Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya tersilap baca bacaan tasbih rukuk pada sujud dan bacaan tasbih sujud pada rukuk. Lepas solat baru perasan. Adakah solat saya masih sah atau saya perlu mengulanginya semula? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya kita hendaklah mendirikan solat sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya:Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Secara umumnya, ulama mazhab Syafi‘i telah memasukkan bacaan tasbih ketika rukuk dan sujud sebagai sunat hai’ah. Sunat hai’ah ialah sunat-sunat solat yang sekiranya ditinggalkan tidak sunat digantikan dengan sujud sahwi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/147; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/427).

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi dengan menyebutkan, bacaan tasbih, seluruh zikir-zikir dalam rukuk dan sujud, ucapan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَرَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ”, dan bertakbir pada selain takbiratul ihram, semua perkara tersebut adalah sunat dan bukannya wajib. Jika seseorang meninggalkannya (tidak membacanya), maka tidak berdosa dan solatnya masih dikira sah, tidak kira dia meninggalkannya dengan sengaja mahupun disebabkan terlupa. Akan tetapi dihukumkan sebagai makruh meninggalkannya secara sengaja. Inilah mazhab kami (mazhab Syafi‘i), Malik, Abu Hanifah dan jumhur ulama. Malah, al-Syeikh Abu Hamid menyatakan, ia merupakan pendapat kebanyakan fuqaha’. Begitu juga pengarang al-Hawi juga ada menyebutkan, ia adalah mazhab fuqaha keseluruhannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/414).

Penjelasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Bacaan Rukuk dan Sujud; Wajib atau Sunat.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, sebagaimana yang kita ketahui, bacaan tasbih rukuk dan sujud termasuk dalam sunat-sunat hai’ah. Mengenai hal ini, al-Bujairimi ada menyatakan bahawa pada sunat-sunat hai’ah, seseorang itu tidak perlu untuk sujud sahwi disebabkan oleh dia memindahkan bacaan sunat-sunat hai’ah (pada bukan tempatnya) melainkan pada masalah bacaan surah — selain surah al-Fatihah kerana ia adalah rukun. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Manhaj, 1/258).

Begitu juga Nawawi al-Jawi turut menjelaskan berkenaan hal ini dengan menyebutkan, pada sunat-sunat hai’ah, seseorang itu tidak perlu untuk sujud sahwi disebabkan oleh dia memindahkan bacaan sunat-sunat hai’ah (pada bukan tempatnya) melainkan pada masalah surah (selain surah al-Fatihah) apabila ia dibaca pada tempat selain qiyam sekalipun tanpa niat untuk melakukannya. (Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 84).

Kesimpulannya

Sebahagian ulama menganggap keitka rukuk dibaca dengan tasbih dalam bentuk ta’zim adalah menggambarkan keagungan dan kebesaran Allah SWT. Hai’ah dan keadaan seseorang rukuk sebagai tanda memulia dan mengagungkan Allah SWT atas kerana itulah tidak boleh seseorang merukuk kepada seseorang. 

Begitu juga, apabila seseorang sujud, maka dia mengucap tasbih dala, bentuk meninggikan Allah SWT. Ini kerana, hai’ah dan keadaan sujud itu merupakan di puncak kehinaan hamba kepada Tuhannya yang Maha Tinggi. Dengan sebab dahinya dan wajahnya yang mulia berada sama tinggi dengan kakinya sebagai puncak kehambaan kepada Yang Maha Tinggi.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أقرب ما يكون العبد من ربه وهو ساجد ، فأكثروا الدعاء

Maksudnya: “Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan-nya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).”

Riwayat Muslim dan al-Nasaie

Justeru, sunat seseorang itu berdoa ketika bersujud, seboleh-bolehnya dalam bahasa Arab dan sesudah bertasbih sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa seseorang yang tersilap atau tertukar bacaan tasbih sujud pada rukuk atau sebaliknya, solatnya tidak terbatal dan masih dikira sah kerana kedua-dua bacaan tasbih itu termasuk dalam perkara sunat hai’ah. Begitu juga dia tidak perlu untuk melakukan sujud sahwi disebabkan oleh perkara tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply