Soalan:

Boleh Dato’ Seri tafsirkan ayat 180 dalam Surah al-A’raf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ ۚ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.”

Surah al-A’raf (180)

Hanya milik Allah SWT saja nama-nama yang mengandung makna-makna yang indah dan terbaik. Oleh kerana itu, serulah ia dengan nama-nama tersebut. Ada kalanya nama-nama tersebut untuk memuji Allah SWT seperti, ‘Allah, tidak ada tuhan selain Dia. Yang Maha Hidup, Yang terus-menerus mengurus (makhluk-Nya) …” (al-Baqarah: 255) seperti, “Dialah Allah, tidak ada Tuhan selain Dia. Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang…” (al Hasyr: 22) ada juga untuk berdoa dan meminta semua keperluan. Asma’ al-Husna milik Allah itu berjumlah 99. Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,

إن للهِ تسعةً وتسعين اسمًا ، مائةً إلا واحدًا ، مَن أحصاها دخلَ الجنةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi Allah SWT sembilan puluh sembilan nama, seratus kecuali satu, barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga.”

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (6410)

Makna “من أحصاها” menurut tafsiran para ulama’

Di dalam memahami lafaz ini, para ulama’ telah berselisih pendapat dalam menentukan makna yang dimaksudkan dengan lafaz ini. Antaranya yang dikemukan oleh al-Khattabi di dalam kitab ‘Umdah al-Qari :

  • Kita sepatutnya memuji Allah SWT dengan semua nama-nama atau sifat-sifat-Nya tanpa menghadkan nama dan sifat tersebut.
  • Sesiapa yang mampu mendirikan hak-hak tersebut dan dalam masa yang sama beramal dengannya. Dengan makna lain, kita mengambil iktibar daripada makna nama-nama dan sifat-sifat Allah dan meletakkannya di dalam diri kita.
  •  Sesiapa yang sentiasa berfikir dengan makna nama-nama dan sifat-sifat Allah.
  • Sesiapa yang menghafal, berfikir akan makna-maknanya seterusnya beramal dengannya.

Ibn al-Jauzi berpendapat yang dimaksud dengan lafaz tersebut ialah sesiapa yang membaca al-Quran sehingga tamat dan memahami akan isi kandungan keseluruhannya kerana di dalamnya terletak semua nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT.

Tarjih

Berdasarkan pendapat-pendapat ulama’ dalam memahami lafaz ini, kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan lafaz “من أحصاها” adalah dengan bertadabbur dan melihat kepada makna-makna dan dalam masa yang sama kita menghafalnya.

Imam Tirmidzi dan al-Hakim menyebutkan nama-nama yang 99 tersebut dari jalan Walid bin Muslim dari Syu’aib. Setelah kalimat, “Dia menyukai yang ganjil…” ia berkata,

“Dialah Allah yang tidak ada Tuhan selain Dia, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang Raja, Mahasuci, Mahadamai, Maha Mengamankan, Maha Menguasai, Maha Mulia, Maha Perkasa, Maha Sombong, Maha Pencipta, Maha Menjadikan, Maha Membentuk, Maha Pengampun, Maha Berkuasa, Maha Pemberi, Maha Pemberi Rezeki, Maha Pembuka, Maha Mengetahui, Maha Menggenggam, Maha Membentangkan, Maha Menurunkan, Maha Mengangkat, Maha Memuliakan, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha MenghaKimi, Maha adil, Maha Lembut, Maha Mengabarkan, Maha Santun, Maha Agung, Maha Pengampun, Maha Berhak Disyukuri, Maha Tinggi, Maha Besar Maha Memelihara, Maha Membalas, Maha Menghisab, Maha Agung Maha Mulia, Maha Mengawasi, Maha Memperkenankan, Maha Luas, Maha Bijaksana, Maha Pengasih, Maha Mulia, Maha Membangkitkan, Maha Menyaksikan, Maha Benar, Maha Mewakili, Maha Kuat, Maha Kukuh, Maha Berkuasa, Maha Terpuji, Maha Menghitung Maha Memulai, Maha Mengembalikan, Maha Menghidupkan, Maha Mematikan, Maha Hidup, Maha Berdiri, Maha Ada, Maha Mengagungkan, Maha Tunggal, Maha Esa, Maha Unik, Maha Tempat Mengadu, Maha Kuasa, Maha Berkuasa, Maha Mendahulukan, Maha Mengakhirkan, Maha Pertama, Maha Terakhir, Maha Tampah Maha Batin, Maha Berkuasa, Maha Tinggi, Maha Berbuat Baik, Maha Penerima Taubat, Maha Membalas, Maha Pemaaf, Maha Pengasih, Maharaja di Atas Raja, Maha Pemilik Kemuliaan dan Pemuliaan, Maha Adil, Pengumpul, Maha Kaya, Maha Menghalangi (dalam riwayat lain: Maha Mengayakan), Maha Pemberi Mudharat, Maha Pemberi Manfaat, Maha Terang, Maha Pemberi Petunjuk, Maha Mencipta, Maha Kekal, Maha Pewaris, Maha Hebat, Maha Sabar.”

Yang dimaksud dengan الْأَسْمَاءُ dalam ayat dan hadits di atas adalah tasmiyah (penamaan) Tidak ada perbezaan pendapat dalam hal ini. Iaitu Allah SWT memiliki sifat yang beragam, di antaranya ada yang Dia berhak atas sifat itu untuk diri-Nya dan ada yang Dia berhak atas sifat itu untuk sifat lain yang berhubungan dengan-Nya, di antaranya adalah sifat-sifat untuk Zat-Nya dan di antaranya ada sifat-sifat perbuatan.

Nama-nama Allah SWT ini menurut para ulama bersifat tauqifi (ketentuan dari Allah dan bukan berdasarkan ijtihad) sehingga Dia tidak boleh dinamakan dengan nama yang tidak disebutkan di dalam Al-Qur’an dan Sunnah seperti ar-Rafiq (teman), al-Sakhiy (dermawan), al-Aqil (yang cerdas) dan sebagainya.

وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ Ertinya, tinggalkanlah orang-orang yang ilhaad dalam nama-nama-Nya dengan memalingkan lafaz-lafaz atau makna-maknanya dari yang sebenarnya kepada makna-makna lain yang mengandung tahriif (penyelewengan), takwil, kemusyrikan, pendustaan, penambahan, pengurangan atau segala sesuatu yang kontradiktif dengan sifatnya sebagai sifat-sifat yang baik. 

Ilhaad yang dimaksud memiliki tiga bentuk:

Pertama, dengan mengubah nama-nama itu seperti yang dilakukan kaum musyrikin, iaitu ketika mereka mengubah nama-nama tersebut dari yang sesungguhnya kepada nama-nama yang lain lalu dilekatkannya kepada patung-patung mereka. Mereka ambil nama (al lata) dari kata (Allah), (Uza) dari kata-kata (aziz) , dan (manah) dari kata-kata (mannan) 

Kedua, dengan melakukan penambahan pada nama-nama itu dan tasybiih (menyerupakannya dengan yang lain). Kelompok yang disebut musyabbihah menyifati Allah SWT dengan sesuatu yang tidak diizinkan oleh agama. 

Ketiga, dengan melakukan pengurangan atau ta’thiil (memasifkan nama-nama). Kelompok yang disebut mu’aththilah menafikan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang bodoh yang membuat doa-doa lalu mereka menyeru kepada Allah dengan nama-nama yang tidak ada dasarnya. Mereka sebut Allah dengan hal-hal yang tidak ada landasannya dan hal-hal lain yang tidak layak dengan keagungan Allah SWT. 

Alasan mereka ditinggalkan adalah kerana mereka akan mendapatkan balasan atas perbuatan mereka dan mereka akan disiksa di dunia sebelum siksaan di akhirat nanti. (Lihat Tafsir al-Munir, 5/171-173)

Perkataan al-Asma’ (الأسْمَاءُ) bermaksud penamaan. Dalam pendapat yang lain, ia bermaksud sifat-sifat. Ia dikatakan al-Husna (الحُسْنَى) kerana baik pada pendengaran dan hati. Manakala, perkataan yulhidun (يُلْحِدُونَ) bermaksud orang yang berpaling dan menyeleweng. Terdapat tiga bentuk penyelewengan:

  • Mengubah nama-nama Allah SWT sepertimana yang dilakukan orang Musyrikin. Misalnya mereka menamakan berhala-berhala dengan kalimah Allah SWT, al-‘Uzza daripada al-‘Aziz dan seumpamanya.
  • Menambah nama-nama Allah SWT
  • Mengurangkan nilai nama-nama Allah SWT seperti yang dilakukan oleh orang jahil. (Lihat Tafsir al-Qurtubi,7/328).

 

Selain itu, dalam tafsir yang lain, Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama. Dan mereka mengambil  nama-nama tersebut untuk disebut kepada sembahan mereka seperti nama latta yang berasal dari lafaz Allah, al-Uzza dari kata al-Aziz dan al-Manat dari kata al-Mannan. Maka, mereka akan menerima balasan di hari akhirat kelak terhadap apa yang mereka lakukan. (Lihat Tafsir al-Jalalain, 3/141)

Sheikh Muhammad Mutawali Sya’rawi dalam tafsirnya ketika mengulas ayat ini menyebut, Allah SWT mengingatkan kita supaya berdoa kepada-Nya menggunakan Asma al-Husna kerana Dia menginginkan makhluk-Nya sentiasa mengingati-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama, serta kegigihan, kesungguhan dan kesabaran dalam menekuni ilmu, seterusnya menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat.  Ameen.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

 Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply