Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Maaf mengganggu. Saya ada 1 soalan berkaitan umrah. Semasa saya menunaikan umrah bersama mak, selepas keluar dari masjid untuk ke miqat, mak saya dia jalan ke bas tanpa kasut (masa tu saya terpisah dengan mak). Dia lupa kasut dia letak di rak mana. Semasa telah sampai di bas, saya tengok dia stokin dia ada kesan warna hijau (tidak pasti kacang-kacang atau najis burung) selepas itu dia menanggalkan stokin dia dan pakai stokin baru. Adakah wuduk mak saya batal ustaz, jika itu najis burung? Ini kerana saya risau kalau ia meresap ke kaki dan mak saya tidak mengambil wuduk baru. Mohon pencerahan daripada Dato’ Seri.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Wuduk

Wuduk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syarak pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan seseorang yang terkena najis di tubuh badannya tidak membatalkan wuduk. Hal ini kerana wuduk hanya terbatal apabila terjadi situasi di bawah:

  • Keluar sesuatu daripada kedua jalan (qubul dan dubur) melainkan keluar mani. Ini kerana keluarnya mani diwajibkan mandi dan ia merupakan perkara yang lebih utama dilakukannya dahulu.
  • Hilang akal sama ada dengan tidur atau selainnya. Melainkan (tidak membatalkan wuduk) sekiranya tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduknya.
  • Bersentuhan (kulit) di antara lelaki dan wanita ajnabi (boleh berkahwin) secara langsung iaitu tanpa berlapik.
  • Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 103)

Oleh itu, dalam isu saudari, wuduk ibu saudari tidak terbatal, namun bahagian yang terkena najis itu perlu dibasuh. Perbuatan menukar stokin yang baru adalah satu langkah yang baik bagi mengelakkan was-was dan seumpamanya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply