Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kebanyakan produk pembiayaan peribadi Islam adalah berdasarkan kaedah Tawarruq, apakah hukumnya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Definisi Tawarruq (التَوَرُّقُ)
Sebelum menjawab persoalan yang diutarakan, kami datangkan terlebih dahulu takrifan Tawaruq. Bank Negara Malaysia mengatakan bahawa ianya terdiri daripada suatu kontrak jual beli yang terdiri daripada dua akad, yang pertama melibatkan jualan aset oleh penjual kepada pembeli atas dasar tangguh (bayarannya). Kemudian, pembeli tersebut akan menjual aset yang sama kepada pihak ketiga atas dasar tunai dan segera (bayarannya). (Lihat Bank Negara Malaysia – Tawarruq, hlm. 5)
Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah mentakrifkan Tawarruq menurut istilah sebagai pembelian barangan secara bayaran tangguh, kemudian menjualnya secara bayaran tunai kepada orang selain penjual tadi (orang ketiga) dengan harga lebih rendah daripada apa yang dibelinya; dengan tujuan mendapatkan tunai tersebut. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 14/147)
Berdasarkan takrifan di atas, kami menyimpulkan beberapa unsur asas yang terdapat di dalam urusniaga dengan kaedah Tawarruq ini:
- Pembelian barangan secara bayaran tangguh.
- Pembeli menjual semula barang yang dibeli kepada orang ketiga.
- Penjualan barangan yang dibeli dengan harga yang lebih murah.
- Pembeli berhasil mendapatkan wang secara tunai.
Hukum Tawarruq
Hukum urusniaga dengan kaedah ini adalah dibenarkan oleh majoriti ulama’ termasuklah ulama Mazhab al-Syafi‘i. Imam al-Syafi‘i menyebutkan di dalam kitabnya al-Umm bahawa jika seseorang membeli barang daripada orang lain dengan bayaran tangguh, maka tidak menjadi masalah baginya untuk menjual semula barang itu dengan harga yang lebih rendah atau tinggi, kepada orang lain. (Lihat al-Umm, 3/79)
Imam al-Subki menaqalkan kalam Imam al-Syafi‘i ini di dalam Takmilah al-Majmu‘, lalu mengatakan bahawa urusniaga ini dibenarkan kerana jual beli yang pertama merupakan akad yang berbeza dengan jual beli yang kedua. (Lihat al-Majmu‘ Takmilah al-Subki, 10/149)
Disebutkan juga di dalam Qararat al-Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang berlangsung di Makkah pada 11 Rejab 1419 Hijrah bersamaan 31 Oktober 1998 Masihi:
أَنَّ بَيْعَ التَّوَرُّقِ هَذَا جَائِزٌ شَرْعًا، وَبِهِ قَالَ جُمْهُورُ الْعُلَمَاءِ، لِأَنَّ الأَصْلَ فِي الْبُيُوعِ الإِبَاحَةُ
Maksudnya: “Jual beli Tawarruq ini dibolehkan menurut syara‘, dan inilah pandangan yang dipersetujui majoriti ulama‘. Hal ini kerana hukum asal jual beli adalah harus.”
(Lihat Qararat al-Majma‘ al-Fiqh al-Islami, hlm. 320)
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
(Surah al-Baqarah: 275)
Dalam ayat ini, Allah SWT telah menyatakan larangan bagi orang Islam untuk beramal dengan perbuatan riba. Dan Allah SWT juga menjanjikan balasan serta azab yang pedih bagi mereka yang melanggarinya. Adapun urusniaga dengan kaedah Tawarruq ini pada zahirnya adalah bebas dari sebarang unsur riba.
Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri dan Abu Hurairah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW melantik seorang sahabat sebagai petugas di Khaibar, sahabat tersebut kemudian membawa pulang kepada Baginda kurma Janib, lalu Rasulullah SAW bersabda:
أَكُلُّ تَمْرِ خَيْبَرَ هَكَذا، فَقالَ: لَا وَاللهِ يَا رَسُولَ اللهِ إِنّا لَنَأْخُذُ الصَّاعَ مِنْ هَذَا بِالصَّاعَيْنِ، وَالصَّاعَيْنِ بِالثَّلَاثَةِ، فَقَالَ: لَا تَفْعَلْ، بِعِ الجَمْعَ بِالدَّرَاهِمِ، ثُمَّ ابْتَعْ بِالدَّرَاهِمِ جَنِيبًا
Maksudnya: “’Adakah semua kurma Khaibar begini?’ Sahabat tersebut menjawab: ‘Demi Allah tidak wahai Rasulullah, sesungguhnya kami membeli kurma ini satu gantang dengan imbalan kurma dua gantang, dan membeli 2 gantang dengan imbalan 3 gantang’. Lalu Rasulullah bersabda: ‘Jangan lakukan seperti itu, tetapi juallah semua kurma tersebut dengan dirham, kemudian beli dengan dirham tersebut kurma janib’.”
Riwayat al-Bukhari (2201) dan Muslim (1593)
Oleh kerana kaedah Tawarruq ini terdapat hutang, maka mereka berdalilkan dengan ayat al-Quran yang membenarkannnya dengan syarat hutang tersebut ditulis. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.”
(Surah al-Baqarah: 282)
Hukum Kaedah Tawarruq dalam Pembiayaan Peribadi Islamik
Pembiayaan Peribadi Islamik menggunakan kaedah Tawarruq yang berasaskan kepada konsep murabahah (keuntungan) dan wakalah (perwakilan).
Konsep murabahah (keuntungan) ini berlaku dengan cara penjualan sesuatu barang dengan harga modal berserta jumlah kadar keuntungan yang telah dipersetujui oleh pembeli.
Konsep wakalah (perwakilan) pula berlaku dengan cara penjual menggunakan khidmat ejen untuk mewakilinya dalam penjualan sesuatu barang. Pihak ejen tersebut kemudiannya akan menerima upah dari khidmat yang diberikannya.
Apabila jelas kedua-dua konsep di atas, kami ringkaskan proses Pembiayaan Peribadi Islamik dengan kaedah Tawarruq ini seperti berikut:
Pertama: Pihak bank bertindak sebagai peniaga yang akan membeli terlebih dahulu barangan daripada pihak pengeluar, kemudian menjual semula kepada pelanggan dengan harga yang lebih tinggi.
Kedua: Pihak bank bertindak sebagai ejen (wakil) pihak pelanggan untuk menjualkan semula barang tersebut kepada pihak ketiga.
Ketiga: Hasil daripada jualan tersebut akan diberikan kepada pelanggan.
Keempat: Pelanggan akan membayar semula nilai jualan kepada pihak bank secara ansuran mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
Sebagai contoh: Ali (pelanggan) ingin membuat pinjaman sebanyak RM 50,000 daripada Bank A. Bank A akan membeli sesuatu barang bernilai RM 50,000 daripada syarikat A, kemudian menjualnya kepada Ali dengan konsep murabahah (keuntungan) sebanyak lima peratus (5%) iaitu bersamaan RM 52,500 secara bayaran tangguh.
Dengan menggunakan akad yang baru berasaskan konsep wakalah (perwakilan) pula, Bank A akan mewakili Ali untuk menjualkan semula barang tersebut tersebut dengan harga RM 50,000 kepada syarikat B (pihak ketiga) secara tunai. Kemudian, Bank A memberikan hasil jualan bernilai RM 50,000 kepada Ali.
Bank A akan meminta Ali membayar caj perkhidmatan atas khidmat yang telah yang disediakan kepadanya. Ali juga perlu membayar kepada Bank A dengan harga barang yang dijual berasaskan konsep murabahah (keuntungan) yang lepas iaitu RM 52,500 secara tangguhan. (Lihat Jurnal Syariah Universiti Malaya – Bilangan 2, 18/354-357)
Jelas berdasarkan perbincangan di atas, mendapatkan Pembiayaan Peribadi Islamik berdasarkan kaedah Tawarruq adalah dibolehkan kerana tiada unsur riba atau apa-apa unsur lain yang diharamkan oleh syara‘ seperti gharar (ketidakpastian) dan sebagainya.
Keperluan semasa yang kian mendesak terutamanya dari aspek kewangan bagi mengatasi masalah lain menjadi suatu perkara yang darurat. Sesetengah pihak mungkin berkeperluan untuk membuat pembiayaan peribadi ini menggunakan cara yang tidak bertentangan dengan hukum syara’, maka kaedah Tawarruq menjadi salah satu alternatif lain kepada pembiayaan islam di Malaysia.
Wallahua‘lam
Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H