Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukumnya seseorang atau pihak PBT menangkap anjing liar lalu membiarkannya terkurung kelaparan sehingga ada anjing-anjing yang terkurung itu terlalu kurus sehingga menampakkan hanya kulit dan tulang? Bukan itu sahaja, anjing-anjing dalam sangkar itu juga terlalu busuk kerana dibiarkan terlalu lama. Keadaannya adalah sama seperti mana pautan ini:
Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”
(Surah al-Nahl: 90)
Syeikh al-Sa‘di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) pula adalah nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya (suruhan) berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya (tidak dimakan). (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 447).
Berbuat baik kepada haiwan
Agama Islam sangat menekankan soal berbuat baik (Ihsan) kepada seluruh makhluk termasuklah haiwan. Sehinggakan saat hendak menyembelihnya pun kita diperintahkan untuk mematikannya dengan cara yang terbaik sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mempercepatkan sembelihannya.”
Riwayat Muslim (1955)
Hadith ini secara jelas menunjukkan kepada kewajipan berlaku ihsan kepada setiap makhluk, termasuklah juga kepada haiwan kerana pada saat ia hendak disembelih pun, kita dituntut untuk berlaku ihsan kepada haiwan tersebut. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127).
Selain itu, al-Nawawi juga ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa haiwan sembelihan itu hendaklah direhatkan dengan cara menajamkan pisau dan menyegerakan proses sembelihannya. Begitu juga disunatkan untuk tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang ingin disembelih dan tidak menyembelih haiwan dengan keberadaan haiwan yang lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/92).
Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”
Riwayat al-Bukhari (5997)
Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
(Surah al-Taubah: 128)
Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:
فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً
Maksudnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).”
(Surah al-Ma’idah: 13)
Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya. (Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123).
Berbuat baik kepada haiwan juga boleh menjadi sebab pengampunan Allah SWT sebagaimana kisah seorang pelacur yang diampunkan dosa-dosanya disebabkan oleh perbuatannya memberi minum seekor anjing yang kehausan. Nabi SAW bersabda:
أنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا في يَومٍ حارٍّ يُطِيفُ ببِئْرٍ، قدْ أدْلَعَ لِسانَهُ مِنَ العَطَشِ، فَنَزَعَتْ له بمُوقِها فَغُفِرَ لَها
Maksudnya: “Seorang wanita pelacur telah melihat seekor anjing mengelilingi sebuah perigi pada suatu hari yang panas. Anjing tersebut telah menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita itu menanggalkan kasutnya (untuk menceduk air perigi tersebut) lalu memberinya minum. Oleh sebab perbuatannya itu, dia telah diampunkan dosanya.”
Riwayat Muslim (2245)
Ancaman menzalimi haiwan
Nyawa haiwan adalah dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati melainkan bagi tujuan mendapat manfaat daripadanya yang diizinkan oleh syarak seperti memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:
ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ: يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها
Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”
Riwayat al-Nasa’i (4349)
Begitu juga, menyakiti dan menzalimi haiwan adalah termasuk dalam perbuatan yang diharamkan. Seorang wanita telah diazab dan ditempatkan di dalam neraka kerana perbuatannya yang zalim terhadap seekor kucing. Rasulullah SAW bersabda:
عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ
Maksudnya: “Seorang perempuan telah diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.”
Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadith di atas iaitu dikatakan kepadanya:
لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: “Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga ia boleh makan serangga yang berada di tanah.”
Riwayat al-Bukhari (2365)
Di samping itu, kita juga dilarang daripada membunuh haiwan yang tidak boleh dimakan yang sedang nazak atau dalam keadaan kesakitan yang tiada harapan lagi untuk sembuh bagi merehatkannya — daripada penderitaan yang dialami. Imam Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh al-Syabramalisi dan Syeikh Abu Bakar al-Dimyati mengharamkan menyembelih haiwan yang tidak boleh dimakan, sekalipun untuk tujuan merehatkannya daripada kesakitan, seperti himar yang sakit berkekalan. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/322; Hasyiah al-Syabramalisi ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 8/177 dan I‘anah a-Talibin, 2/388).
Maka, kita fahami daripada kenyataan di atas bahawa sekiranya membunuh haiwan yang tidak boleh dimakan bagi menghilangkan penderitaan dan kesakitan yang ditanggungnya pun tidak dibenarkan, apatah lagi membunuhnya dalam keadaan ia asalnya sihat dan mampu untuk mencari makan tetapi kita menyekat kebebasannya itu dengan mengurungnya, lalu dibiarkan kelaparan sehingga nyawa-nyawa ikan atau mati kelaparan.
Kesimpulannya
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tindakan PBT atau badan seumpamanya bagi menangkap anjing-anjing liar yang mengganggu kawasan penduduk serta mengancam keselamatan mereka dengan mengikut SOP yang ditetapkan adalah diharuskan. Akan tetapi anjing-anjing liar yang ditangkap hendaklah diletakkan di satu tempat yang khusus, diberi makan dan tidak dibiarkan kelaparan (dalam kurungannya). Jika ia dibiarkan kelaparan, dengan tidak diberi makan mahupun minum, dikhuatiri ia termasuk dalam perbuatan zalim sebagaimana yang diceritakan dalam hadith di atas berkenaan seorang perempuan yang diazab di dalam api neraka kerana mengurung seekor kucing, lalu tidak memberinya makan dan minum sehinggalah ia mati kelaparan.
Namun, tidak dapat dinafikan, di sana terdapatnya perintah untuk membunuh anjing yang dinyatakan di dalam hadith-hadith sahih. Namun, perintah tersebut adalah merujuk kepada anjing yang ganas dan memudaratkan, dan bukannya semua anjing yang ditemui, tidak kira anjing yang berwarna hitam atau selainnya sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Haramain. Hal ini kerana anjing yang ganas dan memudaratkan itu termasuk dalam jenis haiwan perosak yang mengganggu dan membahayakan manusia. Justeru, diperintahkan untuk membunuhnya bagi menolak darurat daripada terkena pada diri sendiri mahupun pada orang lain. Perbahasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #842 Membunuh Anjing,[1] dan juga #830: Membunuh Anjing Gila.[2]
Kami juga mengambil kesempatan di sini mencadangkan, jika anjing-anjing liar yang ditangkap yang bebas daripada penyakit anjing gila atau penyakit seumpamanya tidak dapat dijaga untuk suatu tempoh yang sangat lama kerana faktor-faktor tertentu seperti faktor kekurangan dana, kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi atau sebagainya, adalah lebih baik untuk ia diberikan kepada sesiapa dalam kalangan bukan Islam yang mahu membelanya ataupun ia dilepaskan di suatu kawasan yang jauh dari kawasan penduduk seperti di dalam hutan dan seumpamanya. Sekurang-kurangnya ia dapat mencari makan sendiri kerana itu adalah jauh lebih baik daripada membunuhnya.
Kami akhiri dengan mengulang semula satu hadith yang kami telah bawakan di atas, di mana Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”
Riwayat al-Bukhari (5997) dan Muslim (2318)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/842-membunuh-anjing/. Diakses pada 6 Jun 2023.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/830-membunuh-anjing-gila/. Diakses pada 6 Jun 2023.
Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H