Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri, baru-baru ni tular kes seorang lelaki membunuh teman wanitanya yang sedang hamil. Apakah hukum jikalau seorang lelaki terlanjur dan menyebabkan wanita tersebut hamil? 

Apakah pilihan yang terbaik bagi pihak lelaki/perempuan perlu buat selepas mengetahui berkenaan kandungan tersebut? Apakah hukumnya pula jikalau kedua-dua pihak membuat keputusan untuk menggugurkan kandungan tersebut? Terima kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/72)

Antara bentuk ( وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ) (“Dan janganlah kamu menghampiri zina”) ialah:

  • Berkhalwat dengan wanita ajnabiyyah
  • Melihat filem pornografi
  • Membaca buku-buku berunsur pornografi
  • Menghadiri ke tempat-tempat yang lagha dan terdedah dengan pornografi
  • Menghampiri mereka yang berakhlak buruk yang banyak melakukan perbuatan keji seperti zina.

Sementara maksud وَسَاءَ سَبِيلًا sebagai mana pendapat Syeikh al-Maraghi: Sesungguhnya berzina itu nyata keburukannya, bahkan mengandungi pelbagai kerosakan. Antara yang terpenting ialah:

  • Percampuran dan keturunan yang porak-peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan oleh seorang pelacur perempuan, apakah bayi itu anaknya atau anak orang lain, maka lelaki tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur.
  • Perzinaan sebenarnya membuka pintu huru-hara dan kegoncangan dalam kalangan sesama manusia kerana manusia tetap mempertahankan kehormatan. Berapa banyak peristiwa pembunuhan yang timbul kerana keinginan berzina, sehingga sewaktu kita mendengar sesuatu peristiwa pembunuhan, maka orang akan terus mengatakan, “Periksalah dahulu latar belakang perempuan yang terlibat!” 
  • Wanita yang sudah terkenal dan masyhur sebagai pelacur akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya. Dengan demikian, ketenteraman dan keserasian yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai kasih dan sayang antara sesama manusia tidak akan tercapai.
  • Tujuan kaum perempuan dicipta bukan sekadar pelampias syahwat semata-mata. Akan tetapi, ia dijadikan sebagai sekutu bagi kaum lelaki dalam mengatur urusan rumah tangga dan mempersiapkan tugas-tugasnya seperti makanan, minuman dan pakaian. Kaum perempuan juga menjadi penjaga dan pengurus anak-anak dan sekaligus menjadi pembantu suami. Tugas ini tidak akan dilaksanakan dengan sempurna kecuali apabila wanita itu menjadi rakan (pasangan) yang khusus bagi seorang lelaki sahaja, bukan untuk lelaki-lelaki yang lain. 

Dalam erti kala yang lain, perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca, nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. Perzinaan juga merupakan cara yang buruk jika ditinjau dari segi menyamakan antara manusia dan binatang, iaitu tidak menjodohkan antara yang betina dengan yang jantan secara khusus (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3941-3942).

Hukum Menggugurkan Anak Zina Dalam Kandungan

Hukum menggugurkan bayi dalam kandungan boleh dibahagikan kepada dua bahagian; iaitu menggugurkan kandungan sebelum berusia 4 bulan dan menggugurkannya selepas berusia 4 bulan. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud RA:

إنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمَاً نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنفُخُ فِيْهِ الرٌّوْحَ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap daripada kamu dihimpunkan penciptaannya di dalam rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah (`alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan ke dalamnya roh”.

Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)

Menggugurkan kandungan yang berusia empat bulan atau kurang daripadanya adalah termasuk dalam perkara yang menjadi perselisihan di kalangan para ulama’ kerana dalam tempoh tersebut roh belum lagi ditiupkan ke dalam kandungan. Majoriti ulama mengatakan bahawa hukumnya adalah haram. Sebahagian lain mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa hukumnya adalah harus dengan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, 2/58-59); Nihayah al-Muhtaj, 8/416)

Adapun menggugurkan kandungan selepas berusia 4 bulan, para ulama’ bersepakat bahawa hukumnya haram kerana pada usia tersebut, roh telah ditiupkan ke dalam kandungan ibu berdasarkan hadith Ibn Mas’ud RA. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, 2/57; al-Mughni, 8/418).

Namun, diharuskan menggugurkan bayi di dalam kandungan walaupun sudah ditiupkan roh kepadanya (selepas berusia 4 bulan), jika ia boleh mengancam nyawa ibunya. Rujuk Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah (2/57)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang telah diputuskan pada 7 Mac 1990 menyatakan:

  • Menurut Ijmak Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.
  • Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami dan isteri.
  • Ijmak Fuqaha’ berpendapat hukum pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Muzakarah telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Kesimpulan dan Syor

Merujuk kepada persoalan di atas, kami katakan bahawa orang yang melakukan zina hendaklah bertaubat dengan taubat yang nasuha, kerana zina adalah salah satu dosa besar yang diharamkan dalam Islam dan yang dikenakan amaran keras kepada orang yang melakukannya dengan azab yang sangat pedih sebagaimana firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًا ‎﴿٦٨﴾‏ يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا

Maksudnya: Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan”

(Surah al-Furqan: 68-69)

Kami cadangkan jika berlaku demikian dan telah terlanjur maka buatlah seperti berikut:

  • Hendaklah bertaubat, beristighfar serta memohon ampun kepada-Nya.
  • Bincanglah dengan sebaik-baiknya antara pasangan tersebut tanpa merasa panik, gabra dan rasa takut. Sebaliknya, tenang dan muhasabah diri.
  • Bertemulah dengan orang yang terbaik untuk memberi nasihat agar memilih jalan yang terbaik untuk kembali ke pangkal jalan.
  • Kedua-dua pihak hendaklah melaporkan hal ini kepada kedua ibu bapa dengan penuh rasa sebuah penyesalan dan keinginan untuk bertanggungjawab dengan apa yang terjadi.
  • Seterusnya, pihak ibu bapa hendaklah menerima dengan hati yang terbuka di samping menjadi pendamai antara kedua belah pihak tanpa menuding jari anak kamu yang salah tetapi masing-masing mengakui kesilapannya.
  • Peranan ibu bapa amat penting untuk terus bertindak ke arah kebaikan seperti binalah ikatan pernikahan yang sah serta berilah sokongan dan dokongan kepada pasangan tersebut.
  • Binalah mereka dengan agama Islam dan dekatkanlah mereka ke masjid surau serta majlis-majlis ilmu. 
  • Bantulah mereka dalam membina dan melayari bahtera kehidupan dengan penuh aman dan damai tanpa ungkitan kisah yang lalu.
  • Sesungguhnya, saya katakan jika pasangan tersebut telah diberi sebuah pengajaran yang terbaik maka tidak mustahil ia akan menjadi pasangan yang unggul yang amat berterima kasih kepada kedua ibu bapanya dan dapat membina kehidupan boleh jadi jauh lebih baik daripada yang lain. 
  • Ingatlah, sehebat mana kita pun pasti diuji tidak kurang yang rebah dalam ujian dan terkandas dan ramai juga yang berjaya menghadapi pelbagai situasi dengan sebab sokongan dan dokongan dari semua pihak. 
  • Jadilah golongan yang membina dan mendamaikan bukan golongan yang meruntuh serta merosakkan dan memusnahkan sesebuah kehidupan. Bak kata pepatah Melayu, “Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Kami yakin dan percaya jika peranan seperti ini dapat dimainkan dengan sebaik mungkin oleh semua pihak termasuk kerajaan, para agamawan, NGO, masyarakat, apatah lagi ibu bapa dan pasangan yang terbabit, maka keadaan tidaklah menuju separah itu. Sebaliknya, sebuah kehidupan yang baik dengan pengislahan dapat dibina semula.

Justeru, sekali lagi kami katakan berkenaan dengan pengguguran bahawa haram bagi penzina yang mengandung anak luar nikah untuk menggugurkan anak tersebut disebabkan oleh dosa zina tersebut. ِHal ini kerana sekiranya dia membunuh janin tersebut, dia telah melakukan dosa yang bertingkat, iaitu berzina dan juga membunuh janin yang tidak bersalah. Firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).

(Surah al-Isra’: 33)

Kami akhiri dengan keburukan-keburukan yang datang daripada zina sebagaimana yang disebut oleh al-Zahabi dalam kitab al-Kabair:

  • Mengikut hukum Islam, penzina yang belum pernah berkahwin disebat 100 kali sebatan sedangkan bagi yang sudah berkahwin, direjam sehingga mati.
  • Bagi mereka yang terlepas daripada hukuman dunia dan tidak bertaubat, para penzina digantung dengan kemaluan mereka di dalam neraka sambil dipukul kemaluan mereka dengan cemeti daripada besi sambil dicemuh oleh Malaikat Zabaniah.
  • Dicabut iman daripada dalam hatinya ketika berzina, seperti pakaian yang dicabut daripada tubuh.
  • Allah Taala tidak akan berkata-kata dengan orang tua yang berzina di Hari Kiamat, tidak mahu melihatnya (yakni membiarkannya), dan tidak menyucikannya daripada dosa-dosa dan baginya azab yang pedih.
  • Dianggap sebagai dosa paling besar selepas syirik kepada Allah dan membunuh nyawa tanpa alasan yang hak.
  • Dijadikan bekas seperti ketuhar dalam neraka bagi para penzina, yang sempit bahagian atasnya dan luas bahagian bawahnya, setiap kali disambar api mereka akan menjerit-jerit kerana panas yang melampau.
  • Kemaluan mereka akan berbau sangat busuk sehingga menyeksa para penghuni ahli neraka.
  • Iblis berbangga dengan para tenteranya yang berjaya menarik manusia melakukan zina hingga menganugerahkan mahkota istimewa kepada mereka.
  • Mendapat tiga keburukan di dunia; dihilangkan seri wajahnya, dipendekkan umurnya dan berkekalan dalam kefakiran.
  • Memperolehi tiga keburukan di akhirat; kemurkaan Allah, penghitungan amal yang buruk dan azab neraka.
  • Dijadikan sebatang sungai dalam neraka yang mengalirkan nanah dan muntah daripada kemaluan orang berzina yang menjadi minuman para peminum arak.
  • Dijadikan bagi mereka sebuah lembah di dalam neraka yang dalamnya ada ular dan kala jengking sebesar baghal, yang memiliki tujuh puluh duri yang berbisa yang mengengat para penzina selama seribu tahun sehingga terlerai dagingnya.
  • Dijadikan azab kubur baginya seperti azab separuh umat.
  • Diharamkan syurga buat orang yang berzina sedangkan dia tahu perbuatan itu dilarang.
  • Selain itu, perbuatan zina juga boleh merosakkan nasab manusia dengan lahirnya anak di luar hubungan perkahwinan. Semoga Allah mengampuni kita dan menjauhi kita daripada perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar. (Lihat al-Kabair, 1/50-54)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply