Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, Saudi akan menyambut Aidiladha pada 28/6, hari Arafah pada 27/6. Manakala Malaysia akan sambut Aidiladha pada 29/6, hari Arafah pada 28/6. Bagaimana dengan fadhilat amalan hari Arafah bagi Muslim di Malaysia, kerana jemaah haji akan berwukuf pada 27/6?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mengucapkan syabas kepada yang bertanya. Ini bertujuan semata-mata untuk melaksanakan ibadat puasa. Sesungguhnya, puasa pada hari Arafah pahalanya cukup besar. Antaranya:

Daripada Abu Qatadah al-Ansari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Maksudnya: “Puasa hari Arafah, aku mengharapkan kepada Allah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun selepasnya.”

Riwayat Muslim (1162), Abu Dawud (2425), al-Tirmizi (749), Ibn Majah (1730) dan Ahmad (22650)

Imam al-Nawawi  berkata: “Sabda baginda SAW: ‘Puasa pada hari ‘Arafah, aku berharap kepada Allah agar menghapuskan (dengannya) dosa-dosa pada tahun lalu dan tahun yang akan datang’; bermaksud menghapuskan dosa-dosa bagi orang yang berpuasa pada hari itu selama dua tahun. Mereka (para ulama) berkata: Maksudnya adalah menghapus dosa-dosa kecil.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/50-51)

Menjawab persoalan di atas, beza hari Arafah di Malaysia dan Saudi sehari lebih lewat. Di mana jatuh hari 9 Zulhijjah bagi Saudi pada Selasa, 27 Jun 2023 sedangkan di Malaysia pada Rabu, 28 Jun 2023. 

Berbalik kepada soalan yang ditanya, kami telah jawab beberapa kali di mana puasa hari Arafah mengikut tempat masing-masing berdasarkan anak bulan dan hisab. Inilah pendapat mazhab Syafi’i, Ishak bin Rahawaih, Abdullah ibn al-Mubarak dan Ibnu Abbas, berpendapat setiap tempat yang berjauhan mengikut ijtihad masing-masing dengan melihat anak bulan dan hisab. Hal ini berdasarkan sebuah kisah daripada Kuraib, katanya:

أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ، بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ قَالَ فَقَدِمْتُ الشَّامَ فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا وَاسْتُهِلَّ عَلَىَّ رَمَضَانُ وَأَنَا بِالشَّامِ فَرَأَيْتُ الْهِلاَلَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبَّاسٍ – رضى الله عنهما – ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلاَلَ فَقَالَ مَتَى رَأَيْتُمُ الْهِلاَلَ فَقُلْتُ رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ‏.‏ فَقَالَ أَنْتَ رَأَيْتَهُ فَقُلْتُ نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ ‏.‏ فَقَالَ لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلاَ نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلاَثِينَ أَوْ نَرَاهُ ‏.‏ فَقُلْتُ أَوَلاَ تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ فَقَالَ لاَ هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏.‏ وَشَكَّ يَحْيَى بْنُ يَحْيَى فِي نَكْتَفِي أَوْ تَكْتَفِي ‏.‏

Maksudnya: “Bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Sham. Kuraib berkata, ‘Aku tiba di Sham dan menunaikan hajatnya sedangkan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan.’ Katanya, ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab, ‘Kami melihat pada malam Jumaat!’ Ibn Abbas bertanya lagi katanya, ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’ Aku menjawab, ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa.’ Ibn Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal.’ Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami…’.”

 Riwayat Muslim (1087)

Inilah yang kami tarjihkan di mana jika kita di Malaysia maka puasalah pada 28 Jun 2023 sebagai hari Arafah kerana beberapa nas:

  • Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْفِطْرُ يَوْمَ يُفْطِرُ النَّاسُ وَالأَضْحَى يَوْمَ يُضَحِّي النَّاسُ ‏

Maksudnya: “Hari Raya, maka berayalah juga manusia (mengikut ketetapan di tempat tersebut), dan apabila Raya Korban jatuh pada suatu hari, manusia turutilah berkorban pada hari terbabit.” 

(Riwayat al-Tirmizi (802)

Berdasarkan nas di atas, hari kit amenyambut hari raya Korban, mengikut ketetapan di temapt tersebut. Oleh kerana Hari Raya Korban di Malaysia jatuh pada 10 Zulhijjah, bersamaan 29 Jun 2023, maka, ia bermakna hari ke-9 Zulhijjah atau dikenali sebagai hari Arafah di Malaysia, jatuh pada hari Rabu iaitu 28 Jun 2023. 

  • Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebahagian isteri Nabi SAW, katanya:

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَصُومُ تِسْعَ ذِي الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلاَثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ 

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berpuasa pada Sembilan Zulhijjah, hari Asyura’ dan tiga hari setiap bulan.”

Riwayat Abu Daud (2437) dan al-Nasa’ie (2416)

Nas ini dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari 9 Zulhijjah ganti kepada menyebut hari Arafah. Oleh kerana di Malaysia, hari 9 jatuh pada hari Rabu iaitu 28 Jun 2023, maka hadith di atas adalah jawapannya dan menjadi hujah bahawa kita berpuasa pada hari tersebut.

Walaupun pendapat yang rajih apabila kita berada di Malaysia, berpuasa pada hari Rabu, tetapi mengambil umum arahan untuk beribadat dan beramal dengan sebanyak-banyaknya pada 10 awal Zulhijjah, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk kita berpuasa juga pada hari Selasa bahkan hari-hari sebelumnya. 

Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW, daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيْهِنَّ أَحَبُّ إِلَىْ اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ»، فَقَالُوا: يَا رَسُوْلَ اللَّهِ، وَلَا الجِهَادُ فِيْ سَبِيْلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيْلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ”.

Maksudnya: “Tidak ada hari-hari untuk melakukan amalan soleh padanya lebih disukai oleh Allah SWT berbanding pada sepuluh hari ini”. Maka mereka bertanya: Wahai Rasulullah SAW, sekalipun jihad di jalan Allah? Maka Rasulullah SAW bersabda: “Tidak juga jihad di jalan Allah melainkan seorang lelaki keluar dengan dirinya, hartanya kemudian dia tidak lagi kembali dengan membawa apa-apa daripada itu.”

Riwayat al-Tirmizi (688), Abu Daud (2082) dan Ibn Majah (1717)

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kebaikan yang banyak dalam mengambil peluang dengan kedatangan 10 awal Zulhijjah ini untuk diisi dengan pelbagai acara ibadat.

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply