Soalan :

Saya ingin bertanya tentang hukum cukur rambut anak. Anak saya yang kedua adalah perempuan dan saya sudah melakukan aqiqah dan cukur jambul sahaja untuknya tetapi tidak membotakkan keseluruhan kepalanya. Bagaimana saya nak buat kiraan untuk kiraan bersedekah bagi berat timbanagn rambut anak yang dicukur? Bagi anak sulung saya pula, dia seorang autism, maka dia pun tidak dicukur habis kepalanya.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mencukur rambut bayi merupakah salah satu perkara sunat yang digalakkan oleh Syarak. Ini berdasarkan hadith daripada Saidina Ali RA, katanya:

عَقَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْحَسَنِ بِشَاةٍ وَقَالَ: يَا فَاطِمَةُ احْلِقِى رَأْسَهُ وَتَصَدَّقِى بِزِنَةِ شَعْرِهِ فِضَّةً، قال: فَكَانَ وَزْنُهُ دِرْهَمًا أَوْ بَعْضَ دِرْهَمٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengaqiqahkan seekor kambing bagi al-Hasan lantas bersabda: “Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah berat rambut tersebut selepas dinilaikan dengan (timbangan) perak.” Ali berkata: “TImbangannya menyamai satu dirham atau setengah dirham.”

Riwayat al-Tirmizi (1519)

Namun begitu, timbul persoalan adakah mencukur rambut bagi bayi perempuan dibolehkan?

Dalam Isu ini ulama ada berbeza pendapat :

Pertama : Ulama mazhab Syafi’e dan Maliki menyatakan hukum mencukur rambut bayi perempuan adalah Sunat.Ini berdasarkan apa yang telah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi beliau menyatakan di dalam al-Majmu’: “Disunatkan untuk mencukur kepala bayi yang dilahirkan pada hari ketujuh. Mazhab kami menyatakan bahawa disunatkan juga untuk bersedeqah berat emas bersamaan dengan timbangan berat rambut bayi yang dicukur. Jika tidak mampu, maka disunatkan untuk bersedeqah dengan berat daripada perak. Hal ini untuk lelaki dan juga perempuan. ’’ (Lihat al-Majmu’, 8/432)

Al-Dusuki menyatakan disunatkan mencukur rambut bayi lelaki atau perempuan yang baru dilahirkan  walaupun tidak  di aqiqah dan disunatkan bersedekah dengan timbangan rambut tersebut dari emas dan perak.Sekiranya tidak mencukur rambut disunatkan jugak untuk bersedekah dengan anggaran timbangan berat rambut bayi. (Lihat al-Syarh al-Kabir,2/126 ). Ini juga berdasar hadis :

وزَنَتْ فاطمةُ بنتَ النبيِّ ﷺ شَعرَ حسنٍ وحُسينٍ وزينبَ وأمِّ كلثومٍ فتصدَّقَتْ بزنةِ ذلك فِضَّةً.

Maksudnya : “Fatimah Binti Rasulullah SAW menimbang rambut Hasan,Husain,Zainab dan Ummi Kalsum dan bersedekah dengannya dari perak.”

Riwayat Abu Daud  (380) dan Baihaqi (19746)

Kedua : Ulama Hanbali berpandangan tidak boleh mencukur rambut bayi perempuan dan hukumya adalah makruh.Ini berdasarkan apa yang telah dinukilkan oleh Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni beliau menyatakan  : Tidak ada perbezaan dalam riwayat yang menyatakan makruh mencukur rambut perempuan. (Lihat al-Mughni, 1/104). Yang demikian berdasarkan hadis yang diriwatkan oleh Ali bin Abi Talib :

نَهَى رُسُولُ اللهِ ﷺ أَن تَحلقَ المرأةُ رأسَها.

Maksudnya : “Rasulullah SAW melarang perempuan mencukur rambut.Hasan berkata ia merupakan (مُثْلَه)  iatu menukar ciptaan Allah.”

Riwayat Tarmizi (914) dan Nasaie (5049)

Hadith di atas menunjukkan kepada larangan mencukur kepala bagi wanita ketika bertahallul (Haji & Umrah) dan begitu juga secara mutlaknya kecuali sekiranya terdapat darurat. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih. Dar al-Fikr, (5/1832).

Al-Hanabilah mengatakan ianya hanyalah makruh sahaja. Larangan yang terdapat pada hadith di atas hanyalah bersifat makruh tanzih. ( Lihat Dalil al-Falihin, 8/477.

Menjawab persoalan di atas kami berpandangan hukum mencukur rambut bagi bayi perempuan adalah disunatkan berdasarkan dalil yang telah kami nyatakan di atas dan ia juga merupakan pendapat majoriti ulama. Yang demikian adalah kerana mecukur rambut mempunyai kebaikan seperti bersedekah dan bertujuan memperelokkan rambut yang tumbuh selepas itu.

Bagi soalan kiraan untuk bersedekah pula tuan/puan perlu mengeluar kadar emas atau perak bagi timbangan berat rambut bayi.

Justeru, kami katakan dalam masalah ini bolehlah anda anggarkan atau tartilkan sekira-kira berat rambut anak anda. Kemudian, bolehlah anda melakukan sedekah berdasarkan nilaian berat rambut anak anda. Ia sebagai lambang kesyukuran dan terima kasihnya kita kepada Allah SWT. 

Di samping itu, menjadikan rasa  bahagia ditumpang sama oleh golongan fakir miskin dengan mendapat dan memperolehi kurniaan dari mereka yang memperolehi zuriat mereka.

Semoga jawapan yang ringkas ini dapat difahami dengan baik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply