Soalan:
Apakah hukum sekiranya saya menangkap ikan di kawasan tasik di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan kerana kekurangan atau kekangan kewangan?
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ
Maksudnya: “Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu dan bagi orang-orang yang dalam permusafiran.”
Surah Al-Maidah (96)
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan bahawa hukum memancing di kawasan yang bertuan tanpa kebenaran adalah dilarang dalam Islam. Hal ini jelas disebut di dalam al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui”.
Surah Al-Baqarah (188)
Sheikh Ahmad Mustafa al-Maraghi menyatakan bahawa mereka yang berani dan bebas mengambil harta orang lain yang di mana perlakuan itu mendorong orang lain melakukan perkara yang sama, golongan ini merupakan orang yang melakukan kejahatan terhadap harta dan ia merupakan satu jenayah” (Lihat Tafsir Maraghi, 1/374).
Pihak berkuasa tempatan juga dianggap sebagai tuan yang diamanahkan untuk menjaga dan mengawal tempat tersebut. Dalam hal ini, perlu dilihat adakah tempat tersebut bersifat terbuka dan dibenarkan untuk memancing. Jika itu yang diketahui maka hukumnya adalah harus untuk memancing. Sebaliknya, jika berpagar dan ditulis larangan memancing maka hukumnya adalah tidak dibenarkan.
Kesimpulan
Dalam isu ini, kami nyatakan memancing di Kawasan yang bertuan tanpa kebenaran adalah haram hukumnya. Hal ini kerana ia merupakan Kawasan kepunyaan orang dan jika ditangkap, ia boleh dikenakan tindakan undang-undang jika didapati bersalah. Berkenaan isu kemiskinan, meskipun saudara kurang berkemampuan, matlamat tidak menghalalkan cara. Kami nasihatkan juga jika saudara ingin memancing, sebaiknya memancing di kawasan yang dibenarkan agar saudara tidak dikenakan hukuman undang-undang. Begitu juga, pada hari ini pelbagai pekerjaan yang boleh dilakukan seperti menjual makanan, Grab food, Food Panda, guru tuisyen dan seumpamanya yang saudara berkemampuan. Akhir kalam, semoga Allah membantu urusan saudara dan melimpahkan rezeki buat saudara sekeluarga. Ameen.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.
Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H