagi, ini juga merupakan pendapat seluruh ulama dalam kalangan sahabat, tabi‘in dan ulama selepasnya melainkan Imam Abu Hanifah dan Zufar di mana mereka berpendapat janin itu tidak halal untuk dimakan sehinggalah ia keluar dalam keadaan masih lagi hidup lalu disembelih.

Manakala Imam Malik pula berpendapat, janin yang keluar dalam keadaan sudah mati, sempurna kejadiannya, dan bulunya juga sudah tumbuh, maka ia halal untuk dimakan berdasarkan sembelihan ibunya. Jika kejadiannya belum sempurna dan bulunya belum tumbuh, maka ia adalah haram untuk dimakan. Ibn Munzir menyebutkan, orang ramai berpendapat ia adalah halal (untuk dimakan), dan tidak diketahui seorangpun yang menyanggah apa yang mereka katakan sehingga Abu Hanifah datang dan mengharamkannya, lalu berkata, “Penyembelihan untuk satu jiwa tidak boleh menjadi sembelihan untuk dua jiwa.” Al-Khattabi menukilkan, Ibn al-Munzir menyebutkan dalam kitabnya yang lain bahawa tiada seorang pun ulama yang berpendapat seperti Abu Hanifah. Katanya lagi, “Aku tidak fikir para ashabnya juga bersetuju dengan pendapatnya itu.” Al-Khattabi juga menyebutkan, kebanyakan ulama berpandangan bahawa ia adalah halal untuk dimakan, tetapi sebahagian daripada mereka meletakkan syarat pada janin itu terdapat tanda-tanda (yang menunjukkan kehidupannya).

Imam Abu Hanifah berhujah dengan menyatakan bahawa sembelihan untuk sesuatu haiwan tidak boleh menjadi sembelihan untuk haiwan yang lain. Adapun hadith:

ذَكاةُ الجَنينِ ذَكاةُ أُمِّه

Maksudnya: “Sembelihan janin adalah sembelihan ibunya.”

Riwayat Abu Daud (2828); al-Darimi (1979); al-Tirmizi (1476); Ahmad (11361)

Hadith di atas ditakwilkan atau difahami dengan maksud sembelihan janin itu adalah seperti mana sembelihan ibunya. Dalam erti kata lain, sembelihlah janin itu sebagaimana disembelih ibunya.

Manakala para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berhujah berdasarkan hadith di atas dan juga qias kepada haiwan buruan. Al-Khattabi dan para ashab menyebutkan, riwayat Abu Daud yang disebutkan di dalam kitab (sebagaimana di atas) jelas menunjukkan kepada mazhab kita (al-Syafi‘i) dan membatalkan takwilan mereka. Hal ini kerana pada hakikatnya janin berada di dalam perut haiwan dan menyembelihnya dalam perut adalah tidak mungkin. Maka, diketahui bahawa takwilan tersebut iaitu disembelih janin itu seperti mana disembelih ibunya bukanlah maksudnya tetapi sebaliknya maksudnya ialah sembelihan ibunya cukup untuk menghalalkannya.

Di antara riwayat lain yang menguatkan pendapat ini ialah riwayat al-Baihaqi bahawa:

ذَكَاةُ الْجَنِينِ فِي ذَكَاةِ أُمِّهِ

Maksudnya:Sembelihan janin pada sembelihan ibunya.

Begitu juga dalam riwayatnya yang lain (datang dengan lafaz):

ذَكَاةُ الْجَنِينِ بِذَكَاةِ أُمِّهِ

Maksudnya: “Sembelihan janin adalah dengan sembelihan ibunya.”

Selain itu, ini juga kerana kalaulah maksudnya sebagaimana yang dinyatakan oleh mereka, maka tidak ada pada janin itu keistimewaan. Di samping itu, janin mengikuti hukum asalnya dalam sembelihan (bagi mengbolehkan untuk memakannya) sebagaimana anggota atau bahagian-bahagian haiwan yang lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/127-128).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat janin atau anak dalam kandungan haiwan yang halal dimakan, sembelihannya adalah sembelihan ibunya. Dalam erti kata lain, jika disembelih haiwan yang halal dagingnya untuk dimakan, lalu didapati di dalam perutnya janin yang sudah mati, maka hukumnya adalah halal untuk dimakan sebagaimana pendapat jumhur ulama. Melainkan jika janin atau anak dalam perut haiwan itu masih lagi hidup, maka ia hendaklah disembelih.

Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Dalam erti kata lain, semua bahagian-bahagian haiwan itu adalah cabang atau sebahagian daripada haiwan yang disembelih tersebut. Justeru, hukum yang sama turut terpakai ke atas bahagian-bahagian tersebut — yakni halal dimakan.

Hal ini kerana sembelihan yang dilakukan ke atas haiwan yang halal dimakan, turut menghalalkan semua bahagian anggota haiwan tersebut dan harus untuk kita mengambil manfaat dengannya selagi mana bukan najis dan tidak memudaratkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply