Soalan:

Assalamualaikum Dr. Saya ada terjumpa wang di jalan raya atas highway dan saya memang tidak tahu empunya wang itu. Soalan saya bagaimana cara nak buat dengan duit tersebut, disedekah kepada orang miskin atau diberi pada masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Takrif Al-Luqatah

Sebelum kami bahas dengan lebih lanjut, harta yang tercicir ini disebut di dalam Bahasa Arab sebagai Al-Luqatah. Dr Wahbah Zuhaili menjelaskan maksud Al-Luqatah di sisi syarak di dalam kitabnya: Daripada Ibnu Qudamah Al-Hanbali Al-Luqatah bermaksud “Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain”. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu: 6/4856).

Selain itu Syeikh Mustafa Bugha di dalam kitabnya menyatakan: “Al-Luqatah mengikut Syarak adalah sesuatu barang atau harta yang bernilai (di sisi syarak), dijumpai di tempat yang tidak mempunyai pemilik, dan tidak mengetahui hak miliknya”. (Lihat al-Fiqh Al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i: 7/69).

Syeikh Mustafa Bugha mengklasifikasikan harta al-Luqatah kepada dua bahagian:

  • Harta al-Luqatah (haiwan) iaitu menjumpai haiwan peliharaan yang bernilai di sisi syarak. Para ulama membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu haiwan yang boleh menguruskan dirinya sendiri seperti unta dan haiwan yang tidak dapat menguruskan dirinya seperti anak lembu.
  • Harta al-Luqatah (selain daripada haiwan) Syeikh Mustafa Bugha mengharuskan mengambil barang itu dan menjaganya. Ia juga tertakluk kepada hukum syariat samada wajib ataupun tidak. Berkenaan dengan harta al-Luqatah selain haiwan, Nabi S.A.W pernah ditanya berkenaan dengannya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid   al-Juhani berkata bahawa Nabi S.A.W ditanya oleh seseorang yang tidak dikenali berkenaan harta Al-Luqatah (harta yang dijumpai) daripada emas atau perak. Sabda Nabi S.A.W :

فَقَالَ‏”‏اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ ‏”‏

Maksudnya: “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.

Hadis riwayat Muslim: 1722

Merujuk kepada persoalan di atas kami telah membahaskan tentang isu luqatah (Harta yang hilang dari tuannya dan dijumpai oleh orang lain) pada artikel  #151 : Jumpa Duit Tepi Jalan. Untuk mengetahui perbahasan yang lebih terperinci, tuan/puan boleh lah merujuk perbahasan tersebut pada link yang kami sertakan di nota kaki.[1]

Kami berpandangan sekiranya wang yang dijumpai itu mempunyai nilai yang besar,maka wajib dihebahkan wang tersebut selama satu tahun seperti di media sosial atau di khalayak ramai.Ini berdasarkan pendapat jumhur fuqaha yang bersandarkan pada hadis nabi S.A.W daripada Zaid bin Khalid yang bermaksud “hebahkan ia selama setahun”. Syeikh Wahbah Zuhaili menulis di dalam kitab beliau berkenaan cara menghebahnya dengan  mengumumkan ke atasnya (harta Al-Luqatah) atau mengiklankannya di tempat yang dijumpai, dan di tempat pengumpulan masyarakat seperti pasar, pintu masjid dan kedai-kedai makan.(Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu, 6/4863).

Alhamdulillah, mutakhir ini, dengan perkembangan media terkini, maka amat mudah untuk dimasukkan sama ada Twitter, Instagram mahu pun Facebook atau Tiktok. Sebaik-baiknya tanyalah mereka yang berpengetahuan agama cara untuk mewar-warkan agar yang mendakwa harta yang dia dakwa itu memang benar-benar sifat, bentuk dan tempat barangan tersebut tercicir atau hilang.

Sekiranya harta tersebut tidak dituntut, maka bolehlah disedekahkan kepada masjid atau rumah kebajikan. Sebaiknya diserah kepada pihak berautoriti bagi menjamin keselamatannya dan diputuskan oleh qodi atau hakim untuk proses kegunaan bertujuan kemaslahatan umum atau diserahkan kepada baitumal.

Wallahua’lam

[1] https://maktabahalbakri.com/151-jumpa-duit-tepi-jalan/

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply